Reset Minda Majikan – Islam Itu Indah 18.04.2012

Prof. Dr. Muhaya Muhammad

Ramai antara kita bekerja di pejabat dan mempunyai pembantu di rumah, jadi kita majikan di rumah. Ada juga yang mempunyai pangkat di pejabat, jadi mempunyai orang bawahan dan perlu bertindak sebagai majikan juga sebenarnya. Ataupun kita memang seorang majikan yang mempunyai perniagaan dan pekerja sendiri.
Jika sebagai pekerja, kita biasanya ada banyak rungutan tentang majikan. Tapi jika seorang majikan, pernah tak kita terfikir rungutan orang bawahan kita. Jika kita seorang majikan yang garang, Allah pun akan izinkan orang atasan kita garang dengan kita. Berapa ramai antara kita ucapkan terima kasih kepada pembantu rumah, kerana dengan ada pembantu rumah kita selamat, makan-minum kita terjaga. Ada tak kita puji dan doakan kebaikan untuk pembantu rumah kita?

Sebenarnya orang yang paling bahagia adalah orang yang paling banyak beri manfaat pada orang lain. Sekiranya kita rasa tak bahagia, sebenarnya kita tak banyak memberi manfaat pada orang lain dan kurang bersyukur. Kualiti hidup kita bergantung kepada tahap kesyukuran kita. Ada satu buku ditulis tentang biografi Imam Syafie, muka surat 81, ditulis oleh Dr. Tariq Suwaidad, Imam Syafie berkata, “Kebaikan di dunia dan akhirat tersimpan dalam 5 perkara iaitu jiwa yang kaya, diri yang terjaga daripada berbuat zalim, ketiga: mencari yang halal, keempat: ketaqwaan dan kelima: percaya sepenuhnya kepada Allah. Menjaga diri daripada berbuat zalim merupakan tugas penting seorang majikan. Saya juga ada terdengar daripada ‘Tanyalah Ustaz’: Dua golongan yang Allah tak pandang wajahnya di hari Akhirat nanti ialah: orang berkuasa yang menggunakan kuasa untuk menzalimi orang lain dan kedua wanita yang berpakaian ketat. Mari bersama muhasabah diri kita. 

Oleh itu majikan perlu mengamalkan 5 konsep ini: Jiwa yang kaya: Majikan sudah berapa banyak untung sebenarnya? Tetapi gaji pekerja bawahan seperti pemandu, pencuci tandas, masih di tahap yang sama. Dunia kita tertegak kerana doa orang fakir. Orang yang berada, amalkan letak duit siap-siap dalam sampul dan beri sedekah bila terjumpa orang susah. Jangan jadikan alasan tiada wang kecil untuk bersedekah. Beri sedekah pada orang yang ambil sampah daripada rumah kita. Kita takkan jadi miskin kerana bersedekah, sebaliknya sedekah boleh menghalang musibah daripada menimpa kita, InsyaAllah. Lebih-lebih lagi jika kita mempunyai banyak masalah, cubalah amalkan bersedekah. InsyaAllah kita akan rasa lebih bahagia.

Ramai orang takut nak beri kesenangan pada orang lain dan nak senang sorang-sorang saja. Jangan suka genggam duit yang ada pada kita. Beri pada orang lain juga. Bagi yang ada pemandu, janganlah kita saja yang makan di tempat-tempat mewah sedangkan pemandu kadang-kadang sampai tak makan kerana menunggu kita. Bungkuslah juga untuk pemandu. Hidupkan budaya ingin berkongsi kesenangan dengan orang lain juga. Sudah ramai pesakit yang saya jumpa, sekiranya  urusan pembedahan mereka mudah sahaja, pasti bila saya tanya peribadinya adalah peribadi yang baik seperti suka belanja orang makan, mudah tolong orang.

Majikan yang kaya jiwa akan suka berlapang dada. Orang yang lapang dada, masalahnya jadi kecil, sebaliknya orang dadanya (jiwanya) sempit, masalah jadi besar. Sesiapa yang suka luahkan masalah di facebook, cuba perhatikan masalah itu besar atau kecil sebenarnya? Kadang-kadang pesakit saya datang dengan masalah mata yang kecil saja, tapi runguntannya seolah-olah dunia akan kiamat. Mata yang masih nampak tidak pula disyukuri. Kenapa kita takut sangat jika sakit? Adakah bila sihat, kita gunakan kesihatan itu untuk beri kasih sayang dan manfaat pada orang lain, atau kita gunakan kesihatan untuk berhibur dan kepentingan peribadi sahaja? Mari renungkan tujuan kita diciptakan. Mari sama-sama audit diri, terutamanya majikan. Berapa kali kita belanja staf makan? Jika staf bersalin, kahwin, ada tak kita beri hadiah yang besar? Janganlah kita cuma menumpang berkongsi hadiah dengan pekerja lain yang gajinya jauh lebih kecil daripada kita.

Saya ingin berpesan agar kita setiap jangan bercakap melainkan tentang dua perkara: pertama – suruh orang buat baik dan ingatkan Allah, kedua – suruh orang sedekah. Kalau tak cakap benda ini, sia-sialah hidup kita. Baru-baru ini, ramai pesakit datang kepada saya setelah penyakitnya menjadi serius. Bila ditanya mengapa datang lewat, mereka semuanya kata kerana terpengaruh dengan rakan-rakan yang memberi maklumat yang menakutkan. Ada yang kata, jika dilakukan pembedahan, mata itu akan dikeluarkan sebiji-sebiji dan diletakkan di atas meja. Orang Melayu kita suka sangat memberi dan menyebarkan berita negatif. Bila jumpa orang sebegini, perhatikan bagaimana kualiti kehidupan orang yang bercakap itu. Kebiasaanya mereka ini bukanlah orang yang bahagia atau berjaya. Jadi, mari sama-sam perhatikan diri kita juga. Apakah perkataan yang keluar daripada mulut kita? Adakah galakan kebaikan atau perkataan yang menyakitkan hati orang? Jangan kata mulut jahat tapi hati baik kerana hanya hati yang baik akan mengeluarkan perkataan baik di mulut.

Jadi saya ingin berpesan: Sesiapa yang ada masalah kesihatan, berhenti daripada mencari penyelesaian di ‘Google’. Internet ada informasi, tapi tak ada inspirasi. Internet ada maklumat, tapi tak ada ilmu. Orang yang bermaklumat tak sama dengan orang yang berilmu. Hanya orang berilmu boleh menyelesaikan masalah. Oleh sebab itu, jika sakit, usahakan berjumpa dengan pakar yang betul.

Berkenaan rungutan orang ramai yang saya lambat balas emel ingin saya maklumlah bahawa saya merupakan doktor mata yang bertugas sepenuh masa. Ramai yang ingat saya pakar motivasi, tapi tidak sebenarnya. Jadual harian saya memang ketat, dan saya cuma ambil masa sejam untuk rancangan ini di IKIM. Saya ingin cadangkan agar kita ubah budaya yang lepas dengar ceramah habis begitu sahaja. Tiada tindakan susulan. Sebenarnya jika kita betul-betul sukakan ilmu, kita tak perlu nak jumpa orang tu sepanjang masa. Ada banyak cara lain lagi untuk mendapatkan ilmu. Contohnya boleh ‘download’ ceramah saya daripada IKIM dan dengar di radio atau ‘mp3 player’. Saya juga banyak dengar ceramah daripada kaset sahaja, kerana niat saya, saya suka pada ilmu, bukan suka pada orang itu. Jika kita suka seseorang, kita perlu suka pada pencipta orang itu. Jangan taksub kepada seseorang. Manusia tetap ada kelemahan, hanya Allah yang sempurna. Setiap ilmu yang baik datang daripada Allah, bukan daripada manusia. Jika terlalu taksub kepada manusia, kerana bila manusia itu buat silap, mulalah kita komen. Saya juga ingin luangkan masa bersama keluarga seperti orang lain juga. Jadi saya juga ada keutamaan hidup saya dan saya bukan hak masyarakat untuk melayan semua keperluan orang lain. Kebiasaannya orang yang emel saya ini bercerita masalah peribadi, saya cadangkan lebih baik mengadu dengan kaunselor, kerana saya bukanlah kaunselor bertauliah. Saya sekadar memberi konsep kehidupan dengan membesarkan minda, kerana orang yang mindanya besar, masalah jadi kecil, dan sebaliknya. Jadi, mari bersama kita perhatikan diri kita.

Soalan & Jawapan:
S: Saya pesakit kencing manis dan sekarang mengalami masalah penglihatan.
J: Pesanan buat semua pesakit kencing manis dan darah tinggi: Jika kedua-dua penyakit ini tidak dikawal, kerosakan pada mata, buah pinggang dan saraf akan berlaku dengan cepat. Pesakit kecing manis, saluran darahnya tersumbat, dan ini akan menyebabkan mudah berlaku pendarahan. Kencing manis juga boleh menyebabkan buta, jadi saya nasihatkan agar kita semua mencegah dan mengamalkan gaya pemakanan dan hidup sihat. Ikut nasihat doktor dan jangan cari rawatan alternatif.

S: Setiap hari saya mulakan kerja dengan niat kerana Allah, namun bila sampai pejabat, majikan marah-marah dan beri kesan negatif pada saya. Saya cuba lihat itu sebagai cabaran tapi kurang berjaya. Bagaimana menghadapai situasi begini?
J: Paling utama ialah kita tak boleh mengubah orang. Kita hanya boleh mengubah diri sendiri. Kebanyakan daripada kita cuma menggunakan minta sedar iaitu 5% sahaja, tapi tidak menggunakan 95% lagi minda bawah sedar iaitu emosi dan hati kita. Walaupun kita cuba berfikiran positif tapi kita masih pandang (dengan mata hati) majikan dengan pandangan negatif. Jadi ini tidak selari dengan apa yang kita fikirkan dan yang menang adalah yang 95%. Itulah sebabnya majikan boleh rasa aura negatif itu daripada kita. Hati dan emosi kita yang perlu diperbetulkan terlebih dahulu. Wujudkan aura positif daripada dalam diri kita dan pandang semua orang dengan penuh kasih-sayang.

S: Bagaimana menjaga kesihatan mata?
J: Secara rohani: Guna mata untuk lihat kebaikan, sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan elakkan melihat benda tak baik dan melihat dengan pandangan tak baik (contohnya: bersangka buruk). Secara fizikal: Banyakkan makan sayuran, elakkan merokok, dan jika perlu pakai cermin mata, sila pakai.

S: Saya ada masalah penglihatan, telah buat pembedahan tapi masih belum pulih sepenuhnya dan perlu buat rawatan susulan, tapi saya tiada masa untuk pergi selalu.
J: Sebenarnya cara penggunaan masa itulah kualiti kehidupan kita. Orang yang tiada masa, tiada keutamaan dalam hidup, dan seterusnya tiada kualiti hidup yang baik. Ramai orang tegur saya garang, dan nak cepat saja di IKIM, tapi saya tak kisah, kerana keutamaan saya adalah untuk memberi kebaikan sebanyak mungkin. Jadi nasihat saya, semoga saudara yang sakit ini redha dengan apa yang Allah tentukan. Redha bukan sabar, kerana orang yang sabar, dalam hatinya dia tidak gembira dengan ketentuan Tuhan. Tapi bila redha, walaupun perkara itu tak baik, kita terima dan berlapang dada. Analoginya, jika kita ditampar anak kita yang masih kecil, kita takkan marah kerana kita sayang padanya. Cuba orang asing jentik kita sedikit sahaja, kita pasti akan rasa geram dan marah. Begitulah kita sepatutnya melihat siapa pemberi musibah itu. Jadi kita perlu kenal Allah, kenal dan renung diri kita. Kita perlu cari tujuan hidup kita. Jangan terlalu pentingkan kesihatan fizikal semata kerana kesihatan hati yang lebih utama. Sakit fizikal paling teruk pun akan mati, tapi hati yang sakit akan beri kesan buruk setelah kita mati sekalipun. Jadi marilah bersihkan hati dengan mencari majlis ilmu. Saya nasihatkan saudara redha dan ikuti rawatan susulun. Jika saudara rasa tiada masa, itulah keutamaan saudara. Kita bertanggung-jawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku pada kita.

S: Apa pendapat Prof. kepada majikan yang terlalu ketara pilih kasih antara pekerja.
J: Ramai antara kita memberi alasan bos pilih kasih sebagai sebab kita tidak dinaikkan pangkat. Tetapi kita tak pernah tanya mengapa bos pilih orang tersebut. Cuba bandingkan peribadi orang tersebut dengan diri kita. Jika orang tersebut kualitinya seperti emas, takkan pula kita yang berkualiti gangsa ini akan dipilih. Sedangkan anak sendiri pun ibubapa akan pilih kasih, inikan pula antara majikan dan pekerja. Hati kita semua ada dalam genggaman Allah sebenarnya. Sebagai majikan, sudah tentu pekerja yang memberi hasil yang tinggi akan lebih disayangi. Renungkan adakah sumbangan yang kita beri kepada syarikat setimpal dengan gaji yang diterima. Jangan merungut, lebih baik berkomunikasi, kerana kualiti kehidupan bergantung kepada kualiti komunikasi kita. Jika adap perkara yang tak puas hati, bawa berbincang secara baik dengan majikan.

S: Majikan sangat pentingkan pencapaian KPI berbading pembangunan emosi dan kebajikan kakitangan. Staf cuba memahami dan berfikiran positif, namun hilang keseronokan di tempat kerja. Mohon nasihat.
J: KPI ini direkodkan untuk ditunjuk kepada pihak atasan sahaja. Oleh itu mari kita ikhlaskan hati bekerja untuk tujuan hidup bukan sekadar memenuhi keperluan hidup. Untuk menjadikan kerja sebagai tujuan hidup, kita perlu jaga 3 perkara: antaranya – jaga ibadah khusus seperti solat, aurat dan batas pergaulan. Jangan sempitkan fikiran sehingga memandang tempat kerja sebagai tempat kumpul KPI sahaja. Kita kena jadikan redha Allah sebagai tujuan utama. Allah paling suka orang yang beri manfaat pada orang lain. Jadi perkara atau tanggapan orang lain tak penting. Bebaskan diri daripada penghargaan orang lain.

S: Saya lepasan ijazah, kerana sukar mencari pekerjaan, saya membantu perniagaan ayah. Ada kalanya saya rasa begitu tertekan untuk menghadapi cabaran perniagaan, namun saya ingin berjaya seperti ayah saya. Saya berumur 26 tahun dan ayah sudah menjalankan perniagaan selama 13 tahun. Mohon nasihat daripada Prof.
J: Tahniah kerana mengorak langkah untuk menjadi usahawan wanita. Orang yang positif, jika menghadapi sesuata perkara negatif, dia akan cuba belajar daripada situasi yang berlaku. Saya sangat suka dengan orang yang menjadi usahawan kerana mereka mencipta kerja. Umur 26 tahun masih muda dan perlu belajar banyak lagi. Jangan kita rasa kita dah cukup pandai. Orang berjaya sangat suka belajar. Kita kena ‘be learners’ bukan jadi ‘blamers’. Usahawan perlu buat kerja daripada peringkat rendah. Jangan rasa diri besar. Kita perlu amalkan perkara-perkara kecil yang boleh beri kebaikan kepada orang lain. Contoh mudah, lepas makan di luar, angkat pinggan sendiri. Walaupun sudah ada pekerja yang diberi gaji untuk melakukannya, tidak salah kita meringankan bebannya. Sama seperti sifat sesetengah orang yang suka buang sampah merata-rata dengan alasan ada tukang kutip sampah. Lagi satu, niatkan menjadi usahawan untuk beri manfaat pada orang lain, jangan jadikan hidup mewah, barang ‘branded’ sebagai matlamat. Amalkan ‘buat baik untuk orang kerana Allah SWT’.

S: Apa pendapat Prof. dengan majikan yang suka memaki-hamun staf, tapi suka berbuat baik di luar pejabat seperti bersedekah.
J: Maki-hamun ini akhlak, dan akhlak banyak bergantung bagaimana seseorang itu dididik. Cuba perhatikan akhlak ibubapa majikan tersebut. Anak-anak yang dibesarkan dengan maki-hamun akan belajar memaki-hamun juga. Jadi, ibu bapa tolong perhatikan diri jika anak-anak tidak baik akhlaknya. Kita perlu bersimpati dengan orang yang dibesarkan sebegini. Berkenaan baik di luar pula, kita pun tak pasti niat seseorang buat baik di luar pejabat. Mungkinkah untuk publisiti?

S: Bagaimana nak bekerja niat kerana Allah. Saya masih mencari-mencari ertinya.
J: Berapa kali kita renung diri kita ini datang daripada mana? Pastikah kita yang kita akan bangun esok? Mungkin hari ini hari terakhir kita. Jadi kita kena fokus mencari redha Allah dengan setiap detik waktu yang diberi. Mulakan setiap perbuatan dengan membaca ‘Bismillahirrahmanirrahim’ – Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bila baca perlu ingat yang Allah Maha Pengasih dan Penyayang, oleh itu kita juga perlu banyakkan sifat kasih-sayang sesama kita. Siapa cari Allah, dia akan dapat segalanya.

S: Ibu saudara berumur 60 tahun, mata berair dan kadang-kadang sakit.
J: Pada umur begini, jika sakit perlu jumpa doktor kerana ada kemungkinan glacoma atau katarak atau mata kering.

S: Majikan mempunyai ilmu agama dan dipandang mulia oleh masyarakat setempat, namun bersifat sebaliknya seperti makan duit syarikat, menipu pela nggan dan menjatuhkan kredibilitinya di kalangan staf.
J: Kita mempunyai 3 jenis personaliti yang berbeza. Pertama, diri kita yang asli  aitu kita ketika masih bayi, kedua diri kita yang palsu kerana mempunyai pangkat dan kekayaan, ketiga diri yang pura-pura, contohnya berimej baik untuk mengambil hati orang ramai.

S: Umur 38, mata selalu gatal, dapat melihat dengan jelas.
J: Gatal mungkin kerana mata kering bila duduk dalam ‘air-cond.’ Gunakan air mata palsu.

S: Ketika ditimpa musibah, ada kalanya rasa meronta-meronta untuk mengadu dengan yang arif, namun saya tak pernah buat begitu kerana yakin bahawa Allah pasti menolong hambanya. Apa pendapat Prof.
J: Tepat seperti apa yang dilakukan. Kita adalah punca masalah, dan penyelesaiannya ada pada kita juga, dengan izin Allah. Jangan bergantung pada manusia lain. Orang barat suka pergi kepada ahli psikologi untuk luah masalah dan menyalahkan kisah lampau, sedangkan kita adalah pilihan kita hari ini. Ujian ialah tanda Allah ingat dan sayang kita. Belajar memperbaiki diri dengan setiap musibah yang melanda. Tanya diri bagaimana saya dapat memperbaiki hubungan dengan Allah. Orang yang mencari Allah, dia akan dapat ‘melihat’ Allah dala setiap situasi. Jangan lihat masalah itu sebagai ‘masalah’, ubah perspektif kita agar dapat mengambil tindakan yang lebih baik.

Kesimpulan:
Para majikan: Rahmatilah pekerjamu. Pekerja merupakan orang yang lebih muda daripada kita, jadi mereka perlukan nasihat. Tapi sebelum nasihat orang, kita sendiri kena tunjuk teladan yang baik, bak kata pepatah: ‘Kayu yang tegak, bayangnya tegak juga. Kayu yang bengkok, bengkoklah bayangnya’. Tentukan apa sekalipun yang kita buat, jangan sampai kita menzalimi pekerja kita.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab