Pengertian Hari Raya (1) - Tanyalah Ustaz 20.08.2012
Ustaz Dato’ Abu Hassan Din
Bacaan surah Al-Maidah, ayat 114:
Alhamdulillah bertemu dalam keadaan kemeriahan hari raya.
Hari raya merupakan hari untuk kita bergembira dan melahirkan kesyukuran kepada
Allah SWT. Sebulan lamanya telah kita menahan nafsu dengan berpuasa pada
siangnya, dan menambah amalan sunat pada malamnya. Harapan saya, agar kita
semua dapat mengekalkan kejayaan ini di luar Ramadhan juga. Kita perlu ingat
dalam satu hadis, Nabi SAW ada menyebut yang Jibril ada menyebut “Celaka
seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak
diampuni dosanya oleh Allah”.
Sebagai tanda kesyukuran, kita berbaju baru, berlangsir
baru, malahan ada juga yang bertayar kereta baru :D. Namun, disamping
bergembira, kita tidak boleh melanggar syariat-syariat yang telah Allah
tetapkan. Nabi SAW suruh kita bergembira dengan perasaan (farhatun),
bukannya berhibur dengan menyanyi, menari, bergaul bebas (lahwwun).
Senarai soalan dan
jawapan
S: Apakah pengertian hari raya?
J: Hari raya berasal daripada perkataan ‘Eid’. Dalam
masyarakat kita, perkataan ‘raya’ melambangkan sesuatu yang besar, hebat dan
istimewa. Dalam Islam, erti sebenarnya ialah hari untuk kita bergembira. Nabi
SAW mengatakan, “Ada dua kegembiraan kepada orang yang berpuasa – Pertama
ketika menyambut Hari Raya, dan kedua ketika dia balik bertemu Allah SWT”. Pada
hari raya, Islam tidak menggalakkan orang bersedih pada hari raya. Oleh sebab
itu kita perlu membantu orang susah agar mereka juga berpeluang untuk sama
bergembira.
S: Dalam Islam ada berapa hari raya?
J: Ada dua – Eidul Adha dan Eidul Fitri. Nabi SAW sebut
Eidul Adha dahulu, sebelum disebut Eidul Fitri. Eidul Adha dirayakan selama 4
hari bermula daripada hari tasriq, Eidul Fitri pula hanyalah sehari. Tetapi
jika nak beraya sebulan, tidaklah salah asalkan perbuatan yang dilakukan tidak
menyalahi syariat.
S: Ada golongan warga emas yang menganggap hari raya biasa
saja. Apa komen ustaz?
J: Betul, ada yang menganggap hari raya ini untuk
kanak-kanak sahaja. Hari raya untuk semua orang sebenarnya. Semua orang yang
berpuasa layak bergembira pada hari raya. Paling tidak, sambutlah dengan
perasaan gembira – dengan berpakaian baru, menghias rumah dan muka
berseri-seri.
S: Bilakah hari raya mula dalam Islam dan dari mana asalnya?
J: Raya bermula setelah Allah mensyariatkan puasa pada tahun
kedua Hijrah. Ketika itu, masyarakat Jahiliyyah sudah pun mempunyai 2 hari raya
tersendiri – iaitu hari berpesta dengan maksiat. Nabi SAW pernah bersabda,
“Inginkah kamu jika aku tukarkan hari raya kamu dengan 2 hari raya yang lebih
baik iaitu Eidul Adha dan Eidul
Fitri”.
S: Jika hari raya hari untuk bergembira, mengapa kanak-kanak
dilarang bermain mercun?
J: Kanak-kanak atau orang tuakah yang main mercun?:D Bermain
mercun atau bunga api bukanlah syariat Islam sebenarnya. Larangan ini dibuat
atas dasar menjaga keselamatan. Ada ulama yang melarang kerana ianya merupakan
satu bentuk pembaziran. Jika ingin main bunga api, tidaklah mengapa tetapi perlu dengan pantaun ibu bapa.
S: Kita beraya kerana 1 Syawal atau kerana telah sebulan
berpuasa?
J: Mengikut pandangan saya, kita beraya kerana berjaya
menundukkan nafsu sebulan di bulan Ramadhan. Sebenarnya kita sepatutnya sedih
apabila Ramadhan berlalu, tetapi kita gembira kerana berjaya mendidik nafsu.