Puasa Sunat Syawal (1) – Tanyalah Ustaz 22.08.2012


Ustaz Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz


Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 183:

Ayat yang dibacakan merupakan ayat yang memfardhukan ibadah puasa kepada umat Islam. Ayat ini turun di bulan Syaaban, tahun kedua Hijrah. Apabila Nabi SAW memberitahu tentang puasa fardhu, lalu sahabat bertanya adakah puasa sunat? Nabi SAW pun menjawab ada, dan salah satu daripadanya ialah puasa sunat Syawal. Jika kita tunaikan puasa enam, tak perlu lagi kita puasa seperti Nabi Daud iaitu puasa selang sehari, kerana kita mengikut syariat Nabi Muhammad SAW.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Apakah kelebihan puasa enam Syawal?
J: Pada dasarnya, ibadat sunat jika dibuat dapat pahala dan ditinggalkan tidak berdosa. Namun ulama tasawwuf yang membincangkan kelebihan ibadat mengatakan puasa enam mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam kerana ianya digandingkan bersama bulan Ramadhan. Sesiapa berpuasa Ramadhan, dan diikuti enam hari di bulan Syawal, kita dianggap berpuasa sepanjang tahun. Dengan ini tak perlulah kita ikut syariat Nabi Daud yang berpuasa selang sehari. Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan, akan diampunkan dosanya. Namun, yakinkah kita yang puasa kita adalah puasa yang penuh keimanan atau puasa lapar dahaga sahaja? Oleh sebab itu, kita perlu tambah enam hari lagi di bulan Syawal, agar kita tidak berhenti mengejut selepas sebulan berpuasa.

S: Kenapa diharamkan berpuasa pada hari raya?
J: Hukum adalah ketentuan Allah – jadi sukar untuk saya atau para ulama sekalipun mencari sebabnya. Kita cuma boleh mencari kelebihan apabila sesuatu perkara disyariatkan. Dalam surah Al-Maidah, ayat 114, Mariam meminta makanan daripada Allah sebagai cara untuk meraikan raya. Oleh itu, ditafsirkan bahawa makan merupakan salah satu agenda raya dan diharamkan berpuasa.

S: Bilakah sebaik-baiknya untuk dimulakan puasa enam?
J: Sebaik-baiknya bermula pada 2 Syawal, dilakukan enam hari berturut-turut. Ada juga pendapat yang mengatakan tidak mengapa bila bermula, asalkan cukup enam hari berturut-turut dalam bulan Syawal. Ada pendapat ketiga pula mengatakan tidak mengapa jika tidak berturut-turut, asalkan cukup 6 hari dalam bulan Syawal.

S: Bolehkah diqadha puasa Ramadhan dan puasa sunat Syawal? Ada ustaz kata boleh, dan ada pula yang kata tak boleh?
J: Kedua-dua jawapan yang ustaz berikan boleh diterima. Para ulama mengatakan yang paling utama ialah mengqadha dahulu puasa yang ditinggalkan. Namun, ramai yang bertangguh-tangguh sehingga ke akhirnya. Oleh itu, jika ada orang yang ingin mengutamakan mengqadha puasa, dan bermula terus pada 2 Syawal, dan ingin mengejar kelebihan puasa sunat enam, makan boleh disekalikan niatnya. Yang tak digalakkan ialah mendahulukan puasa sunat sebelum mengqadha puasa. Islam tidaklah memberatkan kerana contohnya dalam mandi dibolehkah dibuat fardhu dan sunat sekaligus. Jadi, pada pendapat saya, boleh juga digabungkan niat qadha dan sunat sekaligus.

S: Bagaimana jika seseorang berpuasa sunat tetapi menangguhkan puasa qadha?
J: Dia sepatutnya mendahulukan yang qadha, kerana jika ditakdirkan dia meninggal sebelum sempat mengqadha, dia masih terhutang pada Allah.

S: Bagaimana jika seseorang berpuasa Ramadhan dan Syawal, tapi tak solat?
J: Betul, ramai yang begini. Mungkin hasil silap didikan ibu bapa juga yang beria-ria melatih anak-anak keci berpuasa sedangkan solat ditinggalkan. Islam menyuruh ibu bapa mengajar anak solat ketika berumur 7 tahun, bukannya berpuasa. Saya bimbang juga jika dengan memaksa anak-anak berpuasa, ada kemungkinan kita mengajar mereka menipu tanpa pengetahuan kita. Solat itu lebih utama kerana ianya adalah tiang agama.

S: Bagaimana untuk berpuasa dan menghadiri rumah terbuka?
J: Saya khuatir jika terlalu banyak rumah terbuka yang perlu dihadiri sehingga terlepas peluang mengerjakan puasa sunat. Untuk menghindari perkara ini berlaku, pertama boleh maklumkan pada rakan-rakan atau saudara-mara bahawa contohnya, pada 2-7 Syawal yang kita akan berpuasa sunat dan tidak dapat menghadiri majlis rumah terbuka. Atau mungkin boleh juga pergi untuk menerima jemputan, tetapi terus balik selepas bertemu tuan rumah.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab