Diet dan Sunnah Rasulullah (1) – Tanyalah Ustaz 25 Ramadhan 1433H (14.08.2012)
Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
Bacaan surah Al-An'am, ayat 141:
Alhamdulillah kita dapat beramai-ramai
berkumpul melihat rancangan 'Tanyalah Ustaz'. Selain daripada sunnah
berpakaian dan akhlak, sunnah tabiat makan Nabi SAW juga sangat elok
diamalkan. Ayat yang dibacakan tadi menunjukkan bahawa Allah
menjadikan pelbagai bentuk tumbuhan dan haiwan untuk menjadi makanan
kita. Daging yang paling disukai Nabi SAW ialah daging kambing. Ada
banyak hadis yang diriwayatkan menyebut bahawa Nabi SAW suka makan
kambing pada bahagian peha, kaki atau dadanya. Antara buah yang Allah
sebut ialah buah zaitun. Kenapa Allah sebut zaitun? Kerana zaitun itu
ada banyak khasiatnya. Saya dibesarkan di negara Arab dan kami diajar
untuk memulakan hari dengan makan susu masam asli dan buah zaitun.
Gabungan makanan ini baik untuk percernaan perut. Begitu juga buah
tamar yang juga mempunyai banyak khasiatnya. Tidak ketinggalan ialah
buah delima. Bukan setakat buahnya, kulitnya juga boleh digunakan
untuk membersihkan kulit lain. Inilah antara bentuk nikmat yang Allah
berikan kepada kita. Sayangnya kita tidak mengkaji
kelebihan-kelebihan makanan ini. Jika kita tak tahu, Allah minta kita
bertanya dengan mencari ilmu.
Faedah makanan yang baik adalah
kesihatan. Nabi SAW menyuruh kita menjaga 5 perkara sebelum 5 perkara
yang lain iaitu hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, kaya sebelum
miskin, lapang sebelum sibuk. Sebelum mati, kita ingin merasa
segala jenis makanan. Tidaklah salah, tetapi biarlah makan itu secara
sederhana sahaja. Nabi SAW berpuasa untuk mendapat
kesihatan.
Makan yang banyak boleh menyebabkan
penyakit. Para doktor pun takut dengan kedatangan bulan Syawal,
kerana mengikut mereka akan berlaku banyak kes sakit kerana terlebih
makan. Para ulama pula mengatakan makan banyak boleh mematikan akal
dan hati. Oleh sebab itulah, bila baca Quran sekalipun tak terasa
apa-apa di hati. Luqman Nul-Hakim mengatakan makan banyak akan
menyebabkan akal mati dan kerugian banyak ilmu. Orang yang makan
banyak juga akan susah faham ilmu apabila membaca, dan jika makan
banyak sebelum tidur pula, pasti susah bangun untuk Qiyyamullail.
Antara makanan yang Nabi SAW suka makan ialah:
cuka, tetapi dalam kuantiti yang kecil sahaja.
garam, juga sekadar secukupnya sahaja. Nabi jilat garam kerana pada zaman itu, garam tak dicampur dalam makanan lagi. Kita hari tak perlulah buat begitu, kerana garam sudah dimasukkan dalam makanan.
Nabi makan menggunakan tiga jari sahaja, dan biasanya cara ini praktikal untuk makan roti. Selepas makan, Nabi SAW akan jilat jari dan apabila dibuat kajian didapati terdapat banyak enzim pada jari yang boleh membantu proses percernaan.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Apakah keistimewaan diet Rasulullah
yang boleh dijadikan amalan kita?
J: Nabi SAW tidak akan menyuruh kita
makan sesuatu kecuali jika ada kebaikannya, kerana Nabi SAW bertindak
mengikut wahyu. Para ulama membincangkan dan mengatakan yang makanan
yang dimakan Nabi SAW boleh memberi kekuatan untuk melakukan ibadah
dan memberi kesihatan. Aisyah r.a. Pernah menegur kenapa Nabi SAW
perlu solat susah-payah sehingga bengak-bengkak kakinya.Lalu, Nabi
SAW menjawab, “Salahkah jika aku ingin bersyukur pada Allah?
S: Benarkan orang kata kalau nak sihat,
perlu makan makanan orang Arab, kerana Nabi SAW merupakan orang Arab.
Mohon penjelasan ustaz.
J: Sebenarnya, Allah berfirman yang
Allah jadikan kita berbeza-beza kerana saling mengenali. Oleh itu,
terdapat berbagai jenis makanan dalam dunia ini. Nabi SAW makan
sedikit sahaja. Nabi tidak pernah lupakan rakah-rakan ketika makan.
Jadi, tidak semua makanan Arab itu baik untuk kesihatan, kerana
kebanyakannya menggunakan minyak tepu yang berkolestrol tinggi. Walau
apa pun yang dimakan, perlulah secara sederhana sahaja.
S: Kenapa Nabi Saw suka makan kambing
tetapi orang kita mengatakan kambing berkolesterol tinggi?
J: Sebenarnya, kandungan kolesterol
dalam kambing adalah yang paling rendah, berbanding lembu atau ayam
sekalipun. Walaupun, kandungan kolesterolnya rendah, jika kita makan
banyak, akan tetap memudaratkan. Nabi SAW makan sedikit saja
berbanding kita. Nabi menganjurkan agar kita makan cuma 1/3 bahagian
perut, 1/3 lagi simpan untuk air dan 1/3 lagi untuk udara. Jika makan
kambing, Nabi juga meneutralkannya kembali dengan cuka atau benda
masam. Orang kita bila tengok lemon diletak pada gelas, kita buang.
Tetapi sebenarnya lemon itu perlu dimakan kerana bersifat neutral
dengan makanan bakar atau berminyak yang dimakan. Nabi SAW juga
sangat aktif orangnya, pedangnya begitu berat untuk diangkat.
S: Adakah jika saya makan makanan
sunnah, saya tidak akan terkena penyakit?
J: Penyakit itu hak mutlak Allah.
Kadang-kala, Allah uji hambanya dengan kesusahan dan kesakitan dan
ada kalanya dengan kesenangan. Kita cuma boleh berusaha, namun kena
redha dengan ketentuan Allah.