Mencari Lailatul Qadr (1) – Tanyalah Ustaz 17 Ramadhan 1433H (06.08.2012)
Ustaz Dr. Abdul Basit Abdul Rahman
Surah Al-Qadr:
Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan untuk menjadi
petunjuk kepada manusia, seperti yang dinyatakan dalam ayat 185 surah
Al-Baqarah. Sebagai pencipta kita, hanya Allah yang tahu tentang kita dan
layaklah Al-Quran itu dijadikan sebagai ‘manual’ hidup kita. Ada 3 ayat Quran yang
perlu dibaca serentak iaitu :
Ayat 185 surah Al-Baqarah:
Ayat 1 surah Al-Qadr:
Dan ayat 3 surah Ad-Dukhan:
Ketiga-tiga ayat ini memberi tafsiran waktu Quran diturunkan
dan inilah yang tafsir yang paling cantik kerana Al-Quran ditafsir dengan Al-Quran
sendiri. Kedua terbaik ialah apabila Quran ditafsir oleh Sunnah dan ketiga terbaik
ialah apabila Al-Quran ditafsir oleh sahabat. Saya ingin mencadangkan sebuah
kitab tafsir bertajuk ‘Adhwa’ul Bayan’ yang menjelaskan Al-Quran dengan
Al-Quran juga.
Saya harap kita semua telah baca Al-Quran kerana kita sudah
pun memasuki 17 Ramadhan. Jika kita kata kita tak pandai mengaji, beranikah
kita menjawab pada Allah dan malaikat yang kita tak pandai, sedangkan pen pun
sudah pandai baca Al-Quran hari ini :). Kita kena ingat bahawa lebih tinggi
teknologi yang ada, lebih besar hujjah Allah terhadap kita.
Kita akan memtadabbur surah Al-Qadri, sebutannya Al-Qadri
bukan Al-Qadar. Al-Qadri mempunyai makna berbeza dengan Al-Qadar yang bermaksud
penentuan takdir hidup manusia. Saya amat menggalakkan di samping tilawah, kita
juga mentadabbur Al-Quran. Janganlah asyik menyalahkan masa yang menjadikan
kita tidak sempat berbuat amal dan kebaikan.
Al-Qadar berasal daripada perkataan Qadr iaitu bermakna tinggi
martabat di sisi Allah. Selain itu ia juga bermakna ‘sempit’ yang bererti Allah
sembunyikan tarikh Lailatul Qadar. Ada juga pendapat mengatakan bermaksud sempit kerana Allah
turunkan begitu ramai malaikat sehingga bumi menjadi sempit. Al-Qadar juga bermaksud ‘takdir’
yang akan dibincang bersama dengan
surah Ad-Dukhan esok, InsyaAllah.
Dalam ayat 2 dan 3 surah Al-Qadr, Allah bertanya dan memberi jawapan tentang
kelebihan Lailatul Qadar. Dinyatakan bahawa Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Dalam ayat ke-4 dinyatakan bahawa Malaikat akan turun,
dan dinyatakan nama malaikat Jibril secara khusus untuk menunjukkan ketinggian
kedudukannya. Lailatul Qadar ini dianugerahkan kerana umur kita
pendek berbanding dengan umat Nabi lain. Malaikat yang turun akan membawa
rahmat. Sayangnya jika malaikat yang turun tidak dapat kita bawa balik
bersama ke rumah kerana rumah kita tidak memenuhi tuntutan syariah. Oleh itu,
sempena raya ini, ubah-suai hiasan rumah dan buanglah patung-patung atau
gambar-gambar yang tak ‘mesra malaikat’.
Lailatul Qadar itu pasti ada, cuma ulama mengharapkan ianya berlaku pada malam 27.
Oleh itu lebihkan amalan pada malam 27. Tanda-tanda LQ seperti yang dipetik
daripada hadis Nabi SAW ada dua iaitu:
- Pagi itu cahaya matahari tidak begitu menyinar dan nampak tenang
- Malam itu udaranya sejuk (Namun sekarang ini sebab ada ‘aircond’ kita sentiasa rasa sejuk :))
Tanda yang tak betul pula ialah – pokok akan sujud, air tawar
jadi masin, anjing tak menyalak dan sebagainya. Walaupun ulama memberatkan pada malam 27, lebih baik kita
ambil satu pakej sekaligus selama 10 malam yang terakhir. Tetapi jangan pula
jika dah dapat Lailatul Qadar buat maksiat lagi selepas itu.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Jika saya beribadat betul-betul di bulan Ramadhan, dan
meneruskannya sehingga di luar Ramadhan, adakah itu tandanya saya mencdapat Lailatul Qadar?
Jika saya beribadat cuma di bulan Ramadhan saja dan meninggalkannya selepas itu, adakah itu tandanya saya
tidak mendapat Lailatul Qadar?
J: Jika selepas Ramadhan kita
dapat istiqomah dengan amalan dan ibadat baik, itu maknanya kita telah mendapat
kelebihan Ramadhan dan juga Lailatul Qadar. Jika kita gagal meneruskan kebaikan selepas Ramadhan, itu
maknanya kita gagal memperbaiki diri setelah masuk ke dalam kem Ramadhan.
Istiqomah itu penting dan teruskanlah segala kebaikan selepas Ramadhan juga.
S: Apakah amalan, zikir atau doa tertentu yang perlu
dilakukan pada Lailatul Qadar?
J: Amalannya adalah sama seperti amalan-amalan di malam lain
seperti solat terawikh, qiyammullail dan tadarrus. Cuma ada tambahan satu doa
seperti yang disampaikan oleh Aisyah r.a.
Inilah doa yang diajarkan oleh Nabi SAW. Kita boleh juga
tambah berdoa apa yang kita hendak. Berdoa lebih baik daripada membaca doa
kerana berdoa itu datang daripada hati, sedangkan membaca itu hanyalah sekadar
membaca teks sahaja.
S: Adakah Lailatul Qadar ini hilang sehingga kita perlu mencarinya?
J: Lailatul Qadar itu tak hilang, cuma kita tak jumpa cari ;). Dalam satu hadis daripada
Imam Nawawi, pada suatu malam Nabi SAW keluar untuk menceritakan pada sahabat bilakah tarikh Lailatul Qadar.
Apabila sampai, didapati ada 2 orang yang sedang berbalah mulut. Lalu Nabi SAW berkata, “Aku datang tadi hendak memberitahu kamu tentang bilakah Lailatul Qadar. Namun,
oleh kerana ada 2 orang yang sedang berbantah-bantah, maka telah diangkat
semula tarikhnya. Semoga hilangnya tarikh itu lebih baik bagi kamu”. Maksud
diangkat disini ialah ianya ada, cuma tidak boleh diberitahu. Jika
diberitahu ada kemungkinan kita akan jadi seperti kaum Nabi Musa yang bersoal
terlalu banyak tentang lembu yang Allah minta mereka sembelih. Nabi SAW cuma
beri tip untuk mencarinya pada 10 malam terakhir.
S: Apakah petua untuk mendapatkan Lailatul Qadar?
J: Jangan bayangkan Lailatul Qadar itu sebagai satu malam ajaib yang berlaku
benda-benda pelik. Pada Lailatul Qadar malaikat akan turun. Petuanya mudah, seperti mana
yang Nabi SAW buat adalah dengan meningkatkan ibadat pada 10 malam terakhir. Buat
amalan-amalan seperti malam Ramadhan yang lain juga. Tunaikan solat fardhu dan
terawikh secara berjemaah. Jangan lari terawikh selepas 8 rakaat, melainkan
saudara adalah OKU dalam ibadat.
Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang solat terawikh bersama imam sehingga sudah
(sehingga witir), ditulis baginya pahala berdiri malam sampai Subuh”. Jangan
keluar saf untuk witir sendiri di rumah, habiskan bersama-sama imam. Saya
syorkan pada imam-imam masjid dan surau untuk menangguhkan witir pada pukul
4:30 pagi, kerana daripada pemerhatian, orang akan lebih mudah terpanggil untuk
pergi ke masjid kerana merasakan belum sempurana solat yang dilakukan pada awal
malam sebelum itu. Selain itu, tambahlah dengan solat tahajjud, tadarrus dan
amalan baik seperti selalunya. Sebagai tambahan, amalkan kaedah Abu Annas – “Kalau
tak mampu buat ibadat, jangan buat maksiat”. Jika penat, lebih baik tidur
sahaja. Paling kurang, jika malaikat turun pada Lailatul Qadar, tidaklah ditulis yang kita
sedang berbuat maksiat pula.
S: Apakah syarat minimum mendapat Lailatul Qadar?
J: Syarat minumum ialah dengan solat Isyak berjemaah, solat
terawikh sehingga selesai bersama imam dan tinggalkan maksiat. Namun, jika
sikit saja yang kita buat, maka sikitlah ganjarannya. Oleh itu, persiapkan
segala urusan sebelum malam 20 agar kita dapat menambah ibadat dan fokus pada
10 malam terakhir nanti.
S: Bagaimana pula jika wanita keuzuran ketika 10 malam
terakhir?
J: Ketika uzur, wanita boleh buat semua amalan kecuali
solat. Tambahan petua adalah teruskan berbuat amalan-amalan baik sebelum ‘waktu
uzur’ datang. Dengan cara itu, jika didapati telah uzur, akan tetap ditulis
pahala seperti mana amalan-amalan yang biasa dilakukannya.