Makanan Shubhah (1) - Tanyalah Ustaz 19 Ramadhan 1433H (08.08.2012)

Ustaz Mohd Amri Abdullah


Ada banyak ayat Al-Quran yang menyebut tentang makanan syubhah, contohnya ayat 168, surah Al-Baqarah:

Allah menyeru kepada semua manusia – maknanya termasuk orang yang bukan Islam juga. Disamping halal, Allah minta kita makan makanan yang toyyibah (baik).

Nabi SAW (hadis ke-6 dalam hadis 40 daripada Imam Nawawi) bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam pekara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah pekara-pekara yang diharamkanNya. dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati.”

Halal dan haram bukan sekadar bahannya, bahkan termasuk faktor-faktor lain seperti makanan yang diberi kepada haiwan, tukang sembelih, dan lain-lain. Perkara yang syubhah ini tidak jelas. Contohya: perisa ayam. Banyak yang perlu dipersoalkan – ayam itu disembelih atau tidak? Apakah makanan yang dimakan ayam itu? Atau boleh jadi perisa itu hasil campuran bahan kimia semata-mata. Makanan mempengaruhi tingkah laku manusia. Dan yang paling risau ialah hati kita. Hati terdiri daripada zat besi yang datang daripada daging yang kita makan.

Jika diperhatikan, hari ini berlaku banyak maksiat dalam masyarakat, yang ada kalanya lebih teruk daripada zaman jahiliyyah zaman Nabi SAW. Antara sebabnya adalah permakanan. Jika kita nak tanam buah yang baik, tanahnya perlu baik, bukan sekadar perlu baka dan baja yang baik. Oleh itu, soal pemakanan perlu diambil berat semenjak sebelum berkahwin lagi agar zuriat yang dilahirkan adalah yang lebih berkualiti.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Bagaimana jika terdapat kontra dimana satu pihak mengiklankan produk sebagai halal, dan pihak lain pula mengatakannya sebagai haram?
J: Betul, logo halal boleh menyebabkan turun-naiknya sesebuah perniagaan. Oleh itu media digunakan untuk menyebarkan maklumat. Jika media elektronik, maklumat boleh dipercayai kerana maklumat yang dikeluarkan akan ditapis kesahihannya. Tetapi jika maklumat datang melalui media alternatif seperti internet, sms dll, perlulah menghubungi pihak Jakim atau layari www.jakim.gov.my

S: Bagaimana jika ayam disembelih dan dikumpulkan dalam mesin banyak-banyak sekaligus?
J: Pihak JAKIM ada membuat pemeriksaan untuk memastikan prosedur 'stunning' atau 'water bath' dalam sembelihan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. JAKIM akan memeriksa secara terperinci 'from farm to table', termasuklah makanan haiwan yang diberikan.

S: Bagaimana jika termakan makanan syubhah?
J: Jika tak sengaja, Allah Maha Pengampun dan seseorang itu perlu bertaubat. Namun, setiap orang wajib mencari ilmu untuk lebih mengetahui. Jika dalam keadaan darurat tersesat dalam hutan, utamakan makan daun-daun kayu sebelum makan daging haiwan yang haram.

S: Adakah GMO – 'Genetically Modified Organism' halal untuk dimakan?
J: Inilah perkembangan teknologi hari ini dan Islam tidak melarangnya selagi ianya bersumberkan sesuatu yang halal. Penggunaan GMO ada banyak kegunaanya contoh untuk mencantikkan buah, menambah pengeluaran dan sebagainya.

S: Bagaimana untuk memastikan kapsul yang digunakan dalam perubatan halal atau tidak? Jika kita diminta makan oleh doktor tanpa mengetahuinya, bagaimana pula?
J: Kapsul diperbuat daripada gelatin. Gelatin dibuat daripada tulang haiwan dan 90% pengeluaran di dunia adalah gelatin yang haram. Serbuk gelatin juga digunakan dalam kek, chewing gum, aiskrim dan banyak makanan lain. Jika kita ke hospital, kita perlu tanya farmasi adakah kapsulnya halal. Kebanyakannya menggunakan gelatin daripada 'bovine' iaitu yang berasal daripada lembu. Cuma persoalannya adalah lembu itu disembelih. Jika pesakit disahkan oleh doktor Muslim yang dia perlu mengambil sesuatu ubat yang mempunyai unsur haram, dia dibenarkan mengambil kerana jatuh dalam keadaan darurat. Tetapi jika untuk 'food supplement', wajib mencari yang ada logo halal.

S: Bagaimana pula jika makanan halal yang dijual oleh orang Islam yang tidak menutup aurat. Adakah termasuk syubhah?
J: Makanan bukan perlu halal sahaja, tetapi perlu juga 'toyyiba'. Oeh itu, kaedah penyediaan, orang yang memasaknya juga perlu kita beri perhatian. Ini yang banyak berlaku terutamanya mereka yang menjual di pasar-pasar Ramadhan sekarang ini.

S: Bagaimana dengan sikap orang Islam yang suka makan makanan di gerai milik bukan Islam?
J: Inilah realiti dalam masyarakat Malaysia hari ini. Oleh sebab itu, pihak JAKIM banyak membuat 'spot-check' terutamanya untuk buffer Ramadhan dan ada berjumpa dengan pihak yang memasukkan makanan haram di dalam menu buffet Ramadhan. Oleh itu, kita perlu syak dahulu, dan memeriksa kesahihan halal/haram sesuatu tempat sebelum makan. Janganlah makan di situ kerana tempatnya nampak moden dan berprestij. Sayanglah puasa kita dan jangan berbuka dengan makanan syubhah. Sebenarnya, 80% pemilik sijil halal adalah orang bukan Islam, inilah hakikatnya.  

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab