Semarakkan Cinta (2) – Tanyalah Ustaz 25.08.2012
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Alhamdulillah, Allah gerakkan hati kita untuk bertemu dalam
majlis ilmu. Semoga kefahaman kita semakin bertambah, dan dengan itu semoga
penghayatan dan amalan kita juga
semakin meningkat. Walaupun nampak majlis ini seperti rutin biasa sahaja, namun
sebenarnya ini juga merupakan satu petanda bahawa Allah masih belum berpaling
daripada kita, dan masih membuka ruang-ruang untuk kita lebih memahami
soal-soal agama, walaupun kita sering alpa dan berbuat dosa. Mahfum sebuah
hadis:
“Sekiranya Allah mahukan kebaikan kepada seseorang, Dia akan berikan kefahaman agama.”
(hadis riwayat Bukhari)
Menyambung perbincangan semalam - Cinta bagaimana yang perlu
disemarakkan? Cinta ada berbagai hierarki.
- Cinta kepada Allah – inilah tujuan hidup kita. Menyintai Allah menjadikan kita memiliki segala-galnya. Cinta kepada Allah merupakan sumber cinta kepada makhluk seluruhnya. Sebaliknya, jika kita kehilangan cinta Allah, kita akan kehilangan segala-galanya.
- Cinta kepada Rasulullah SAW – jalan untuk cinta kepada Allah.
- Cinta kepada makhluk iaitu ibu bapa, pasangan, keluarga, masyarakat dan seterusnya.
Untuk bercinta biarlah kerana Allah - bagaimana bentuknya? Cinta Allah merupakan cinta yang pertama. Kita bermula
daripada alam roh, di sana lagi kita semua menjawab bahawa Allah itu Tuhan
kita. Ketika di alam roh, kita semua mengenal Allah dan telah ‘jatuh’ cinta
kepada Allah. Cinta kepada Allah juga adalah cinta yang utama. Kenapa? Kerana
Allah yang menciptakan rasa cinta dan juga semua makhluk yang kita cintai. Ada
pelbagai ungkapan tentang cinta – Dalam bercinta, kita ingin bercinta dengan
orang yang juga mencintai kita. Kita tak hendak bertepuk sebelah tangan.
Siapakah yang paling mencintai kita? Allah – kerana Allah mencipta kita, dan
sentiasa menjaga dan memberi kita segala-galanya. Ada juga satu ungkapan yang
mengatakan bahawa “Orang yang paling menyintai adalah orang yang paling banyak
memberi”. Allahlah yang paling banyak memberi kepada kita. Allah memberi tanpa
kita perlu minta. Allah juga terus memberi walaupun kita derhaka kepadanya.
Allah juga Maha Pemaaf sifatnya. Perhatikan doa yang dianjurkan untuk kita
membacanya ketika Ramadhan:
Dalam doa ini, bukan saja Allah ingin memaafkan kita, tetapi
Allah itu cintakan kepada kemaafan.
Allah Taala bukan sahaja menjanjikan keampunan bahkan Allah
menyayangi orang yang bertaubat atas dosa-dosanya. Dalam suatu hadis yang
panjang ada disebut bahawa Allah menyayangi, menyukai dan sangat gembira untuk
menerima taubat hamba yang berdosa. Ianya diumpamakan seperti seorang musafir
di tengah padang pasir yang kehilangan bekalan dan untanya. Oleh kerana terlalu
kecewa musafir itupun mengambil keputusan untuk tidur dengan harapan biarlah
mati ketika tidur. Tetapi alangkah gembiranya musafir itu apabila terjaga dan
mendapati bekalan dan untanya telah kembali ke pangkuannya. Perasaannya
seumpama mati hidup semula. Jika musafir itu terlalu gembira, Allah SWT lebih
gembira lagi daripada musafir itu apabila ada hambanya yang bertaubat atas
kesilapan lalu. Allah bukan sahaja memaafkan kesalahan orang yang berdosa,
bahkan Allah memadamkan daripada catatan dan menyayangi orang yang yang
bertaubat itu.
Saya ingin bawakan satu lagi cerita tentang seorang yang
berdosa kepada Allah. Nabi Musa pernah bertanya kepada Allah, “Apa yang Allah
akan kata kepada orang soleh yang datang solat kepada-Nya?” Allah menjawab,
“Labbaiki Ya ‘Abdi (Selamat datang wahai hambaku)”. Nabi Musa bertanya lagi,
“Bagaimana pula jika orang yang berdosa datang kepada-Mu untuk solat?” Allah
menjawab, ““Labbaiki Ya ‘Abdi (Selamat datang wahai hambaku). Summalabbaik.
Summalabbaik. Summalabaik.”. Allah ulang ucapannya selamatnya sebanyak 3 kali
berbanding dengan ucapan-Nya kepada orang yang soleh. Oleh itu, untuk tidak
dikecewakan dalam cinta, berilah cinta kita kepada Allah SWT.
Jangan minta hidup yang mudah, tetapi mintalah hati yang
tabah, kerana ujian hidup itu adalah fitrah.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Apa komen ustaz tentang pasangan muda yang ‘bagai nak
rak’ bercinta, ke jinjang pelamin namun tidak kekal lama?
J: Betul, ada juga ungkapan ynag mengatakan ‘perkahwinan
boleh menjadi pusara’. Sebenarnya kita perlu kenal dahulu baru bercinta,
bukannya bercinta dahulu baru kenal. Ya, walaupun kononnya telah ber’couple’
untuk waktu yang lama, masing-masing lelaki dan perempuan berlakon sebenarnya
ketika itu. Oleh sebab itu, setelah berkahwin, masing-masing baru menunjukkan personaliti
yang sebenar dan cinta pun mudah menjadi semakin pudar. Sebenarnya, apabila
kita mengenali kelebihan dan menerima kekurangan seseorang, itu barulah cinta
yang sebenarnya. Pesan saya, “ Semakin banyak kemanisan yang diambil sebelum
bernikah, semakin hambar perkahwinan anda nanti”. Oleh itu, jauhkan diri
daripada mengambil apa-apa yang bukan hak sebelum berkahwin. Jadilah orang yang
baik, sebelum mencari pasangan yang baik kerana Allah telah janjikan wanita
yang soleh untuk lelaki yang soleh. Dalam mencari pasangan, perlu ditetapkan
tujuan bercinta kerana Allah. Mengikut pakar, ‘true color’ pasangan hanya akan
kelihatan selepas 5 tahun bersama. Ketika itu, amat penting untuk berpegang
kepada cinta kerana Allah, barulah dapat menerima kekurangan pasangan dengan
redha. Jangan mengharapkan kebahagiaan dalam perkahwinan, tetapi bawalah
kebahagiaan dalam perkahwinan. Jadikan cinta kepada Allah sebagai dasar cinta
dalam perkahwinan.
S: Rasa cinta tidak boleh memberi makan. Ada juga masalah
perkahwinan yang berpunca daripada masalah kewangan. Apakah cara untuk
menyemarakkan cinta apabila berdepan dengan masalah?
J: Hidup sememangnya untuk menyelesaikan masalah – itu adalah
fitrah. ‘Love is a verb’ – ‘Cinta itu tindakan, bukan sekadar kata-kata’.
Perkahwinan boleh dimulakan dengan cinta, tetapi perlu disempurnakan dengan
tanggungjawab. Ungkapan ‘I love you’ perlu diterjemahkan sebagai ‘Saya ingin
bertanggungjawab kepada awak’. Cinta memang tidak boleh memberi makan, tetapi
perasaan cinta boleh menjana seseorang untuk bertindak menjadi orang yang bertanggungjawab
dalam mencari rezeki dan memberi perlindungan kepada orang yang disayangi.
Dalam rumah tangga, berfikirlah untuk sentiasa memberi, bukan menerima. Banyak
masalah rumah tangga berpunca daripada sikap menunggu untuk menerima
semata-mata.
S: Bagaimana pula jika seseorang cuma mencintai Allah,
tetapi tidak manusia. Bagaimana untuk menyeimbangkannya?
J: Tuntunan dalam Islam ini saling melengkapi sifatnya.
Menyintai manusia juga merupakan jalan mencapai cinta kepada Allah. Contohnya,
redha Allah terletak pada redha ibu-bapa. Allah tidak memerlukan cinta kita,
tetapi kitalah yang perlukan cinta Allah. Imam Ghazali mengatakan apabila
seorang ibu bapa mencintai anaknya, pemimpin mencintai rakyatnya, seorang guru mencintai
anak muridnya – itu merupakan satu bentuk cinta kepada Allah juga. Ada 3 dasar
dalam ‘Mahabbab fillah’ – (cinta kerana Allah):
- Mencintai seseorang kerana Allah dan menjadikan perhubungan itu sebagai ibadah kepada Allah
- Menepati syariat yang Allah tetapkan
- Tidak menyintai makhluk lebih daripada cinta kepada Allah. Dalam riwayat diceritakan bahawa Nabi SAW merupakan seorang yang sangat kasih kepada keluarganya, tetapi apabila azan dilaungkan, Nabi SAW akan meninggalkan mereka dan seolah-olah Nabi SAW tidak lagi mengenali mereka. Apabila berlaku pertentangan antara perkara yang Allah suruh dan larang, tidak boleh ada kompromi. Tuntutan Allah mesti diutamakan.
S: Bagaimana pula dengan mereka yang berkahwin dan berharap
pasangannya berubah menjadi lebih baik setelah berkahwin?
J: Soalan ini berkaitan persoalan ‘Lelaki soleh untuk wanita
soleh’. Kenyataan ini tidak semestinya benar ketika awal perkahwinan sahaja,
mungkin akan menjadi benar pada pertengahan perkahwinan, ataupun pada
penghujung perkahwinan. Dalam berkahwin, sebenarnya kita berkahwin dengan 3 ‘orang’/personaliti
iaitu orang itu sebelum berkahwin, ketika berkahwin dan selepas berkahwin
dengan kita. Paling penting ialah bagaimana seseorang/personaliti berubah
setelah berkahwin dengan kita.
S: Dalam surah At-Taubah, ayat 24, ada disebut bahawa cinta
kepada Allah perlu melebihi cinta kepada yang lain-lainnya. Namun, didapati
ramai remaja mula mencari cinta lain setelah meningkat dewasa. Adakah ini
berlaku kerana ibu bapa gagal menyemai cinta kerana Allah ke dalam diri
anak-anak dan menjadikan hati mereka lompang dan mencari cinta yang lain?
J: Cinta yang utama adalah cinta kepada Allah. Tetapi bagaimana
cinta kepada Allah boleh pupus? Kita boleh ukur sejauh mana cinta kepada Allah
dengan melihat sejauh mana kita mengingati Allah ketika kita berdiri, duduk dan
baring. Ulama mentafsikan kedudukan ini sama seperti ketika kita senang, sihat,
susah dan sakit. Kita perlu sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan
agar mendapat kekuatan menghadapi ujian dan nikmat yang Allah kurniakan. ‘When
Allah is your friend, who is your enemy?’. Orang yang ada Allah dalam hati
takkan ada rasa takut atau dukacita. Itulah yang dialami oleh Nabi SAW dan Abu
Bakar ketika bersembunyi di dalam gua, dan mereka tenang kerana tahu Allah
bersama mereka. Sayangnya, ibu bapa hari ini banyak menyumbang dan menjadikan
anak-anak semakin lupa kepada cinta Allah yang hakiki. Mafhum sebuah hadis Nabi
SAW “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci yakni muslim). Kedua-dua
orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi,”. Didikan dan
cara kehidupan kita menjauhkan kita daripada cinta kepada Allah yang kita rasa
ketika di alam roh. Contoh mudah, katakan seorang anak terpisah daripada ibu
bapa dan tinggal bersama ibu bapa angkatnya. Setelah ingin bernikah, barulah
dipertemukan dengan ibu bapa sebenarnya. Antara ibu bapa angkat dan ibu bapa
sebenar, siapakan yang anak itu lebih sayang? Tentulah ibu bapa angkatnya.
Begitulah juga halnya dengan kita yang telah melupakan cinta Allah yang sejati
setelah kita mengenal cinta-cinta lain di dunia.
Oleh itu, ibu bapa perlu memberikan didikan awal yang betul kepada
anak-anak tentang Allah. Ketika umur awal di bawah 6 tahun, amat mudah untuk
kita terangkan tentang Allah kerana anak-anak tidak memerlukan logik ketika itu.
Anak-anak akan menerima bulat-bulat apa yang diberitahu. Contoh mudah, kita
beritahu Allah yang kurniakan rezeki, kesihatan, umur dan sebagainya. Sayangnya
minda anak-anak kecil hari banyak diisi oleh ‘Ben10, Spiderman, Batman’. Bersamalah
kita ubah senario ini.