Raya di Perantauan (2) – Tanyalah Ustaz 23.08.2012


Ustaz Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz


Bacaan surah Al-Maidah, ayat 114:

Inilah satu-satunya ayat yang menyebut tentang hari raya di dalam Al-Quran. Mariam meminta makanan – oleh itu secara tak langsung itu menunjukkan bahawa salah satu cara beraya adalah dengan makan. 

Saya juga selalu beraya di perantauan kerana bertugas sebagai imam. Setelah bersara barulah berpeluang beraya bersama keluarga di kampung. Walaupun ada perasaaan sedih, namun syarak tidak menggalakkan kita berperasaan begitu. Oleh sebab itu juga kita perlu bayar zakat fitrah sebelum sembahyang raya agar mereka yang miskin mendapatnya segera dan berpeluang bergembira bersama.

Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Orang yang berpuasa berhak menerima dua kegembiraan (farhatun) iaitu ketika berhari raya dan ketika balik mengadap Allah SWT”. Satu lagi perkataan arab yang bermaksud gembira/berpesta ialah lahwun. Namun yang dimaksudkan dalam hadis Nabi SAW ialah ‘farhatun’, bukanlah ‘lahwun’. Sepatutnya mengikut Islam, Eidul Adha adalah lebih utama dirayakan berbanding dengan Eidul Fitri. Tak tahulah siapa yang tukar? :). Takbir untuk Eidul Adha adalah selama 4 hari berbanding sehari sahaja untuk Eidul Fitri.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah menjadi kemestian beraya bersama keluarga atau kita beraya saja di mana saja kita berada?
J: Tidak menjadi kemestian beraya bersama keluarga. Dalam Islam tidak timbul soal beraya di kampung. Dalam Islam ada istilah bermukim, bermusafir atau bermastautin. Bila bermukim/bermastautin, tentulah ada rakan-rakan, jadi bolehlah beraya bersama mereka. Tetapi, jika mampu, digalakkan untuk berkumpul bersama keluarga terutamanya bersama ibu bapa yang telah tua agar mereka tidak bersedih mengenangkan anak yang tidak pulang.

S: Ada orang yang berkemampuan beraya di luar negara. Apa komen ustaz?
J: Betul, ada berlaku. Pada pendapat saya, ini amalan yang kurang baik. Sepatutnya, pada hari raya hari kita berkumpul bersama ibu bapa dan adik-beradik dan bermaaf-maafan. Jika nak pergi, tunggulah setelah beberapa hari raya dahulu.

S: Mana yang lebih baik beraya di kampung atau di tempat kita bermukim?
J: Pada hari raya, digalakkan kita ziarah-menziarahi, bermaafan dan juga melawat pusara mereka, terutama ibu-bapa, yang telah meninggal. Oleh itu, walaupun jika ibu bapa meninggal di kampung, pada pendapat saya pulanglah juga untuk melawat pusara mereka.

S: Biasanya berlaku pertelagahan antara suami dan isteri untuk beraya di kampung suami atau isteri. Bagaimana untuk menyelesaikannya?
J: Cara paling baik ialah buat giliran dan patuhinya. Kalau tak pun, baliklah beraya 2-3 hari dahulu di satu kampung, kemudian sambung beberapa hari lagi di kampung lagi satu. Berbincanglah elok-elok dan saling bertolak-ansur.

S: Jika terpaksa beraya di perantauan, apa yang perlu dilakukan?
J: Walaupun beraya di perantauan, cubalah juga untuk bergembira. Sebenarnya, ada kalanya beraya di perantauan lebih gembira kerana ada chef yang memasak dan ramai rakan-rakan berkumpul setempat.

S: Ada juga keluarga yang pergi ke Genting Highland, berkelah atau berkhemah ketika hari raya. Apa komen ustaz?
J: Dalam tradisi orang Arab, mereka ada pergi berkelah pada hari raya. Namun, kita di Malaysia tak perlulah buat begitu. Hari lain masih ada untuk pergi berkelah. Hari raya adalah hari untuk berziarah dan bermaaf-maafan.




Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab