Reset Minda Pekerja 2 – Islam Itu Indah 22.02.2012


Prof. Dr. Muhaya Muhammad

Kerana sambutan yang begitu baik daripada pendengar, tajuk ini disambung kepada bahagian kedua.

Sebelum bekerja, kita perlu jelas mengapa kita bekerja. Meminjam kata-kata Ustaz Pahrol, kita bekerja bukan untuk memenuhi keperluan hidup, tapi untuk memenuhi tujuan hidup. Orang yang bekerja hanya untuk cari keperluan seperti makan minum, rumah, anak nak sekolah hanya akan dapat memenuhi keperluan di dunia. Tapi jika kita niat kerana Allah, habuannya akan berpanjangan hingga ke akhirat.

Ada tiga budaya kerja:
  1. Sifat ubudiyyah (kehambaan): Peranan utama adalah sebagai hamba Allah. Jangan sekali-kali kerana kerja, kita abaikan tanggungjawab kepada Allah, contohnya tak tutup aurat, tinggal solat. Hanya ketaatan kepada Allah yang boleh menjadikan kita seorang pekerja yang telus.
  2. Sifat mas uliyyah (bertanggunjawab): Setiap pekerja ada 'job description' tersendiri. Bila kita sudah 'sign' kontrak, itu merupakan janji kepada majikan yang tak boleh diambil mudah.
  3. Itqaan (buat yang terbaik): Buat kerja yang berkualiti tinggi.
Jika kita seorang pekerja yang berkualiti, semua orang akan sayang pada kita. Tapi jika sebaliknya, kita akan menyusahkan ramai pihak lain. Contohnya, jika seorang kontraktor buat kerja sambil lewa, pemilik rumah akan mengalami banyak masalah. Walaupun nampak kontraktor macam boleh lepas tangan dengan mudah, sebenarnya dia, atau ahli keluarganya pasti akan dapat balasan buruk perbuatannya itu. Jika kita mengubah diri menjadi baik, dunia juga akan berubah menjadi baik.

Setiap pekerja ada tugas membangunkan negara. Kita jangan berkira sangat apabila bekerja, kerana jika kita terlalu berkira, Allah juga akan berkira, dan orang lain juga akan berkira dengan kita. Sentiasa amalkan 4 prinsip:
  1. Hormati semua orang
  2. Ikhlas dalam bekerja
  3. Bekerja dengan lemah-lembut
  4. Tanya diri sumbangan yang boleh diberikan

Soalan & Jawapan:
S: Macam mana nak hadapi ketua bukan Muslim yang agak prejudis kepada pekerja Muslim yang bertudung, sehinggakan diberi amaran akan diberhentikan kerja?
J: Paling utama jangan bersangka buruk pada orang, tak kira apa bangsa, atau agama. Semua manusia fitrahnya suka pada kebaikan. Jika orang tak suka pada kita, tanya dulu kenapa. Cuba jadi pekerja yang terbaik, bekerja dengan jujur, lemah-lembut, itqaan, berintergriti. Saya yakin jika begini tak ada orang yang tak akan suka dengan kita. Daripada pengalaman semasa saya bekerja di sebuah hospital berprestij di London dulu, saya seorang saja yang bertudung dan pernah diminta untuk membuka tudung. Namun saya katakan tiada kompromi kerana ini tuntutan agama Islam dan ketua menerimanya. Selepas 2 minggu, ramai pesakit yang datang dan minta berjumpa dengan doktor yang bertudung :). Ini semua kerana bila kita tunjukkan akhlak yang baik, tiada sebab orang tak suka kita. Jadi jangan fokus pada sangkaan negatif dan betulkan diri dan budaya kerja kita. Jika tetap dimarahi atau disindir, senyum saja kerana kita pasti akan menang dengan kelembutan.

S: Saya ingin berkongsi daripada pengalaman suami yang diuji dengan penyakit - yang penting ialah pergantungan sepenuhnya pada Allah SWT. Allah uji kita dengan apa yang kita mampu sebenarnya. Jadi kita kena yakin dan beriman dengan qada' dan qadar dari Allah.
J: Pemanggil ini telah menjumpai kunci kehidupan iaitu makrifatullah dan haqqul yakin. Siapa yang kenal Allah, akan kenal diri dan tidak akan sombong dengan Allah. Hidup akan tenang seolah-olah berada dalam perahu di atas air yang tenang, bergerak menuju destinasi untuk bertemu Allah.

S: Pekerja yang dapat kerja mudah (melalui 'kabel') tidak menghargai kerja yang mereka dapat dan buat kerja sambil lewa. Ini akan merosakkan organisasi itu akhirnya dan banyak berlaku dalam sektor perkhidmatan awam.
J: Betul, jika seseorang itu dapat kerja dengan mudah, dia tak tahu menghargainya, sedangkan orang lain terpaksa berusaha menulis resume dan sebagainya untuk memohon sesuatu jawatan. Ini termasuk berlaku zalim pada orang lain yang lebih layak sebenarnya. InsyaAllah saya akan masukkan nasihat ini apabila memberi ceramah kepada organisasi kerajaan nanti.

S: Saya sudah lama mencuba mencari pekerjaan, tapi masih belum ada rezeki.
J: Betul, ada orang begitu. Saya cuma ingin kongsi kisah saudara yang baru balik belajar dari luar negara, dia dapat sampai 5-6 temuduga sekaligus dan semua tempat yang dia pergi, dia dapat. Jadi saya fikir apakah faktor yang menyebabkan dia mudah mendapat pekerjaan. Apa yang dapat saya perhatikan ialah dia punya keyakinan diri yang tinggi. Kedua mungkin semasa belajar dulu, niatnya ikhlas. Pelajar lain mungkin belajar tanpa ada tujuan tertentu, tanpa ada niat untuk memberi khidmat. Soal keyakinan pula hanya akan kita perolehi bila kita yakin dengan Allah. Kita perlu serapkan kepada anak-anak kecil lagi, apa tujuan mereka menimba ilmu. Berikan makna dalam mereka menimba ilmu, jadikan Allah dan keinginan untuk berbakti kepada makhluk Allah yang lain sebagai tujuan. Jangan biarkan tujuan sekadar mengejar cita-cita yang cuma berbentuk fizikal dan material. Satu lagi jika selalu tak dapat, kena 'reset' minda dulu, jangan asyik bersangka buruk kerana kita akan dapat apa yang kita jangka. Apa yang kita fikir, akan membentuk kita. Jika fikir negatif, negatiflah jadinya. Kita kena percaya pada diri sendiri dan jadi seorang yang optimistik. Perkataan payah, susah, tak boleh tak sepatutnya bermain di bibir kita. Psikologi akan mempengaruhi fisiologi kita.

S: Ramai rakan merungut tentang gaji, namun saya rasa kerja di sini tak seteruk mana. Mohon pandangan.
J: Orang yang beri lebih daripada apa yang dia pasti akan dapat peluang untuk lebih maju dalam kerjaya, itu memang sunnatullah. Perhatikan juga orang yang suka merungut, jika jumpa dia 20 tahun lagi pun, pasti masih berada di tempat yang sama. Empat formula yang membantutkan pekerjaan kita, buat orang tak suka pada kita dan buat kita tak ada duit ialah: suka merungut, mengeluh, menyesal,mengumpat. Hentikan amalan ini buat yang sebaliknya iaitu memuji, lihat kebaikan dalam setiap perkara, buat lebih daripada yang sepatutnya dan bersyukur. Hidup pasti akan berubah 180 darjah kepada kebaikan.

S: Saya majikan dan ajak adik bekerja dengan saya. Namun bila ditegur kesalahan yang dilakukan, masalah menjadi melarat sehingga melibatkan keluarga.
J: Betul, ada berlaku sebegini. Kadang-kadang kita cuba untuk tolong ahi keluarga walaupun kelayakannya kurang. Orang yang kurang keyakinan diri, bila ditegur sukar menerima dan marah. Jadi sebelum nak tegur, cuba puji dulu kelebihan dia. Cakap dengan lemah-lembut. Jelaskan bahawa teguran bukan bersifat peribadi tetapi kerana kepentingan perniagaan.

S: Bagaimana untuk menegur orang bawahan yang kurang motivasi dan asyik menyalahkan orang sekeliling atas kegagalannya. Saya ada beri kursus penambahbaikan diri tapi kesan baiknya sementara sahaja. Satf ini juga banyak ambil MC.
J: Kursus intensif ini sifatnya seperti kita makan vitamin sebotol sekaligus. Bila habis vitamin itu, kesannya pun habis. Yang penting sebenarnya kita perlu istiqamah, biarlah perubahan itu kecil tapi dilakukan secara berterusan. Sebab itu perlu reset minda, dengar sesuatu yang positif, biarpun 5 minit sehari. Kita buat ni secara bersendirian lebih baik kerana kesannya kepada hati kita berbanding seminar yang dibuat secara berkumpulan dan semangatnya sekejap semasa berada dalam kumpulan itu saja. Cuba ubah pendekatan dengan cuba beri kata-kata hikmah setiap hari kepada semua pekerja. Mulakan kerja dengan sama-sama ajak pekerja buat yang terbaik di samping tidak melupakan tanggungjawab pada Allah. Jaga hubungan sesama pekerja agar kita tiada dosa antara satu sama lain. Jangan tengok facebook semasa bekerja. Sebelum balik, buat 'briefing' dan imbas kembali apa yang telah dilakukan dan penambah-baikan yang boleh dilakukan. Buat begini setiap hari. Pekerja yang suka ambil MC sebenarnya tidak mempunyai makna dalam pekerjaaannya. Oleh itu sebagai ketua, jangan sekadar beri 'job description' sahaja, tapi terangkan juga makda dan implikasi jangka pendek, jangka panjang pekerjaan yang dilakukannya. Saya ingin kongsi pengalaman bertemu ramai pesakit, orang yang ikhlas dalam pekerjaan, anak mereka jadi orang baik-baik dan 'operation' mereka mudah dilakukan. Sebaliknya jika pernah zalimi orang, kesannya akan kembali pada orang itu juga. Jangan tegur pekerja bawahan dengan perasaan benci, tegur dengan kasih sayang. Jawapan kepada semua masalah ialah kasih-sayang dan itulah rahsia kejayaan dakwah Rasulullah SAW.

S: Pengkongsian pengalaman - Saya dulu belajar dan bekerja untuk penghargaan orang-ramai. Sekarang sudah berhenti, berkerja sendiri dan merasa cukup dengan apa yang ada. Saya bersyukur kerana dapat keluar dari dunia kepura-puraan.
J: Ada seorang pesakit saya, masalahnya matanya sikit saja tapi rungutannya banyak. Orang yang tenang jiwanya, masalah besar jadi kecil. Orang yang kecil jiwanya, masalah kecil jadi besar. Oleh itu bila ada masalah, jangan besarkan masalah itu, sebaliknya besarkan jiwa kita. Dan wanita ini juga sebenarnya baru berhijrah meninggalkan dunia pekerjaan yang banyak kepura-puraan kepada dunia NGO yang memberi khidmat kepada masyarakat. InsyaAllah apabila kita berubah untuk mencari redha Allah, Allah akan bantu.

S: Bila nak tegur seseorang itu, kita kena tegur dengan lemah-lembut. Jika nak tegur pekerja bawahan, tegur masa dia datang ke bilik kita, bukan panggil dia ke bilik atau tegur depan orang lain. Berikan perhatian yang lebih padanya dan doakan juga agar dilembutkan hatinya untuk menerima teguran.
J: Betul, meminjam kata-kata Dr. Fazilah Khamsah, sebelum tegur sekali, puji 7 kali dahulu. Staf yang kurang baik ini seumpana anak yang nakal juga. Anak yang nakal inginkan perhatian. Sebagai majikan, tanya diri kita berapa kali kita puji staf kita. Bila mereka datang setiap hari, kita tak pernah puji. Tapi bila sekali dia MC 2 hari, kita marah. Budaya orang Malaysia ini kurang pujian dan senyuman sebenarnya. Perhatikan bila kita masuk lif, berapa orang yang senyum? Walhal senyum itu sunnah Rasulullah. Kita berakhlak baik bukan kerana budaya kerja semata, tapi yang lebih tinggi adalah untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kita jangan mengikut sunnah dari bab fizikal seperti janggut dan jubah sahaja, tapi yang lebih penting akhlak mulia Rasulullah SAW.

S: Bagaimana menghadapi ketua yang kelihatan seperti membawa masalah di rumah ke pejabat?
J: Siapa yang tak bahagia di rumah, takkan bahagia di tempat kerja dan sebaliknya. Sebab itu saya suka fokus pada bahagia dan membahagiakan. Bila kita nampak seseorang seperti bermasalah, jangan kita label dia dengan perkara-perkara negatif. Mungkin baru kali ini dia bermasalah, 10 tahun sebelum ini dia baik sahaja. Kehidupan ini takkan lari daripada masalah. Kalau jumpa orang sakit kita kasihan pada mereka kan? Begitulah juga yang patut kita lakukan pada orang yang bermasalah, kerana jiwa mereka sedang sakit. Ubah tindak-balas dan toleransi kita. Lihat kelebihannya dan bukan fokus pada kekurangannya. Dengan itu, kita bantu tampung kelemahannya, dan dia akan bantu tampung kelemahan kita. Lagi satu yang lebih penting di tempat kerja, jangan sibuk mencari salah orang, lebih baik sibuk memperbaiki diri. Masukkan nilai-nilai kerohanian di tempat kerja kita dengan senyum, beri kasih sayang, lemah-lembut dan sebagainya. Manusia yang berjaya mencipta suasana, bukan membiarkan suasana mempengaruhinya.
S: Selepas naik pangkat, kawan-kawan meninggalkan saya. Saya cuba terima dengan positif kerana tanpa kawan-kawan, saya tidak mengumpat lagi, solat pun tepat pada waktunya. Adakah betul cara menghadapinya begini?
J: Tahniah kerana dinaikkan pangkat. Perkara sebegini banyak berlaku di kalangan wanita – bila naik pangkat, rakan pun hilang. Mungkin dia cemburu atau mungkin dia rasa malu. Kita jangan sangka negatif padanya dan fokus pada perkara positif. Jika berjumpa, layan mereka seperti biasa sahaja, kerana pangkat ini tiada apa-apa nilai disisi Allah. Jika terpesona dengan pangkat, 2/3 agama kita sudah hilang. Orang yang ego saja yang pentingkan pangkat dan sombong dengannya. Boleh juga belikan mereka hadiah-hadiah kecil untuk ambil hati dan cuba beri mereka pengaruh yang positif.

Kesimpulan:
Kita semua mesti niat kerja kerana Allah Ta'ala. Setiap niat yang baik pasti dapat kesudahan yang baik juga seperti yang terkandung dalam hadis pertama dalam Hadis 40. Ini juga dikenali sebagai 'law of intention'. Ingat juga apa yang kita buat, itu yang kita dapat. Apa yang kita buat ditempat kerja, itu yang keluarga kita dapat. Jika nak bahagia di rumah, bahagialah di tempat kerja. Jika nak bahagia di tempat kerja, bahagialah di rumah. Banyakkan menimba ilmu, dan kurangkan menonton rancangan TV yang merosakkan minda. Jangan membaca berita atau cerita yang merosakkan minda, biar hanya ilmu yang masuk ke minda kita, kerana itu adalah benih-benih kehebatan dalam kehidupan.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab