Alam Bertasbih 2 - Tanyalah Ustaz 14.04.2012

Ustaz Hanafiah Abdul Razak

Surat Al-Mursalat, ayat 1-3, maksudnya:
[1] Demi (makhluk-makhluk) yang dihantarkan berturut-turut (menjalankan tugasnya),
[2] Juga yang merempuh mara dengan sekencang-kencangnya,
[3] Dan demi (makhluk-makhluk) yang menyebarkan (pengajaran dan peringatan) dengan sebaran yang sesungguh-sungguhnya,

Angin itu utusan Allah - ada waktunya angin itu perlahan, membawa kenikmatan dan rezeki kepada manusia dengan menyebarkan benih-benih, debunga dan sebagainya.

Daripada ayat-ayat ini ada 8 jenis angin: 4 bawa rahmat, 4 bawa azab.

Angin yang bawa rahmat:
1. Al-Mubasshara - angin bawa hujan
2. Al-Nashirat - angin bawa debunga
3. Al-Mursalat - angin selepas tergelincir matahari (selepas Zohor) menyatakan rezeki sudah sempurna diberikan, jadi jangan berebut.
4. Ar-Raha - angin berita gembira yang menandakan kesuburan pada tanaman

Antara angin yang bawa azab:
1. Al-'asif - angin panas dari laut
2. Angin sejuk dari darat - angin ini berpasangan untuk meneutralkan satu sama lain, tapi jika salah satu lambat, akan bawa kebinasaan.

Jangan mencela angin yang bertiup, sebaliknya mohonlah pada Allah agar angin yang dihantar membawa rahmat bukan sebaliknya.

Surah Al-Hijr, ayat 22, bermaksud:
"Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya."

Imam Al-Alusi menyatakan yang angin ada waktunya membawa air, benih, debunga untuk manfaat manusia. Ada kalanya angin itu juga bawa wabak penyakit untuk tanaman, haiwan atau manusia.

Angin Az-Zariyat pula bertiup pada waktu petang selepas angin Mursalat, ia jarang kelihatan kerana bersamanya dibawa hujan yang lebat.

Nabi ada menyatakan yang baginda diberi pertolongan oleh angin, dan kaum 'Ad juga dibinasakan oleh angin Ad-Dabur. Ada juga angin As-Saba yang bertiup dari Timur, yang membantu Nabi ketika dalam peperangan. Di Tanah Arab, angin akan bertiup pada setiap pertukaran musim, iaitu selang 3 bulan. Pad pertukaran musim ini bias berlaku hujan dan itulah kita akan dapati hujan di Mekah.

Senarai soalan & jawapan:
S: Kenapa kita sebut bencana alam, sedangkan alam ini makhluk Allah. Mohon penjelasan ustaz. Benarkah petir itu panahan kepada syaitan.
J: Bencana alam sudah menjadi satu istilah yang biasa kita gunakan. Cuaca yang ideal - hujan turun yang tak lebat pada waktu malam, matahari terbit siang hari tanpa jerebu, dentuman guruh yang tak kedengaran. Selain daripada itu dianggap bencana alam. Ya, ada hadis riwayat Imam Tarmizi mengatakan bersama malaikat itu ada petir untuk mengumpulkan awan-awan untuk menurunkan hujan. Oleh itu pada waktu hujan lebat, elakkan berada di luar kerana syaitan memang suka mengajak kita kepada kebinasaan.

S: Alam sebagai makhluk manusia patuh dengan peraturan yang Allah tetapkan. Mengapa manusia tidak begitu?
J: Dalam Al-Quran, surah Al-Asr: "Sesungguhnya manusia hidup dalam kerugian". Orang yang beriman sentiasa takut dalam 2 keadaan - pertama: takut dengan dosa yang dilakukan, takut bala menimpa kerana dosa yang dilakukan. Kedua: takut dengan saki-baki umur yang tinggal - apakah ujian yang Allah akan beri. Mereka yang tak takut adalah orang yang angkuh.

S: Jika semua makhluk bertasbih, bagaimana pula dengan cicak. Bukankah Nabi berkata yang sunat membunuh cicak, adakah cicak juga bertasbih?
J: Ada seorang ulama pernah menulis buku tentang haiwan dan dikatakan bahawa semua binatang bertasbih. Ada 5 jenis haiwan yang Allah cipta yang sunat kita bunuh. Kenapa? Kerana haiwan ini ditugaskan untuk menyerap kotoran daripada bumi - contoh ular tugasnya menyerap bisa, gagak makan bangkai, cicak pula memakan hama kotoran di dinding rumah, tikus juga makan kotoran. Haiwan ini perlu dibunuh kerana mereka telah meyerap dan memakan kotoran dan jika dibiarkan hidup, mereka boleh sebabkan penyakit. Haiwan-haiwan ini tetap bertasbih tapi disunatkan kita membunuhnya.

S: Betulkah jika rumah terkena petir perlu dibaca surah Yaasin?
J: Allah jadikan gunung-ganang untuk dipanah petir. Tujuan lain juga adalah untuk menghaluskan titisan air hujan agar tidak menjadi mudarat pada manusia. Awan juga membantu menakung air untuk kegunaan manusia. Jadi rumah yang terkena petir, mungkin asalnya adalah kawasan bukit yang ditarah. Jadi bacakanlah apa jua ayat Al-Quran dan mohon keselamatan daripada Allah. Namun ingat yang Nabi ada sebut yang pada akhir zaman, panahan petir ke atas rumah akan menjadi perkara biasa. Walau apapun mohonlah bantuan Allah.

S: Ada pendapat mengatakan panahan kilat dan petir adalah pergaduhan antara syaitan untuk tujuan menakut-takutkan kanak-kanak. Bolehkan kata begini?
J: Nabi pernah berkata yang apabila awan datang, kita tak tahu adakah ia bawa rahmat atau azab. Jadi Rasulullah minta kita berdoa agar awan itu bawa rahmat. Jadi eloklah kita ajak anak masuk rumah dan ajar anak mohon perlindungan dengan Allah. Tak perlu nyatakan kaitan dengan pergaduhan syaitan kerana kita perlu maklum yang syaitan itu akan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan dan memudaratkan kita.

S: Bagaimana turun rezeki di waktu pagi hingga ke Zohor?
J: Ada hadis daif mengatakan yang Nabi larang tidur selepas Subuh, kerana waktu itu rezeki akan diagih-agihkan. Waktunya bermula pada waktu Syuruk (waktu haram solat), kemudian pada waktu Isra' ( telah nampak bulat matahari iaitu 20 minit selepas Syuruk) itulah diturunkan rezeki. Pada waktu Dhuha (matahari 8 hasta di kepala), alam telah terang benderang yang membawa maksud telah jelaslah rezeki. Ketika waktu Zohor pula telah sempurna pemberian rezeki.

S: Apabila melihat panahan petir, awan mendung, apa yang patut dibaca?
J: Nabi kata jika nampak petir, bertasbihlah -Alhamdulillah. Jika lihat api, bertakbirlah. Jika lihat/rasa angin kencang, ingatlah Allah dan laungkan azan. Laungan azan itu menarik rahmat untuk mendapat pertolongan Allah.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab