Solat & Perihal Kesihatan (1) – Tanyalah Ustaz 13 Ramadhan 1433H (02.08.2012)
Ustaz
Ahmad Dusuki bin Abdul Rani
Bacaan
surah Al-Baqarah, ayat 43-45:
Hari
ini akan dibincangkan kelebihan solat daripada segi kesihatan. Solat
merupakan asas dalam kehidupan dan tiang agama. Nabi SAW ada bersabda
yang bermaksud, "Solat itu tiang agama, siapa yang
mendirikannya, maka dia mendirikan agama. Siapa yang meninggalkannya,
maka dia meruntuhkan agama”. Ada banyak lagi hadis berkaitan solat
- antaranya Nabi SAW menyebut - “Solat itu anak kunci syurga”,
“Solat merupakan perkara pertama yang akan dihisab diakhirat
nanti”.
Nabi
SAW sentiasa mengutamakan solat. Jika mengembara bersama sahabat,
Nabi SAW akan sibuk bertanya bagaimana dan nak solat di mana.
Sebaliknya, kita hari jika berjalan, sibuk bertanya bagaimana dan di
mana nak makan.
Solat
boleh memberi kesihatan luaran dan dalaman. Seperti yang disebut
dalam ayat yang dibacakan tadi, Allah meyuruh kita minta pertolongan
dengan mengerjakan solat. Sebab itu Allah juga ada menyebut bahawa
setiap perkara dalam hidup ini adalah berat kecuali kepada mereka
yang kusyuk dalam solat.
Hari
ini, kita akan fokus kelebihan solat kepada kesihatan fizikal.
Antaranya:
Solat
boleh memberi ketenangan kepada seseorang. Hidup ini tidak pernah
lekang daripada ujian. Oleh itu, cara terbaik menghadapi bebanan
ujian dan tekanan dengan bersolat. Apa itu solat? Solat itu maknanya
kita berdoa. Bermula dengan takbiratul ihram, kita tak putus-putus
mengucapkan doa sehinggalah diakhiri dengan salam. Ketika solat, kita
bermunajat dan mengadu pada Allah, lalu minda kita direhatkan dan ini
akan menjadikan jiwa kita tenang. Oleh sebab itulah, ketika Nabi SAW
menhadapi tekanan, baginda pernah menyebut kepada Bilal, “Mari
rehatkan diri kita dengan solat”. Solat itu boleh menjadi pengurang
tekanan kepada kita. Bagi wanita yang haid dan tidak boleh solat,
ulama mengatakan boleh amalkan selawat untuk menenangkan hati. Selain
itu, boleh juga amalkan zikir-zikir. Universiti Harvard juga pernah
membuat kajian dan mendapati bahawa solat dapat meringankan tekanan.
Orang bukan Islam pun meyakini kebenaran kelebihan solat.
Solat
juga dapat memberi kesegaran kepada fizikal. Contoh mudah, kita rasa
segar ketika melakukan solat terawikh. Nabi SAW solat begitu lama dan
sehingga bengkak-bengkak kakinya, namun baginda kekal sihat.
Pergerakan dalam solat mengerakkan oto-otot dan menguatkan jantung.
Ulama
mengatakan solat dapat menurunkan berat badan. Pengkaji daripada
Universiti Malaya juga mendapati bahawa solat dapat membakar kalori,
memberi keseimbangan pada badan dan dengan itu mengurangkan berat
badan.
Solat
dapat meningkatkan daya imunisasi. Jika kita baca dalam sirah sahabat
Nabi SAW, Sayyidina Umar ditikam sebanyak 11 kali ketika ingin
mengimamkan solat Subuh, namun semua sahabat tidak perasan. Lalu Umar
memberitahu dan ketika itu, sahabat-sahabat pun mengepung Abu Lu’
Lu Ah yang menikamnya. Abu Lu'Luah cuba melarikam diri dan menikam
pula 11 orang sahabat yang lain. Setelah merasakan dia tidak dapat
melepaskan diri, Abu Lu'luah menikam dirinya sendiri dan mati
ditempat kejadian. Keadaan ini berbeza dengan Umar yang ditikam 11
kali, namun masih kuat. Umar kemudiannya diusung dan dibawa balik ke
rumahnya. Ketika sampai dirumah, Umar teringat yang dia belum solat.
Lalu dia memberitahu sahabat yang dia ingin solat. Sahabat memintanya
solat berbaring, namun dia menolak kerana dia risau yang itu akan
jadi solatnya yang terakhir. Tengoklah bagaimana Umar yang telah
ditikam sekalipun pun masih berusaha untuk berdiri dan solat,
sedangkan kita yang tak ditikam ini pula terasa begitu berat untuk
bangun dan solat. Diriwayatkan, Umar dapat bertahan sehingga selepas
waktu Zohor barulah dia wafat. Inilah kekuatan yang Allah beri kepada
orang yang kuat solat.
Solat
dapat menyihatkan otot-otot dan sendi-sendi. Ketika kita bangun di
pagi hari, sendi-sendi akan saling memberi salam kepada satu sama
lain. Mereka mula bergerak dan kemudian berpesan kepada lidah agar
membetulkan dirinya supaya sendi-sendi lain juga menjadi baik. Oleh
sebab itu, kita perlu memulakan hari dengan solat Subuh dan turut
menjaga solat-solat lain.
Solat
mengajar kita untuk fokus dalam setiap kerja yang dilakukan. Solat
melatih kita untuk fokus dan inilah yang membantu kita kusyuk dalam
solat. Orang yang menjaga solat, Allah akan membantunya ketika di
penghujung hayatnya. Manakala orang yang tidak solat pula akan
menghadapi ujian getir ketika menghadapi sakaratul maut. Ketika
hidup, dia juga tidak dapat fokus dalam pekerjaan dunia dan merupakan
seorang yang tidak efektif.
Solat
dapat merawat penyakit sedia ada, contohnya sakit pinggang dan sakit
lutut. Ulama membincangkan bahawa jika kita betul-betul rukuk 90
darjah, dalam masa 3 minggu, penyakit sakit belakang boleh sembuh.
Menurut kajian lain pula, pergerakan solat selama selama 30 minit
(12 rakaat solat sunat) selama 3 kali minggu sahaja sudah boleh
menyembuhkan penyakit mati pucuk. Satu lagi penyakit yang didapati
boleh diubati dengan solat ialah penyakit jantung. Kedudukan dalam
sujud merupakan ketika paling baik jantung berfungsi. Selalunya bila
penat, kita rasa bila baring kita akan memberi kerehatan kepada
jantung, tetapi cuba kita amalkan solat dan sujud dengan lebih lama.
Nabi SAW juga menyebut bahawa saat sujud merupakan saat paling dekat
seorang hamba dengan Allah dan kita amat digalakkan berdoa ketika
itu.
Kesimpulan:
Janganlah
tinggalkan solat, dan jika ada yang telah ditinggalkan, bertaubatlah
dan gantikan semula jika mampu. Esok akan dibincangkan kelebihan
solat untuk kesihatan rohani pula.
Senarai
soalan dan jawapan:
S:
Ramai yang solat tapi masih melakukan maksiat. Mengapa dan adakah
memberi kesan kepada kesihatan mereka?
J:
Itu kerana dia belum mendirikan solat yang sebenar-benarnya. Solat
yang sebenar akan membantu mencegah perkara fasyak (bunga-bunga
kepada perkara mungkar) dan mungkar.
S:
Ada orang yang solat kadang-kadang saja, namun dia sihat dan
kaya-raya. Apa komen ustaz?
J:
Perkara ini ada dibincangkan oleh ulama, dan dikatakan bahawa
kesenangan dan kekayaan itu merupakan ujian bagi mereka. Inilah yang
Allah nyatakan dalam ayat yang ringkasannya bermaksud, “Ketika mana
mereka lupa pada peringatan Allah, Allah buka segala pintu maksiat
yang ingin dilakukan, dan ketika mana dia sedang gembira melakukan
maksiat, Allah cabut nyawanya lalu menjadilah dia tertanya-tanya dan
terkejut dengan keadaannya”.
S:
Adakah seseorang yang meninggalkan solat akan mendapat penyakit?
J:
Paling minimum, dia akan mendapat penyakit terlalu mencintai dunia
dan melupakan akhirat. Semua perintah Allah adalah untuk menjadikan
kita sebagai hambanya yang soleh.
S:
Bolehkah mengerak-gerakkan jari ketika bacaan tahiyat awal dan akhir?
J:
Ada beberapa pandangan ulama dalam hal ini – ada ulama mengatakan
dengan menggerakkan jari, kita akan mengingati Allah. Namun mengikut
imam Syafie, memadailah mengangkat jari sekali sahaja, tidak perlu
digerakkan banyak kali kerana ianya boleh menganggu kusyuk.
S:
Adakah dengan merapatkan saf dapat memberi kesihatan?
J:
Betul, ulama mengatakan solat jemaah dapat memberi kekuatan. Ketika
bersentuhan, ada cas-cas tertentu yang akan dikeluarkan. Oleh sebab
itu, Nabi suruh kita rapatkan dan luruskan saf. Ulama mengajar kita
agar mencari tempat duduk di sebelah orang yang kusyuk, agar kita
‘terjangkit’ dengan kusyuknya juga.