Perihal Talak (2) – Tanyalah Ustaz 01.08.2012
Ustaz Muhammad Abdullah
Bacaan surah An-Nisa’, ayat 19:
Maksud dan jenis
talak:
Talak bermaksud merungkaikan ikatan pernikahan sama ada
secara jelas atau kinayah (tidak jelas).
Contoh ucapan jelas: “Aku ceraikan kau”, “Aku talakkan kau”.
Ucapan ini tidak perlukan niat, kecuali jika dia tidak sedar, melatah atau
hilang akal ketika menyebutnya.
Contoh ucapan kinayah: “Baliklah ke rumah mak ayah kau”,
“Aku dah tak suka kau”. Ucapan begini perlukan niat baru jatuh talak.
Ucapan berbentuk taklik pula contohnya: “Kalau pergi rumah
Peah, jatuh talak”, Lepas dua bulan, aku ceraikan kau”. Ucapan begini boleh
menjatuhkan talak. Ucapan taklik boleh ditarik balik dan dibatalkan, contohnya,
“Saya tarik balik dan benarkan awak pergi rumah Peah”.
Tetapi jika disebut perkataan ‘akan’, tidak jatuh talak,
contohnya: “Kalau nak bercerai sangat, lepas bersalin nanti, saya akan ceraikan
awak”, atau “Lepas 2 bulan lagi, tengoklah macam mana saya akan ceraikan awak”.
Ucapan sebegini tidak menjatuhkan talak.
Syarat sah talak:
- Mentalakkan isterinya yang sah
- Bukan orang yang belum baligh/mumayyiz
- Bukan orang yang hilang akal/mengingau
- Tidak dipaksa
Bagaimana lelaki
perlu melihat talak?
- Jika diri sendiri rasa nak ceraikan isterinya kerana perasaan tidak suka, perhatikan intipati surah An-Nisa, ayat 19 yang dibaca tadi (lihat atas).
- Kalau dipaksa oleh orang lain, suami perlu pertahankan rumah tangganya. Nabi SAW kata jika dia mati semasa mempertahankan keluarganya, matinya itu mati syahid. Bahkan, undang-undang Malaysia juga membantu dan menyokong suami dalam hal ini. Contohya ada akta yang melarang dan mendenda orang yang memujuk lari perempuan yang bersuami. Oleh itu ibu bapa/lelaki lain jangan mudah-mudah mengajak wanita berkahwin keluar dari rumah suaminya. Mereka yang menghalang pasangan yang telah sah berkahwin daripada hidup bersama juga boleh didenda.
- Jika suami tidak mahu menceraikan isteri tetapi menahannya dalam keadaan zalim, Allah suruh lihat ayat 231, surah Al-Baqarah:
Bagaimana isteri
perlu melihat talak?
- Jika suami tidak beri nafkah – boleh jumpa kadi dan mohon cerai taklik.
- Jika isteri disakiti, isteri boleh mintak fasakh.
- Jika kerana perasaan tidak suka – boleh jadi makruh atau haram seperti hadis yang dibacakan tadi.
- Jika minta cerai kerana bermain kayu tiga – hukumnya haram dan berdosa
Jika isteri buat maksiat, suami perlu mendidiknya. Jika
tidak berjaya. Boleh diceraikan kerana jika tidak, suami turut berdosa dan
dianggap dayus.
Dalam perceraian, ada 6 perkara yang lelaki perlu tunaikan
kepada isteri:
- Nafkah yang tertunggak
- Nafkah iddah
- Hadanah – hak penjagaan anak
- Nafkah anak
- Mut’ah – saguhati perceraian
- Harta sepencarian – Mana-mana harta yang terbit semasa perkahwinan
- Orang lelaki perlu tunaikan semua hak ini.
Kesimpulan: Hidup kita ini tidak panjang, jadi jika berbalah, maafkanlah. Berusahalah untuk hidup dalam keadaan harmoni dan jika
boleh, biarlah talak menjadi pilihan terakhir setelah betul-betul berusaha
menyelamatkan perkahwinan.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Ramai pasangan muda bercerai walaupun telah diberi kursus.
Mohon ulasan ustaz?
J: Sebenarnya antara sebab utama adalah kurangnya ilmu
rumah-tangga. Oleh itu setiap orang perlul mencari ilmu rumah tangga, kerana
walaupun seseorang itu sudah mempunyai ijazah, belum tentu ilmu rumah tangganya
mencukupi, bahkan mungkin masih sekadar tahap tadika sahaja.
S: Mohon ustaz kongsi tip untuk jadi orang istimewa seperti
yang ustaz bincangkan semalam?
J: Pertama perlu ada istiqamah. Kedua: kurangkan pilihan
dalam kehidupan – jika ada pilihan, orang akan pilih yang paling mudah. Ketiga:
Banyakkan berdoa, dalam BM pun tidak mengapa. Satu tip yang saya ingin kongsi:
jika tuan/puan sedang merasa susah dengan pasangan – ucapkan “La Haula Wala
Quwwata illa billahi ‘aliyyil ‘azim” Barangsiapa
mengucapkan ini akan diberi keikhlasan dan kekuatan dalam beramal dan
menghadapi sesuatu.
S: Apakah hukum isteri yang suka meminta talak?
J: Jika talak itu tidak wajar – Hadis Nabi SAW ada menyebut,
“Sesiapapun sahaja dari perempuan yang menuntut talak (cerai) dari suaminya
tanpa ada sebab, maka diharamkan atasnya bau syurga”. Bukan saja syurga, baunya
pun diharamkan ke atas perempuan sebegini.
S: Bagaimana nak rujuk jika bercerai talak 3?
J: Wanita itu perlu berkahwin dan ‘bersama’ suami baru
terlebih dahulu. Jika diceraikan oleh suami baru, setelah habis iddahnya, barulah
wanita itu boleh berkahwin semula dengan suami lamanya.
S: Apakah hukum suami mengatakan, “Jika anak sudah besar,
aku akan hantar kau ke rumah orang tua”. Adakah jatuh talak?
J: Tidak jatuh. Lelaki perlu jaga tiga perkara kepada wanita
– lisannya (perkataan yang disebut kepadanya), nafkah dan pendidikan. Wanita
pula perlu jaga 3 perkara kepada suaminya – makanan & pakaian, keperluan
seks dan maruah suami.
S: Apakah hukum menceraikan isteri ketika haid? Setelah
suci, suaminya ingin bersama semula. Apakah hukumnya?
J: Talak itu dinamakan talak bid’ah, jatuh tetapi berdosa.
Setelah suci, jika ingin bersama semula, bolehlah merujuk kembali.
S: Bolehkan wanita yang belum baligh bernikah?
J: Mengikut Islam, boleh dan sah. Tetapi di Malaysia, gadis
di bawah umur 16 tahun perlu mendapat kebenaran mahkamah sebelum bernikah
kerana ditakuti berlaku penganiayaan atau penipuan.
S: Suami kata “Jika balik ke rumah ibu, jatuh talak”.
Bagaimana hukum jika isteri balik ke rumahnya?
J: Dari segi talak, jatuh. Dari segi wajar, memang tidak
wajar dilakukan. Ada 5 jenis ibu bapa yang perlu dihormati dan disayangi: ibu
bapa kandung, ibu susuan, ibu bapa angkat, ibu bapa mertua.