Kebaikan Dalam Kehidupan - Islam Itu Indah 12.10.2011

Prof. Dr. Muhaya Muhammad

Kita ini seperti pelajar yang sedang mengejar ijazah, tetapi suatu hari nanti akan menjadi jenazah. Cuba bayangkan bentuk & rupa jenazah kita? Senyum ke? Masam ke? Tercekik ke? Kemuncak hidup kita sebenarnya ialah bagaimana ianya berakhir. Alangkah sia-sianya andai hidup kita tidak berakhir dengan kebaikan.

Kalau boleh kita cuba buat orang rasa lebih seronok selepas berjumpa kita. Jangan selepas orang jumpa kita, orang rasa tertekan, rendah diri, rasa teruk. Sebab tu perlu kesian pada orang, kita jumpa orang cuma 5 minit, tapi mungkin 5 minit itu menyebabkan orang itu resah, tak tidur malam. Terutamanya jika profesyen kita selalu jumpa orang seperti guru, doktor, dsb. Kita kena kawal fikiran kita, apa yang kita tonton, apa yang kita dengar mempengaruhi fikiran. Kita kena berniat untuk selalu buat baik, InsyaAllah akan dipermudahkan segala urusan dan diberi hidayah.


Jika kita lihat jenazah yang diberi ujian, jangan pula mencela. Kita jangan sibuk untuk memperbetulkan orang lain, tapi sibuklah untuk betulkan diri kita dulu. Jika asyik nampak orang sekeliling jahat, mungkin sebenarnya kita yang jahat sebab dunia luaran kita adalah cermin dalaman kita sebenarnya. Kalau kita nampak kebaikan di luar, maksudnya kita penuh kebaikan di dalam.

Cuba bila kita jumpa orang, kita niat untuk cari kebaikan yang ada pada dirinya dan dalam mencari kebaikan, cuba nampak diri kita dalam setiap orang itu, jadi dengan itu kita takkan nak rosakkan/buat jahat padanya sebab dalam orang itu ada diri kita sendiri.

Perkongsian daripada Ustaz Zahazan – 6 ciri orang-orang yang mendapat cinta sejati:
  1. Tawadduk (rendah diri) dengan orang Islam yang lain – sering beri hadiah, beri salam, sentiasa mendoakan orang beriman.
  2. Keras kepada orang kafir – dalam hal-hal berkaitan agama
  3. Tak takut celaan orang tapi takutkan celaan Allah 
  4. Sentiasa kekal melakukan perkara sunat seperti sedekah, solat sunat dsb.
  5. Jihad di jalan Allah dalam setiap perbuatan kita – kita hidup untuk 3 sebab – menjadi hamba Allah, khalifah di bumi dan mengimarahkan dunia mengikut hukum Allah
  6. Banyak membaca surah Al-Ikhlas – surah yang pendek tapi padat maknanya, jika ingin berdoa elok memperbanyakkan bacaan surah ini.
Soalan & Jawapan
S: Amalan wasattiah & Assobiyyah – bagaimana jika bersikap keterlaluan terhadap orang bukan Islam?
J: Allah lebih sayangkan orang yang bertaubat setelah berbuat berdosa. Jadi, kita tidak boleh keterlaluan taksub mengikut kumpulan. Harta atau kumpulan, jangan sampai jadi pemisah silaturrahim. Kena selalu amalkan solat sunat taubat.

S: Isu fitnah? Bagaimana untuk mengurangkannya?
J: Fitnah – memang tak elok. Kita kena cuba ubah diri-sendiri dulu. Jika semua orang buat begitu kesannya akan jadi lebih besar. Kita tidak sepatutnya 'condemn' atau cari kesalahan orang. Lebih baik cari kesalahan kita dan betulkan daripada sibuk melihat kesalahan orang lain.

S: Bagaimana mengambil iktibar daripada ujian yang melanda?
J: Setiap yang berlaku bergantung pada persepsi kita menghadapinya. Contoh ketika kecil jika kita ingin pegang benda panas, kita akan dipukul ibu. Persepsi anak kecil? Sedih dan menangis kerana tidak faham bahaya di sebalik perbuatan itu tetapi ibu lebih mengetahui. Begitulah Allah – takkala diberi masalah, kita perlu belajar daripadanya, bukan menganggapnya kesusahan. Allah Maha Bijaksana dan lebih mengetahui apa yang baik untuk kita. Kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada, jangan kedekut dengan harta. Amalkan bersedekah terutama pada ahli keluarga yang susah. Ada satu buku: 'One hour too late' – mengajak kita merenung – jika kita ada hanya 1 jam untuk hidup, siapa yang kita nak jumpa? Kerjaya kitakah? Keluarga kitakah? Jangan kedekut kasih sayang.

S: Bila buat kebaikan rasa bahagia pada mulanya. Tetapi selepas itu rasa diperbodohkan dan rendah diri. Kenapa begitu?
J: Kerana persepsi lagi sekali – sebab kalau kita buat baik kerana orang dan orang itu tak menghargainya, kita akan rasa diperbodohkan, tetapi kalau buat baik kerana Allah, tanpa memikirkan balasan orang, kita akan berlapang dada kerana tahu yang Malaikat telah mencatat kebaikan untuk kita, kita dah dapat pahala. Orang yang bijak nampak akhirat, nampak pahala, dan takkan rasa diperbodohkan.

S; Anak berhutang dan ibu tolong langsaikan tanpa pengetahuan anak.Bolehkasj begitu?
J: Ibu perlu menjelaskan pada anak apa yang dia buat silap supaya perangai buruk tak berterusan.

S: Arwah ayah berhutang kad kredit. Anak-anak dah bayar jumlah hutang pokok, bagaimana dengan bunganya?
J: Anak-anak perlu langsaikan hutang arwah mak ayah. Cuba hubungi AKPK atau agensi bantuan lain untuk berbincang.

S: Wajarkan kita 100% bersangka baik?
J: Sangka baik dengan Allah 100%, dengan manusia kena sangka baik tapi bijaksana.

S: Mata seperti berhabuk dan ianya mengikut apabila mata bergerak.
J: Mungkin 'flotus' – tidak bahaya. Tumpu pada kesyukuran bukan pada kesukaran.

S: Bagaimana menguatkan diri dalam berdakwah terutama bila orang menjauhkan diri?
J: Perlu tanya kenapa orang jauh dari kita? Dalam berdakwah kita jangan fokus pada nombor sangat, kena lihat proses kita menjalankan dakwah juga. Kita hanya boleh berdakwah jika orang kasih pada kita. Bila orang kasih pada kita, orang takkan menjauhkan diri daripada kita. Orang juga takkan kasih pada kita jika Allah tidak kasih pada kita. Kita jangan terperangkap untuk berdakwah dengan minda dan ilmu, tetapi kena guna hati dan perasaan juga. Sentuhlah hati manusia dan pandang mereka dengan penuh kasih sayang dan jangan anggap kita lebih baik daripada orang lain. Bila berdakwah, jangan sekali-kali rasa lebih bagus daripada orang lain, itu yang paling utama dijaga. Jika orang tetap mencela, biarlah. Bebaskan diri daripada penghargaan orang. Teruskan buat baik kerana Allah, target untuk dapat pahala. Seperti kisah katak pekak yang terus melompat walaupun dicela orang sebenarnya, dan akhirnya berjaya menyelamatkan diri. Kesimpulan: pekakkan diri daripada celaan orang.

S: Bagaimana berhadapan dengan orang yang takut mati tetapi tidak mahu beramal?
J: Sebenarnya orang yang takut mati ialah orang yang tiada amal. Takut sakit juga takut mati sebenarnya. Cuba fokus pada jenazah kita – bagaimana rupa kita nanti? Hentikan berbelanja pada yang bukan-bukan seperti barang perhiasan, lebih baik kita sedekah pada yang memerlukan, berpeluang dapat pahala sebagai bekalan akhirat.

S: Saya mudah tersinggung dan cepat bosan dalam melakukan sesuatu. Mohon nasihat.
J: Bila mudah tersinggung selalunya bermaksud kita memikirkan apa yang orang kata. Jadi kena fikirkan tujuan hidup kita, untuk siapa sebenarnya? Setiap hari kena ulang – Ilahi – Kau yang kutuju, Redha-Mu yang kucari, kurniakanlah diriku Mengenal-Mu dan Mengasihi-Mu. Fokuskan pada mencari keredhaan Allah. Kita akan rasa mudah bosan jika tidak nampak makna pada apa yang kita lakukan – contohnya rasa bosan jika terus-menerus basuh pingan. Tapi jika kita nampak pahala pada perbuatan itu, kita takkan bosan. Bayangkan jika esok kita mati. Pahala itulah yang kita akan cari. Kita semua bakal jenazah, bersama renungkan.

S: Bagaimana jika saya bersikap tidak ambil tahu hal orang dan berkawan dengan semua orang?
J: Bagus, sebab telah menemui kebahagian dalam berkawan. Kita biasanya mengumpat orang yang kita dengki, jadi kena selalu berlapang dada dan menghormati semua orang.

S: Isteri suka berfikiran negatif. Bagaimana membantunya?
J: Mengikut 'survey', 90% manusia berfikiran negatif. Orang hebat cuma 5%, dan orang ini pandai memiliih apa yang ingin difikirkannya. Kita ada 60000 fikiran setiap hari, selalu solat akan membantu kita fokus dalam pemikiran. Tenaga kita akan selari dengan apa yang kita suka. Perhatikan apa yang kita suka. Jika suka kejahatan, akan selalu memikirkan kejahatan, tenaga semuanya akan habis ke arah kejahatan. Kita kena betul-betul jaga solat. Ada beza mengerjakan atau mendirikan solat. Sebab itu kadang-kadang orang solat tapi masih jahat di luar solat. Mengerjakan solat hanya dari segi fizikal, tapi mendirikan solat meliputi spiritual sekali. Kita bukan 'human being having spiritual experience' tapi sebaliknya 'spiritual being having human experience'. Roh kita lebih kuat daripada fizikal kita, bila tengok cermin – tanya diri siapa kita? Yang dilihat atau yang melihat? Yang dilihat itu fizikal, yang melihat itu spiritual. Bila tak jaga kerohanian, fikiran akan jadi selalu negatif, pasal membiarkan suasana luaran mempengaruhi kita. Kita akan jadi tak fokus pada Allah, tapi pada manusia. Orang yang ingat Allah akan positif, tapi kalau ingat manusia akan jadi negatif. Jangan biarkan suasana mengubah kita, tapi kita yang mengubah suasana.

S: Macam mana nak pupuk hati supaya tak terlalu sensitif terutama dengan suami?
J: Kita ada makanan fizikal dan makanan rohani. Kasih sayang suami ialah makanan rohani. Bersandar pada suami, suami akan pergi, bersandar pada Allah, Allah akan kekal. Kita tak pasti siapa meninggal dulu, suami atau isteri? Bila fikir begini, kita akan cepat lupa perkara remeh-temeh seperti suami tak puji dan sebagainya.

S: Makin pakai cermin mata, makin tak nampak. Bila tak pakai, rasa lebih nampak. Mohon nasihat.
J: Mungkin ini kes pelanggan ditipu – diberi 'power' lebih dari yang sepatutya. Elok dapatkan nasihat doktor.

S: Bagaimana ingin melatih sifat sabar dalam diri dan mengelak sifat pemarah yang seterusnya boleh mengundang pemikiran negatif?
J: Orang yang ego akan selalu ingin marah, rasa dirinya hebat. Kita kena belajar fokus pada sifat ketuhanan, sedar kewujudan Tuhan akan menyedarkan diri yang kita ini lemah sebenarnya dan belajar terima orang seadanya. Pesan pada diri untuk hidup dengan baik dan buat baik pada orang sekeliling. Kita perlu kejar kesempurnaan dalam hubungan dengan Allah, tapi jangan keterlaluan ingin kesempurnaan hubungan dengan manusia.

S: Suami tak amanah, meletakkan orang lain lebih daripada isteri dan ada orang ketiga. Mohon nasihat.
J: Suami-isteri biasa akan bergaduh, tapi biasanya lepas bergaduh akan jadi lebih baik. Jadikan setiap peristiwa yang berlaku adalah untuk mengajar kita. Jika suami tiba-tiba ada orang ketiga, perlu tanya kenapa jadi begitu? Mungkin kita kurang melayannya sehingga dia mencari yang lain? Perlu sentiasa lebihkan suami. Suami-isteri perlu belajar berkomunikasi dengan baik. Isteri jangan pandang rendah pada suami, kadang-kadang sebelum kahwin, isteri pandang tinggi pada suami. Namun setelah lama kahwin dan tahu kelemahan suami, terus mula pandang rendah pada suami. Bila pandang rendah pada suami, tenaganya akan menurun dan akan berasa tidak seronok bersama isteri. Jadi kita kena jaga perkataan yang keluar dari mulut, biarlah yang manis sahaja macam madu daripada lebah, jika nampak kekurangan, maafkan saja. Jika suami ada orang ketiga, cuba tambat kembali hatinya. Sebaliknya jika isteri terus marah, suami mungkin lari terus. Kita juga perlu jaga hubungan dengan Allah, bila Allah kasihkan kita, orang lain akan mudah kasihkan kita jugak. Fokus untuk jadi baik agar bila kita mati, orang sekeliling akan menangisi pemergian kita.

Kesimpulan: Kita perlu ikhlaskan hati - sembunyi kebaikan yang dilakukan seperti kita sembunyi kesalahan kita. Kita jangan suka berpuak-puak, kongsi kebaikan dengan seramai mungkin.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab