Mencari Lailatul Qadr (2) – Tanyalah Ustaz 18 Ramadhan 1433H (07.08.2012)

Ustaz Dr. Abdul Basit Abdul Rahman

Bacaan surah Al-Dukhan, ayat 44:

Huraian ayat:
Ayat 2 menyatakan Al-Quran bersifat menerangkan yang hak dan yang batil.

Ayat ke-3 menunjukkan yang Al-Quran bersifat memberitahu cara targhib (galakan cara mendapatkan pahala) dan tarhib (balasan jika melakukan dosa). Inilah ciri-ciri keindahan Islam. Saya ada menulis sebuah buku bertajuk - 'Keindahan Islam' secara ringkas.

Ayat ke-4: menyatakan bahawa segala takdir kehidupan kita telah pun ditulis semasa kita masih dalam kandungan ibu lagi dan disimpan di Lauf al Mahfuz.  Pada malam Lailatul Qadar, akan diberikan takdir kita untuk setahun kepada malaikat. Dalam masyarakat kita, ini juga dikenali sebagai malam ‘tukar buku’ seperti yang biasanya dikatakan berlaku pada malam Nisfu Syaaban. Menurut Imam Ibnu Kathir, ianya berlaku pada malam Lailatul Qadar dan sesiapa yang mengatakan ianya berlaku pada malam Nisfu Syaaban telah jauh dari fakta yang sebenar.

Ada pendapat yang mengatakan tiada lagi malam Lailatul Qadar. Namun, kita jangan sempitkan fikiran kita dan rebutlah peluang untuk menambah ibadat.

Sambungan perbincangan: Semalam ada saya sebutkan bahawa Lailatul Qadar bermaksud sempit kerana ramainya malaikat yang turun. Sambungan huraian ayat ke-5 surah Al-Qadr:

‘Salam’ di sini bermaksud bahawa tiada lagi gangguan syaitan. Jadi, jika masih ada berlaku maksiat atau kejahatan, itu merupakan perbuatan ‘khalifah-khalifah syaitan’. Ada juga ulama mengatakan yang ‘salam’ itu juga bermaksud tiada penyakit yang turun pada malam itu. Oleh sebab itu, Nabi SAW mengajar agar sebelum tidur kita menutup bekas-bekas makanan dan minuman. Para ulama membincangkan sebabnya dan dikatakan bahawa wabak penyakit akan turun pada waktu malam. Makna ketiga pula ialah ‘yang penuh kebaikan’. Oleh sebab itu, kita berharap agar kita sedang berbuat kebaikan ketika berlakunya Lailatul Qadar.

Tanda Lailatul Qadar hanya boleh dilihat pada waktu paginya. Jadi, tak perlulah kita terlalu mencari-cari tandanya dan jika terjumpa pun, tak perlu diheboh-hebohkan. Jika Allah kehendaki, pasti akan dibukakan kepada orang yang terpilih itu.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah wanita yang uzur berpeluang mendapat Lailatul Qadar?
J: Memang soalan ini banyak berlegar dalam fikiran muslimat sehinggakan ada yang sanggup ambil pil tahan haid. Namun, Nabi SAW tidak pernah mengajar isteri-isterinya berbuat begitu. Nabi SAW menyuruh kita meneruskan dengan ibadat sepanjang masa. Ada banyak bentuk ibadat yang boleh dilakukan – jika tidak boleh baca Quran, boleh mendengar, menghadiri majlis ilmu dan sebagainya. Niat baik pun InsyaAllah akan mendapat pahala, apabila terhalang oleh syarak untuk menunaikannya.

S: Ramai orang Islam pergi menambah ibadat di bulan Ramadhan namun masih mengata dan mencaci antara satu sama lain. Mohon pandangan ustaz.
J: Puasa itu bukan sekadar tidak makan dan minum. Kita perlu juga jaga diri daripada berbuat perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala puasa.

S: Lailatul Qadar ini umpama memburu pingat emas dan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diraih. Mohon pendapat ustaz?
J: Nak dapat Lailatul Qadar tidaklah sesusah untuk mendapatkan pingat emas olimpik! Lailatul Qadar itu pasti akan berlaku, cuma persoalannya adakah ketika itu, kita sedang beribadah atau berbuat maksiat? Paling kurang kita amalkan seperti yang saya ajar semalam – solat fardhu berjemaah, solat terawikh bersama imam sehingga selesai, dan sambung dengan tadarrus dan amalan baik yang lain. Jika tidak mampu ke masjid atas halangan tertentu, boleh juga beramal di rumah. Dan jangan lupa dengan kaedah Abu Annas – “Kalau tak mampu buat ibadat, jangan buat maksiat”.

S: Kenapa kita sering mengantuk untuk beribadat ketika Lailatul Qadar?
J: Jika mengantuk, tidur. Jangan pula tengok TV atau telefon orang dan mengumpat pula. Boleh juga amalkan zikir – ‘Subhanallah, Alhamdulillah, La ila ha ilallah, Allahu akbar’. Dalam Islam, ada banyak bentuk ibadat, terpulang pada kita untuk buat atau tidak.

S: Ibu bapa ada kalanya dimarahi jemaah kerana membawa anak kecil ke masjid? Mohon pandangan ustaz.
J: Para jemaah perlu lebih mesra kepada kanak-kanak. Kedua-dua belah pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Ibu bapa perlu letakkan anak di sebelah mereka agar mereka tidak merayau-rayau. Hukumnya dibolehkan dan ada saya bincangkan dengan lanjut di www.abuanasmadani.com. Kefahaman lama yang anak kecil memutuskan saf perlu kita ubah dan perbaharui. Mugkin boleh jadi tajuk untuk dibincangkan dalam Tanyalah Ustaz akan datang nanti . Orang ramai pula jika jumpa anak kecil yang merayau, pulangkan pada ibu bapanya. Jangan ambil tempat yang telah diambil anak kecil. Jika datang lambat, duduklah di belakang.

S: Apakah ertinya Lailatul Qadar bagi kanak-kanak?
J: Sama seperti orang dewasa dan boleh juga beribadat, cuma pahalanya dapat kepada ibu bapanya.

S: Adakah tanda-tanda pada diri seseorang yang berjumpa Lailatul Qadar seperti berdebar, sayu dan sebagainya?
J: Ini semua rahsia antara Allah dan hambanya. Saya tak galakkan orang yang berjumpa bercerita dengan orang lain. Jangan sekali-kali ber’FB’ tentang pengalaman Lailatul Qadar.

Kesimpulan:
Rasulullah pernah bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَ له مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: "Barang siapa berdiri (solat atau apa-apa ibadat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu” [Hadits Riwayat Bukhari 4/217 dan Muslim 759] 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab