Meraikan Perayaan Dalam Islam (1) – Tanyalah Ustaz 18.08.2012
Ustaz Rujhan Mohamed
Razali
Alhamdulillah, kita diizinkan-Nya untuk masih lagi bernafas, dan lebih utama lagi kita perlu bersyukur kerana dipertemukan dalam majlis ilmu. Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 1-5:
Islam merupakan agama wahyu, dan merangkumi seluruh pelusuk
kehidupan. Dalam Islam, hanya ada 2 perayaan – Eidul Fitri dan Eidul Adha.
Selain daripada itu dinamakan memperingati contohnya Maulidur Rasul. Antara 2
perayaan ini, Eidul Adha yang lebih utama. Namun, kita di Malaysia lebih
mengutamakan Eidul Fitri pula. Dalam Islam, Eidul Fitri cumalah sehari.
Meraikan perayaan bukan bermakna berpesta, tetapi lebih kepada bersyukur kepada
Allah. Kita perlu ingat, Allah tidak pernah memberi lessen kepada kita untuk
melakukan kemungkaran seperti pergaulan bebas, pembaziran, makan berlebihan dan
sebagainya pada hari raya.
Sebagai seorang mukmin, kita pelu mencari petunjuk cara
meraikan hari raya di dalam Al-Quran. Cara meraikannya dimulakan dengan rasa
syukur kepada Allah SWT, kerana telah berjaya melalui sebulan Ramadhan dan
kembali kepada fitrah yang suci bersih. Kita semua pernah berjanji bahawa Allah
Tuhan kita ketika di alam roh,
jangan lupakan janji ini. Ketika di alam dunia, kita tergoda dengan ajakan
syaitan dan nafsu sehingga melupakan fitrah kita yang taat kepada Allah. Bulan
Ramadhan adalah bertujuan untuk mengembalikan kita kepada fitrah asal ini.
Hari raya merupakan hari kemenangan bagi yang berjaya
memperoleh taqwa dan menundukkan nafsu, hasil daripada didikan sebulan madrasah
Ramadhan. Semoga ibadah kita kekal sama dengan amalan-amalan sunatnya, walaupun
Ramadhan telah berakhir. Setelah sebulan berpuasa, ada yang keluar dari pintu
taqwa, namun ada juga yang keluar setelah cuma mendapat lapar dan dahaga
sahaja. Taqwa itu maknanya memelihara diri daripada menerima azab Allah dengan
melakukan suruhan-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya. Oleh itu, orang yang
bertaqwa takkan tinggal solat fardhu, di samping melakukan ibadat- ibadat sunat
yang lain.
Apa saja yang kita lakukan, biarlah ianya menjadi satu
bentuk ibadah agar ianya dapat menjadi bekalan kita ke akhirat nanti. Begitu
juga dalam meraikan perayaan Aidil Fitri. Cara untuk meraikan seperti yang yang
ditetapkan dalam agama ialah:
- Bersyukur kepada Allah (ibadah dalam jiwa) kerana masih dipanjangkan umur
- Tunaikan amalan sunat yang dituntut seperti mandi sunat, pakai pakaian terbaik, solat sunat, saling bermaafan, saling menziarahi.
- Elak perkara yang bertentangan dengan syariat yang Allah telah tetapkan.
Barangsiapa menggembirakan hati orang lain, InsyaAllah Allah
akan berikan kegembiraan kepadanya. Barangsiapa yang melepasakan kedukaan orang
lain, Allah akan melepaskan 70 kedukaannya ketika di akhirat nanti. Inilah
kelebihan agama Islam yang membudayakan kasih sayang dalam kalangan
penganutnya. Sayangnya, nilai ini semakin berkurangan dalam masyarakat hari
ini.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Adakah betul cara meraikan raya dengan membayar zakat, mandi sunat, meminta maaf dan
ziarah-menziarahi?
J: Kita mahu raya menjadi ibadat, bukan setakat budaya
sahaja. Ibadat zakat fitrah perlu ditunaikan sebelum tamat tempohnya agar pahala
amal ibadat yang kita lakukan tidak tergantung. Mandi sunat pula melambangkan
betapa Islam mementingkan kebersihan. Saling bermaafan memang bagus, tetapi
lebih bagus jika diamalkan setiap hari. Ziarah- menziarahi juga merupakan
amalan yang sangat digalakkan dalam Islam kerana ianya menyambung silaturrahim.
S: Adakah wang
kutipan zakat boleh digunakan untuk meraikan anak-anak yatim dan orang susah
dalam majlis berbuka puasa?
J: Zakat itu ada penerima-penerima yang layak. Anak yatim
tidak termasuk kerana mungkin anak yatim itu anak orang yang kaya. Oleh itu,
jika dibuat majlis berbuka puasa, mungkin ada terlibat orang yang tidak layak
mendapat wang zakat. Majlis untuk meraikan dan menggembirakan anak yatim memang
baik, tetapi gunakanlah wang daripada sumber lain.
S: Bagaimana untuk meraikan golongan kurang bernasib baik
seperti anak yatim, golongan fakir?
J: Teladan kita yang terbaik ialah Nabi SAW. Nabi SAW suka
menggembirakan anak yatim. Oleh itu kita perlu ikut jejak langkah baginda. Cara
meraikan golongan kurang bernasib baik adalah dengan memberi bantuan dalam
bentuk wang, tenaga perhatian dan kasih sayang dan sebagainya.
S: Ramai yang tidak meraikan perayaan tanpa mengikut
syariat, malah melakukan pembaziran pula.
J: Benar, ramai yang melanggar syariat dalam menghadapi
Ramadhan dan Syawal. Nikmat yang Allah beri boleh membawa kemurkaan apabila
kita salah-gunakannya seperti membazir. Untuk mengatasi permasalahan ini, kita
perlu ada kesedaran dan ilmu
berkaitan perayaan dalam Islam. Kita perlu mengubah persepsi kita terhadap raya
seperti yang ditunjukkan Allah SWT. Kita perlu sentiasa ingat kepada hari
akhirat. Jangan sampai menjadi muflis kerana tersangkut dosa kepada ramai
manusia.
S: Kenapa kita diseru berbuat baik kepada orang susah?
Kenapa sambut Aidil Fitri?
J: Sifat hidup orang bertaqwa ialah memasukkan kegembiraan
dalam hati orang lain. Inilah sifat orang mukmin – oleh itu, apabila bangun
setiap pagi, sematkan dalam hati untuk menjadi seorang mukmin. Allah bersifat
Maha Pengasih dan Penyayang. Ada sebuah kisah tentang seorang pelacur yang
memberi minum seekor anjing yang kehausan dengan keadaan susah-payah. Dengan
rahmat Allah, Allah menilai sifat kasih sayang yang ada dalam hatinya dan mengampunkan
dosa-dosa maksiatnya. Jika kebaikan yang dilakukan seorang pelacur pun Allah
beri ganjaran yang baik, inikah pula amalan baik yang dilakukan oleh seorang
mukmin. Ertinya, bermula dari Ramadhan lagi, kita amat digalakkan untuk
bersedekah atau memberi. Apa yang kita dapat, akan terhenti setelah kita mati.
Namun apa yang kita beri, akan terus hidup walaupun kita telah mati. Ramai yang
memberi sedekah kepada anak yatim ketika di bulan Ramadhan dan Syawal saja,
tetapi mereka dilupakan di sepanjang bulan-bulan yang lain. Sepatutnya momentum
memberi kepada mereka diteruskan sepanjang tahun dan sangat disarankan dalam
agama kita. Orang yang hebat sentiasa menggembirakan hati orang lain.
S: Apakah maksud kemenangan setelah berpuasa sebulan?
J: Kalau seorang ahli sukan, pemenangnya adalah orang yang
paling laju, atau paling banyak gol dan sebagainya. Kemenangan Ramadhan pula
perlu dilihat dalam sudut pandangan Allah, Nabi SAW dan agama. Hakikat
kemenangan sebenar ialah apabila dia berjaya menundukkan nafsunya, dan meraih
taqwa. Taqwa dan nafsu bersifat berlawanan – jika nafsu ditekan (dengan latihan
lapar dan dahaga ketika Ramadhan), taqwa pun akan meningkat. Sebaliknya, jika
nafsu ditingkatkan, taqwa pasti akan merudum ke bawah.
S: Apakah kaitan sambuat Aidil FItri dengan budaya
bermaaf-maafan? Adakah dosa seseorang itu akan dimaafkan ketika hari raya
walaupun telah setahun lamanya tidak bertegur sapa?
J: Islam menuntut kita untuk memaafkan orang. Orang yang
berakhlak baik adalah orang yang memaafkan orang yang berbuat jahat kepadanya. Orang yang lebih hebat lagi ialah
orang yang berbuat baik kepada orang yang berbuat kejahatan padanya. Bermaafan
memang sepatutnya kita jadikan budaya dalam kehidupan, tetapi janganlah sekadar
pada hari raya sahaja. Adakah kita pasti yang umur kita akan dipanjangkan untuk
meminta maaf pada hari raya berikutnya. Oleh itu, amalkan budaya bermaafan
setiap hari. Nabi SAW sangat melarang kita tidak bertegur sapa. Dosa besar yang
ramai orang tidak sedar melakukannya ialah dosa berpecah belah, tidak bertegur
sapa, dan memutuskan silaturrahim. Nabi SAW berkata hanya orang beriman yang
akan masuk syurga. Iman pula berkadar terus dengan kasih sayang. Seseorang itu
takkan betul-betul beriman, jika tiada kasih sayang dalam hatinya. Dengan kasih
sayang, mudahlah untuk seseorang memberi kemaafan. Hidup ini terlalu singkat,
jangan isikannya dengan sengketa dan air mata.