Manisnya Iman - Tanyalah Ustaz 03.04.2012

Ustaz Roslan Mohamed

Bacaan Surah al-Hujurat ayat 15:
Maksud ayat: Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Berpagi-pagi dengan ibadah, majlis ilmu, Nabi mohon keberkatan kepada kita semua, InsyAllah.

Iman bermaksud kata ucapan yang elok, keyakinan hati yang benar dan tingkah-laku menepati syariat.

Fokus : Bagaimana untuk kekal dalam iman agar mati dalam iman. Kita nak mati disambut malaikat dengan baik bukan dikeji.

Untuk jaga iman,
Pertama: perlu percaya tanpa syak-wasangka dengan Allah, yakin sebulat-bulatnya dengan segala kekuasaan Allah, redha dengan kurniaan Allah biar yang baik atau tidak. Sebab itu orang yang betul-betul beriman sentiasa bersangka baik dengan Allah walaupun ditimpa musibah.
Kedua: orang beriman kena ada bukti iaitu dengan beramal - buat yang baik, tinggal yang mungkar.

Satu-satunya benda yang dibawa bertemu Allah ialah iman - Allah kata dihari akhirat tiada guna anak pinak atau harta benda yang banyak kecuali hati yang penuh kesejahteraan (penuh keimanan).

Jadi mengapa kita masih buat benda jahat? Mengapa kita sukar buat benda baik?

Antara ciri orang mukmin - sentiasa melihat kebesaran Allah di mana-mana. Sentiasa ingat pada Allah. Bibirnya tak lekang daripada mengingati Allah - tak kira ketika menerima musibah atau anugerah. Bangun tidur ingat Allah dulu, syukur masih diberi umur. Inilah yang perlu jadi panduan kita. Barulah akan terasa kemanisan iman.

Imam Ibnu Qayyim ada berkata yang kalau kita nak kemanisan iman kena:
1. Kena ada ilmu atau cari ilmu secara berterusan.
2. Buat amalan hati - kena sentiasa ingat Allah. Contoh tengok alam sekeliling dan ingat kebesaran Allah.
3. Lidah perlu basah dengan zikir berpanjangan, tidak bercakap bohong, berpesan kepada kebaikan sesama manusia.

Iman yang manis tak datang bergolek, kena ada usaha mendapatkannya. Jadi kita kena buat perkara-perkata yang mendatangkan kemanisan iman - contohnya berbuat baik, tinggalkan perbuatan jahat, ambil yang halal, tinggal yang haram. Cari jalan mendekatkan diri kepada Allah kepada kemanisan iman. Di Padang Masyar nanti kita akan disoal dan anggota badan seluruhnya kecuali mulut akan menjawab apa usaha yang kita lakukan untuk cari keredhaan Allah.

Iman dengan kita seumpama kulit dengan daging - tak dapat dipisahkan - jaga makanan roh dengan beramal. Si mati meninggalkan segalanya kecuali iman. Iman akan jadi saksi pada hari Akhirat.

Imam Yusuf Al-Qaradhawi ada berkata yang iman ini umpana anak. Oleh itu, sepertimana seorang anak, iman itu akan mengikut kita ke mana-mana saja. Jadi peliharalah ianya sebaik mungkin.

Soalan & Jawapan:
S: Golongan manakah yang dapat mengecapi kemanisan iman?
J: Daripada surah Al-Hujrah, ayat 15 ada jawapannya - iaitu mereka yang tiada syak wasangka pada Allah, dan yang membelanjakan harta-benda pada jalan Allah. Sahabat Nabi - Shuaib bin Sinar Ar-Rumi: seorang yang kaya berjumpa Nabi dan berkata "Aku ini sudah ada segalanya, tapi adakah Allah redha denganku?" Nabi jawab "Allah redha jika kamu belanjakan harta kamu pada jalan Allah." Pengajaran - sekiranya kita tak kaya harta, gunakanlah kekuatan lain seperti kelebihan ilmu untuk mencari redha Allah.

S: Mohon jelaskan tanda orang yang dapat kemanisan iman.
J: Orang yang ada kemanisan iman tak meninggalkan Allah dalam apa jua perkara. Dia sentiasa berada dalam keadaan bertawakkal pada Allah semasa senang atau pun susah.

S: Mohon ustaz beri contoh sahabat yang ada kemanisan iman.
J: Banyak contoh boleh dijumpai dalam sirah Islam. Contohnya Bilal bin Rabbah - walaupun disiksa dengan teruk, namun dia langsung tak berganjak dari Islam kerana merasa kemanisan iman. Begitu juga dengan keluarga Yassir. Oleh itu, kita semua boleh mengambil pengajaran dan cuba amalkan 3 sabar iaitu sabar tinggalkan maksiat, sabar buat kebaikan dan sabar ketika terima musibah.

S: Bagaimana iman ibu yang kehilangan 4 anaknya dalam peperangan (mati syahid).
J: Ini cerita Al-Khansa' yang mempunyai 4 orang anak, semuanya mati syahid ketika zaman khalifah Umar. Bila diberitahu yang anaknya mati syahid - dia mulanya senyum kemudian menangis, kemudian senyum lagi, tapi kemudian menangis lagi. Sahabat tanya kenapa? Dia jawab yang dia gembira kerana anaknya ke syurga, jadi dia senyum. Tapi sebab dia sudah tak ada anak lagi untuk berjuang di jalan Allah menjadikan dia sedih dan menangis. Begitulah hatinya yang penuh kemanisan iman, bukan dibuat-buat. Antara cara untuk pupuk kemanisan iman - bersama orang soleh dan pilih rakan-rakan yang baik.

S: Bagaimana cara nak kekalkan kemanisan dalam kehidupan?
J: Mengikut pandangan Ibnu Qayyim: perlu istiqamah. Buat benda baik secara berpanjangan - kena sentiasa berdoa dan merintih pada Allah agar hati diteguhkan pada ketaatan pada Allah. Biar kita buat benda baik yang sedikit tapi berterusan daripada buat benda baik yang besar tapi sekali sahaja.

S: Apakah kesan jika tak jaga iman?
J: Secara anallogi: iman ni seumpana seorang pengawal keselamatan. Jika rumah kita dibuka pintunya tengah-tengah malam tanpa pengawal, ada orang akan masuk tak? Pasti ada. Jadi seperti rumah, iman perlu dijaga agar tak diganggu nafsu dan syaitan. Tanpa iman akan menyebabkan kita jadi liat nak beramal, malas tak nak tengok Tanyalah Ustaz dan asyik nak tengok rancangan hiburan semata :)

S: Apakah perkara yang dapat halang kemanisan iman?
J: Halangan ada dalam banyak bentuk dan yang paling utama ialah diri kita sendiri: kita sendiri yang pilih untuk buat baik atau jahat. Kedua ialah halangan persekitaran: contonnya bila nak solat nak tunggu ada sejadah dan sebagainya. Ketiga: syaitan, jadi kena jaga diri agar syaitan tak ganggu kita.

S: Tip untuk menolak kejahatan daripada bertapak dalam diri.
J: Setiap hari kita baca Fatihah dan mohon ditunjukkan jalan lurus. Apakah jalan yang lurus itu? Itulah jalan ilmu atau dengan kata lain kena sentiasa mencari ilmu. Kedua, cari kawan baik yang boleh tegur jika kita buat salah. Ketiga, kena ingat yang mati boleh datang bila-bila masa - tengah makan pun mati, tengah solat pun mati juga. Sepertimana kata mutiara seorang Imam, "Manusia ini tidur sebenarnya, setelah mati barulah dia tersedar." Namun itu sudah terlewat dan semoga kita beringat sebelum maut datang menjemput kita.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab