Semarakkan Cinta (3) – Tanyalah Ustaz 26.08.2012
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Alhamdulillah kita terpilih berada di dalam majlis ilmu. Niat berada dalam majlis kena ada sekurang-kurangnya 2:
- Niat untuk beramal dengan ilmu yang diterima
- Niat untuk menyampaikan kepada yang lain
Dengan dua niat ini, InsyaAllah, ilmu akan lebih mudah
meresap ke dalam jiwa dan hati dan bukan semata-mata berada di akal. Apabila
ilmu sampai ke hati, semoga seluruh jasad kita lebih mudah digerakkan untuk mengamalkan ilmu
yang diperoleh.
Alangkah indahnya dalam hidup ini jika kita dapat rapat
dengan orang yang kaya dan pemurah, yang kuat dan adil. Ciri-ciri ini hanya ada
pada Allah SWT. Oleh sebab itulah, cinta Allah adalah sumber kepada cinta-cinta
yang lain. Kehilangan cinta Allah akan membuatkan kita hilang segala-galanya.
Kita perlu ubah pandangan (‘mindset’) kita terhadap cinta –
‘What you see is what you get’. Contoh mudah, orang biasa lihat laut sekadar
laut saja, nelayan pula lihat laut dan nampak ikan, penyelam mutiara pula
nampak mutiara di dasar laut dan jurutera petroleum pula nampak minyak di perut
laut.
Ada 4 jenis pandangan terhadap cinta:
- Melalui pandangan orang biasa – Pandangan ini menyatakan yang cinta hanya untuk orang muda, sedangkan hakikatnya cinta itu sesuatu yang ‘evergreen’.
- Melalui pandangan akal - Cinta itu dilihat sebagai satu perasaan atau EQ yang perlu dipenuhi.
- Melalui pandangan nafsu - Inilah pandangan yang paling malang, kerana ini sebenarnya cinta yang diilhamkan untuk haiwan. Cinta manusia adalah sesuatu yang suci dan bukannya ‘low class’.
- Melalui pandangan mata hati - Dengan ini barulah kita akan dapat melihat apa ynag tersurat dan tersirat tentang cinta. Kita akan dapat melihat nikmat cinta, dan pemberi cinta iaitu Allah SWT. Jika kita menerima hadiah, kita tidak boleh membesarkan hadiah lebih daripada pemberi hadiah. Oleh itu, kita tidak boleh melakukan atau menghalalkan segalanya atas tiket 'kerana cinta'. Hadiah yang diberi perlu digunakan dengan yang sepatutnya. Contohnya buku untuk dibaca, pen untuk menulis. Jadi, apa tujuan Allah beri kita cinta? Sebelum itu, kita juga perlu tanya apa tujuan manusia diciptakan Allah? Pertama – untuk menjadi hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Sebagai hamba kita perlu jadi baik, sebagai khalifah kita perlu memberi kebaikan kepada manusia dan seluruh makhluk di dunia. Kedua-dua amanah ini adalah amat berat dan makhluk lain tidak sanggup menerimanya. Oleh sebab itu, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang menjadikan cinta agar manusia dapat menanggung tanggungjwab ini secara bersama dan berjemaah. Cinta perlu digunakan sebagai ibadah. Cinta yang didasarkan kepada Allah, InsyaAllah akan dapat bertahan sehingga ke akhir hayat.
Kesimpulan:
Letak cinta pada hierarki/tingkatan yang betul.
Pertama: cinta kepada Allah.
Kedua: cinta Rasulullah. Untuk mencintai Rasul, kenali baginda melaui pembacaan sirah, banyak berselawat dan amalkan sunnah.
Ketiga: Cinta kepada pasangan, anak-anak, pemimpin dan semua makhluk lain.
Keempat: Cinta kepada segala sesuatu contohnya cintakan kerjaya dan tugas yang diberikan. Jadikan semua tugas sebagai saluran mencapai cinta Allah. Inilah yang digambarkan dalam doa Nabi SAW, “Ya Allah, berilah cinta-Mu padaku. Jadikanlah orang-orang yang mencintai-Mu mencintaiku. Jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kecintaan kepada-Mu".
Pertama: cinta kepada Allah.
Kedua: cinta Rasulullah. Untuk mencintai Rasul, kenali baginda melaui pembacaan sirah, banyak berselawat dan amalkan sunnah.
Ketiga: Cinta kepada pasangan, anak-anak, pemimpin dan semua makhluk lain.
Keempat: Cinta kepada segala sesuatu contohnya cintakan kerjaya dan tugas yang diberikan. Jadikan semua tugas sebagai saluran mencapai cinta Allah. Inilah yang digambarkan dalam doa Nabi SAW, “Ya Allah, berilah cinta-Mu padaku. Jadikanlah orang-orang yang mencintai-Mu mencintaiku. Jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kecintaan kepada-Mu".
Mudah-mudahan dengan mencintai Allah, seluruh makhluk akan
mencintai kita. Tetapi jika kita pinggirkan cinta Allah, segala cinta makhluk
tiada gunanya untuk kita.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Dalam satu hadis Nabi SAW ada menyebut, “Tidak sempurna
iman seseorang sehingga aku dikasihi lebih daripada daripada dia mengasihi
kedua ibu bapanya”. Bolehkah mencintai Rasulullah tanpa melakukan satu pun
sunnahnya?
J: Cinta Allah adalah cinta yang paling utama dan hanya
boleh dicapai melalui jalan yang ditunjukkan Nabi SAW. Tiada kompromi lagi
dalam soal ini. Ada 4 perkara yang perlu dilakukan apabila kita mencintai Nabi
SAW:
- Banyak mengingati Rasulullah – orang yang bercinta akan mengingati nama orang yang dicintainya.
- Banyak menyebutnya melalui selawat – orang yang bercinta akan selalu menyebut orang yang dicintainya. Dalam solat pun kita sebut nama Nabi SAW. Bila berdoa pun kita melakukan sunnah Nabi SAW sebenarnya.
- Rindu kepada Nabi SAW - Kita pelajari sirah Nabi SAW dan mengambil pengajaran dan teladan daripada kemuliaan akhlak Nabi SAW dalam menjalani kehidupan seharian.
- Mengikut sunnah Nabi SAW. Ketika zaman ini, kita akan kelihatan asing untuk mengamalkan sunnah Nabi SAW, namun kita perlu mujahadah demi mendapatkan cinta Nabi SAW. Islam itu bermula dalam keadaan terasing, dan akan berakhir dengan keadaan terasing juga . Cinta itu buta - buta kepada kesusahan, buta kepada penderitaan demi mendapat apa yang kita cinta iaitu Rasulullah dan Allah.
S: Bagaimana menyemarakkan cinta dalam kalangan pasangan
warga tua yang semakin lama semakin pudar cintanya, jika dibandingkan dengan warga Barat?
J: Sebenarnya bukan orang Barat yang paling romantis, cuma
mereka pandai mempromosinya sahaja. Suami yang paling romantis ialah Rasulullah
SAW. Kita semua tahu cerita Nabi SAW yang berlumba lari dengan Aisyah. Namun
ini tidak berlaku ketika awal perkahwinan sahaja, bahkan juga berlaku ketika di
hujung perkahwinan. Nabi SAW tidak sekadar romantis dengan Aisyah sahaja,
bahkan Nabi SAW juga melipat kaki untuk isterinya Siti Saudah yang berbadan
agak besar unutk memudahkan beliau
menaiki unta. Nabi SAW juga sangat romantis dengan isterinya yang telah
meninggal bila mana baginda memberi makanan kepada rakan-rakan Khadijah, walaupun beliau telah meninggal. Bagaimana
untuk mengekalkan rasa cinta? Jika cinta itu letaknya di hati, bukan di mata,
ianya tidak akan terpengaruh dengan kedutnya kulit, gempalnya badan dan
sebagainya. ‘Mid-life crisis’ pasti akan berlaku dalam sesuatu perkahwinan,
tetapi jika tujuan awalnya ditetapkan kerana Allah, pasti lebih mudah kembali
kepada tujuan asalnya. Pastikan dalam rumahtangga dilakukan solat berjemaah,
membaca Al-Quran, makan berjemaah. Ada satu tip: Jangan mencari isteri yang
cantik, tetapi carilah kecantikan pada isteri. Dengan itu, barulah kita akan
melihat dengan pandangan mata hati. Kita perlu melihat budinya, bukan pada
‘body’nya. Badan isteri yang tidak cantik lagi itu kerana mengandung dan
melahirkan anak-anak kita. Rambut suami yang telah gugur itu pula adalah kerana pening memikirkan untuk mencari rezeki demi menyara keluarga. Untuk mempertahankan cinta, masing-masing perlu
buang ego dan selalu berbaik sangka dengan pasangan. Jangan terlalu cepat
menghukum seseorang, kerana dengan itu kita tidak sempat untuk memberi kasih
sayang. Dalam rumah tangga, tiada istilah kalah atau menang, yang ada hanyalah
kalah bersama, atau menang bersama. Untuk menyatukan kayu dengan kayu, kita
gunakan paku. Untuk menyatukan batu dengan batu, kita gunakan simen. Untuk
menyatukan hati dengan hati, perlu digunakan cinta, tetapi cinta itu perlu didasarkan kepada
Allah.
S: Adakah jalan untuk remaja yang terlanjur pulang ke
pangkal jalan?
J: Istilah terlanjur tidak ada sebenarnya. Setiap kejahatan
itu berlaku dengan perkara-perkara yang kecil dahulu, contohnya tidak menjaga pandangan mata,
keluar berdua-duaan, bersentuhan dan kemudian barulah berlakulah zina. Oleh itu, kita
perlu menjaga diri daripada perkara-perkara kecil ini agar ianya tidak membawa
kepada dosa yang besar. Sebab itu juga, Allah sudah berpesan agar kita tidak
mendekati zina. Jika sudah tersilap, tiada istilah putus asa kerana pintu
taubat Allah sentiasa terbuka. Allah bukan sahaja menerima taubat, malah Allah
sayang dan kasih pada orang yang bertaubat. Orang yang bertaubat perlu
meninggalkan terus amalan jahatnya, menyesal dan melakukan kebaikan. Daripada
pengalaman saya bertemu dengan pasangan yang pernah berzina dan berkahwin,
kehidupan rumahtangga mereka berantakan. Oleh itu saya nasihatkan sebelum
meninggalkan dosa dan berkahwin, bertaubat dulu kepada Allah agar Allah beri
keberkatan dalam perkahwinan.
S: Bagaimana untuk membahagi cinta antara anak-anak dan
isteri-isteri?
J; Cinta itu bukan berbentuk fizikal yang boleh diukur dan
dibahagi. Jika cinta itu umpama sekilo gula, maknanya semakin ramai anak,
semakin kurang jumlah cinta untuk kita bahagi. Cinta tidak seperti itu. Sebagai bandingan yang mudah, cinta itu seumpama gelombang radio. Jika didengar di mana
sekalipun dan oleh seramai mana sekalipun, semua orang tetap dapat mendengar
tanpa terganggu atau terkurang siarannya. Oleh itu, yang utama adalah untuk
mencintai Allah, agar kita memiliki cinta yang lain-lainnya. Nabi SAW mempunyai
isteri, anak-anak, cucu dan sahabat yang ramai, namun semuanya
merasai dicintai dan dikasihi baginda. Ini kerana Nabi SAW mencintai Allah SWT.
Dengan cinta kepada Allah, hati akan dipandu untuk mencintai makhluk lain pula.
Seorang suami perlu mencintai Allah, agar dipermudahkan jalan untuk menjadi
pemimpin yang adil kepada isteri dan anak-anak.
S: Antara usaha saya untuk menambah cinta kepada Allah ialah
dengan berhenti makan gaji dan berniaga agar dapat fokus masa untuk beribadat.
Bagaimana untuk menjaga hati agar tidak terpesong kepada mencintai harta?
J: Cinta adalah satu tanggungjawab kepada Allah dan
tanggungan kita iaitu keluarga dan masyarakat. Oleh itu, jangan pisahkan
pekerjaan/perniagan dengan cinta kepada Allah. Cinta itu untuk memberi – untuk memberi kita
perlu mencari dan memiliki dahulu. Oleh itu, tidak kisah sama ada kita bekerja
atau berniaga, itu juga merupakan satu bentuk ibadah dan jalan kepada cinta
Allah. Ibadah itu luas pengertiannya dan tidak terhad di atas sejadah sahaja.
Ibadah tidak cukup sekadar ‘ritual’ sahaja, tetapi perlu meningkatkan
‘spiritual’ kita. Sebelum memulakan sesuatu tugas, kita perlu mulakan dengan
Bismillah. Kenapa? Kerana kita ingin gunakan kerja itu sebagai saluran untuk
memberi kasih sayang dan berbakti kepada makhluk Allah kerana Allah. Jangan jadikan
kerja atau perniagaan itu sebagai pemisah cinta kepada Allah.