Persoalan Di Alam Barzakh (1) – Tanyalah Ustaz 23 Ramadhan 1433H (12.08.2012)
Ustaz Haslin Baharim
Bacaan surah Qaaf, ayat 16-32:
Alhamdulillah bertemu dalam bulan
Ramadhan Al-Mubarak. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Malanglah
umatku yang Ramadan datang kepadanya, tetapi setelah Ramadhan
berlalu, dia masih dalam keadaan berdosa.” Hadis lain pula
berbunyi, “Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi cuma mendapat
lapar dan dahaga sahaja”. Inilah yang kita amat takuti. Hari ini
sudah 22 Ramadhan dan merupakan minggu terakhir Ramadhan. Minggu ini
merupakan minggu kesedihan bagi Nabi SAW. Bila ditanya sahabat
mengapa Nabi menangis, jawab Baginda, “Aku tak tahu adakah aku akan
bertemu lagi Ramadhan tahun hadapan”. Mendengar jawapan Nabi SAW
yang sebegitu rupa membuatkan sahabat-sahabat lain pun turut
menangis. Cuba kita perhatikan sekeliling, berapa ramai rakan,
saudara, kenalan atau jiran yang sudah meninggal? Jadi, apakah
persediaan yang telah kita sediakan untuk dibawa pulang menghadap
Allah? Allah beri kita macam-macam peluang untuk bawa bekalan melalui
ibadat-ibadat seperti solat, puasa, zakat dan banyak lagi.
Dalam surah Al-Hasr, ayat 18, Allah
berfirman:
Kita akan bincangkan serba-sedikit
soalan yang akan dikemukan oleh Malaikat Mungkar dan Nangkir. Ada
soalan seperti kita maklum seperti dalam bacaan talkin, namun ada
lagi soalan-solan lain. Soalan-soalan ini bukannya dijawab dengan
lisan kita tetapi dengan amalan kita sebenarnya.
Dalam ayat 141, surah Al-Baqarah, Allah
berfirman:
Sifat-sifat seperti bongkak, sombong
perlu dibuang daripada diri kita. Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda, “Demi
Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari
kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak
antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului
oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli
neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari
kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak
antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului
oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli
syurga lalu dia memasuki syurga.”
Dr. Aidh Al-Qarni dalam bukunya yang
bertajuk 'Rumah Yang Dibina Atas Dasar Taqwa' menceritakan tentang 2
orang pemuda. Seorang pemuda Kuwait, naik kereta dan kemalangan dan
koma dalam 3 hari. Ketika koma, dia membaca Al-Fatihah dan semua
orang terkejut. Setelah sudah, dia pun mengucap dan meninggal.
Rupa-rupanya, lelaki ini lidahnya tidak pernah berhenti daripada
membaca surah Al-Fatihah. Lelaki kedua pula daripada Saudi, dia juga
kemalangan dan koma selama 10 hari. Namun, semasa koma, dia menyanyi
dan meninggal. Oleh itu, kita perlu menjaga segala perlakuan kita,
kerana mati boleh datang tiba-tiba.
Antara syarat-syarat taqwa mengikut
Ibnu Mas'ud ialah perlu takut kepada Allah. Oleh sebab itu, Nabi
suruh kita ziarah kubur agar dapat mengingati mati. Nabi juga
melarang agar jangan kita terlalu mencintai dunia. Anak-anak muda
jangan utamakan minat, tetapi utamakan ibadat. Utamakan apa yang
Allah suka, bukan apa yang kita seorang saja saja suka.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Boleh ustaz ceritakan suasana alam
barzakh bagi seorang yang soleh dan tidak soleh?
J: Nabi SAW mengatakan yang kubur
merupakan perhentian pertama sebelum ke padang masyar. Jika seseorang
dapat menjawab soalan Mungkar dan Nangkir, InsyaAllah akan mudahlah
segala urusannya selepas itu. Jika sebaliknya, seseorang itu perlu
risau. Allah pasti akan menyoal hamba-Nya tentang segala nikmat yang
telah dikurniakan. Ada pandangan mengatakan kubur orang soleh akan
diluaskan seluas pandangan mata di muka bumi, dan Allah buka satu
terowong sehinggakan bau-bauan syurga boleh sampai kepadanya dan
rohnya juga akan dibenarkan meihat tempat dalam syurga nanti. Orang
yang kufur pula akan disempitkan kuburnya dan didatangkan dengan
pelbagai bentuk siksaan. Rohnya juga akan berbau busuk dan
seumpamanya.
S: Bagaimana pengaturan siksaan dalam
kubur, adakah berterusan, atau berhenti di bulan Ramadhan?
J: Betul, ada riwayat menyatakan
siksaan kubur dihentikan ketika bulan Ramadhan. Namun, kita tidak
boleh pandang ringan kerana siksaan yang 11 bulan itu pun takkan
tertanggung peritnya. Sekali pukulan malaikat menyebabkan seseorang
itu terbenam sedalam 70 hasta. Orang yang kena rotan sekali sahaja di
penjara pun sudah terasa amat berat.
S: Bolehkan bertemu ahli keluarga yang
telah meninggal sebelum ini?
J: Inilah sikap orang kita sehingga ada
yang berpesan untuk dikuburkan di sebelah orang yang tersayang. Tak
perlu sebenarnya, kerana jika roh yang baik InsyaAllah akan mendapat
balasan kebaikan daripada Allah.
S: Lazim kita mendengar yang ada 3
amalan yang akan dibawa mati dan iaitu ilmu, sedekah jariah dan doa
anak yang soleh . Bagaimana pula dengan orang muda yang masih belum
ada anak dan belum banyak ilmu?
J: Jika belum banyak ilmu, kenalah
tambah. Kalau belum ada anak, kenalah cepat-cepat kahwin :)
S: Orang yang mati syahid tidak ditanya
dalam kubur. Bagaimanakah keadaan mereka dalam kubur?
J: Inilah yang amat diharap-harapkan –
mati syahid di jalan Allah. Betul, orang mati syahid akan terlepas
siksaan kubur asalkan dia tidak berhutang. Jika berhutang, dia tidak
disiksa, cuma ditahan keistimewaannya. Oleh itu, jika berhutang
cepat-cepat langsaikan.
S: Adakah orang yang meninggal pada
hari Khamis malam Jumaat, dan bulan Ramadhan, adakah dosa-dosanya
akan diampunkan?
J: Jika dia mati dalam keadaan berdosa,
dia tetap akan disiksa. Oleh sebab itu, ramai ulama yang menulis
bahawa saat yang paling menakutkan ialah 'malam pertama' di alam
kubur. Kenapa? Kerana takut belum sempat bertaubat, belum cukup
bekalan. Oleh itu, amalan di penghujung umur amat penting untuk
menentukan kejayaan atau kegagalan di akhirat nanti.
S: Ke mana perginya roh beriman dan
orang tidak beriman selepas meninggal?
J: Manusia ada dua unsur – badan dan
roh. Badan daripada tanah dan roh daripada Allah. Roh akan dicabut
dan diringi oleh Malaikat untuk naik ke langit. Sampai ke langit
pertama akan ditanya roh siapakah itu? Jika roh yang baik, pintu
langit akan dibuka dan dialu-alukan kedatangnya. Jika roh tidak baik,
baunya busuk dan tidak akan dibukakan pintu langit untuknya. Ambillah
peluang dalam bulan Ramadhan ini untuk memperbaiki diri.