Jangan Mengundang Kemurkaan Allah (1) - Tanyalah Ustaz 27 Ramadhan 1433H (16.08.2011)

Ustaz Dr. Zahazan Mohamed


Alhamdulillah, syukur dapat bertemu dalam majlis yang dinaungi para Malaikat.

Bacaan surah Al-'Araf, ayat 163 dan 164:

Semasa membaca Al-Quran, penting untuk mengetahui hukum waqaf agar tidak merosakkan makna ayat. Ayat yang dibacakan menceritakan kisah kaum Yahudi. Yahudi bermakna 'orang yang mungkar'. Mereka diberi pilihan untuk memilih satu hari untuk beribadat dan mereka memilih hari Sabtu. Orang Islam pula dimuliakan dengan hari Jumaat, iaitu hari Nabi Adam dicipta, dan diwafatkan. Orang Yahudi meminta satu hari untuk beribadah sahaja dan tidak dibenarkan bekerja (atas permintaan mereka sendiri). Allah pun menguji dengan mendatangkan ikan dengan begitu banyak pada hari Sabtu. Jadi, ada antara mereka yang mula memasang jaring sahaja, tetapi lama-kelamaan, ada yang mula menangkap ikan hari Sabtu, sedangkan mereka sendiri yang meminta untuk tidak dibenarkan bekerja pada hari tersebut. Ada juga antara mereka yang cuba meminda tarikh dan menjadikan hari 'Sabtu' itu sebagai hari Jumaat untuk membolehkan mereka menangkap ikan. Apabila dibuat begitu, ada golongan lain yang menegur. Ini menjadikan golongan Yahudi terbahagi kepada tiga – kumpulan yang buat kemungkaran, kumpulan yang menegur kumpulan yang berbuat kemungkaran, dan golongan yang mendiamkan diri dan melarang pula golongan kedua menegur golongan yang mungkar.


Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk berdakwah. Ada satu kisah berlaku di sebuah masjid yang terletak di negara jiran yang bukan sebuah negara Islam. Pihak kerajaan mengeluarkan arahan untuk merobohkan sebuah masjid yang berusia lebih 200 tahun untuk tujuan komersial. Para jemaah masjid bermesyuarat dan mengambil keputusan membuat lawatan rasmi ke Arab Saudi. Setelah bertemu, mereka mempelawa orang Arab Saudi untuk melawat negara mereka pula. Lalu, Arab Saudi bersetuju dan meminta ketua Agama Saudi sendiri mengikuti lawatan itu untuk melawat masjid lama tersebut. Pihak Saudi pun membuat surat rasmi untuk datang melawat negara tersebut. Apabila mendapat surat lawatan itu, pihak kerajaan pun terpaksa membatalkan arahan meroboh masjid demi menjaga hubung baik negara itu dengan Saudi, dan mereka membuat pengisytiharan pula ke atas masjid itu sebagai masjid tertua di negara tersebut. Inilah bukti peranan yag perlu dimainkan oleh semua pihak untuk melindungi dan menyebarkan Islam.

Seorang ulama pernah ditanya - Kenapa umat Islam semakin mundur? Jawapannya, “Ini bukan kerja saya”. Ayat inilah yang merupakan masalah paling besar dalam hidup kita – iaitu apabila kita menafikan peranan kita dalam masyarakat. Setiap orang ada peranan untuk membangunkan Islam. Tak kiralah walau apa pun yang dilakukan – sama ada sebagai CEO, penjual buku. Penjual buku contohnya boleh meletakkan buku-buku Islami di hadapan agar lebih ramai orang membacanya dan berubah menjadi baik.


Kita sudah sampai ke penghujung Ramadhan. Banyakkanlah berdoa memohon keampunan seperti yang diajar Nabi SAW:

Mohonlah keampunan kepada Allah. Apa erti rumah besar jika tiada keampunan Allah SWT. Tiada erti Ramadhan ini jika tiada keampunan daripada Allah SWT. Apa erti duit banyak, jika ianya menjadikan kita leka. Dalam satu hadis, yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW naik ke atas mimbar kemudian berkata, "Amin, Amin, Amin". Para sahabat bertanya. "Kenapa engkau berkata 'Amin, Amin, Amin' Ya Rasulullah?" Rasulullah SAW bersabda, "Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : 'Wahai Muhammad, celakalah seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak berselawat kepadamu dan katakanlah Amin!' maka kukatakan, 'Amin'. Kemudian Jibril berkata lagi, 'Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah Amin!', maka aku berkata : 'Amin'. Kemudian Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berkata lagi. 'Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi justeru itu tidak memasukkan dia ke dalam syurga dan katakanlah Amin!' maka kukatakan, 'Amin". 

Mari bersama memperbanyaklah taubat dan menginfakkan harta pada Ramadhan yang berbaki ini. Janganlah berkira-kira dengan Allah, mudah-mudahan Allah tidak berkira-kira dengan kita juga.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Kita selalu meraikan pengantin dengan muzik. Adakah ini mengundang kemungkaran Allah? Jika ya, bagaimana untuk mengatasinya?
J: Nabi SAW menyuruh kita membuat walimah, walaupun dengan seekor kambing, agar diketahui umum yang pasangan itu telah berumahtangga. Sebaliknya, kita buat apa yang Allah larang, dan tinggal apa yang Allah suruh. Perkahwinan Nabi SAW yang paling mahal adalah dengan Ummu Habibah, yang dinikahi dengan jarak yang jauh dan diwakilkan kepada Raja Najasyi. Untuk menjaga keberkatan majlis walimah: Pertama- jangan ada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan – jika ada pergaulan bebas, boleh jatuh hukum haram menghadirinya. Kedua – jangan ada perbezaan majlis mengikut taraf antara miskin dan kaya – boleh jatuh hukum makruh menghadirinya. Ketiga – jangan sampai membazir. Membair bukan pada wang sahaja, tetapi pembaziran masa dan tenaga jugaperlu dielakkan. Jika terlalu banyak masa dihabiskan – bagaimana pula dengan masa untuk solat, zikir dan baca Al-Quran. Apa yang paling penting ialah kehidupan selepas berkahwin. Lebih baik buat perancangan tentang tempat tinggal dan masa depan anak-anak. Jangan pula sampai berhutang untuk buat kenduri yang besar.

S: Bagaimana menjadi umat yang dikasihi dan dicintai Allah dan mengelak kemurkaaan Allah?
J: Jalan untuk menjadi umat terbaik adalah dengan menyuruh perkara kebaikan, melarang perkara yang mungkar dan menjaga keimanan kepada Allah SWT. Ibni Kathir ada menjelaskan bahawa dalam kalangan Bani Israel jika seorang Israel melakukan kemungkaran, dan tidak berjaya ditegur, orang yang menegur pula akan bersama mengikut melakukan kemungkaran tersebut.

S: Antara hati, akal dan nafsu, yang manakah yang paling utama mendorong kita berbuat kejahatan?
J: Imam Ghazali memberi contoh kaitan terbaik dalam kitabnya 'Ihya' Ulumiddin'. Akal itu umpama rakyat yang bertahan dalam satu benteng. Hati merupakan bentengnya. Jika benteng itu ditawan, semua kerja akan tergendala. Oleh sebab itu, Islam mengharamkan perbuatan yang merosakkan akal seperti minum arak, mangambil dadah dan sebagainya. Sebagai benteng, hati pula perlu kuat. Imam Ghazali turun menbandingkan hati itu seumpama raja dalam diri seseorang. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.” Allah SWT berfirman dalam surah Al-Syuara, ayat 88 dan 89:

S: Jika ada perkara tak baik terdetik dalam hati, adakah itu mengundang kemurkaan Allah?
J: Ada satu hadis gembira daripada Nabi SAW ketika berlaku peristiwa Israk Mikraj, seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Allah berfirman, Jika hamba ku berbicara (iaitu berniat) untuk melakukan kebaikan. maka Aku akan menulis untuknya satu kebaikan selagi belum melakukannya. Jika ia telah melakukannya, maka Aku mencatatnya dengan 10 kali ganda. Jika ia berniat untuk melakukan keburukan, maka Aku mengampuninya selagi belum melakukannya. Jika ia telah melakukannya, maka Aku menulis untuknya yang semisalnya.' Jika niat, diperkukuhkan dengan tindakan, ianya akan dikira berdosa. Kecuali jika kita berada di Mekah, jika berniat saja buat jahat, sudah dihukumkan berdosa. Hati sebenarnya mempunyai kekuatan luar biasa untuk menggerakkan diri berbuat sesuatu.

S: Kaum wanita lebih mudah masuk syurga. Apakah ciri-cirinya?
J: Daripada Anas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad).

S: Kenapa kaum wanita lebih ramai yang masuk neraka.
J: Dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.” Kaum wanita juga ramai masuk neraka kerana banyak mengutuk dan mengingkari suami. Oleh itu, walau apapun yang suami belikan, tunjukan rasa gembira dan gunakannya, jangan pula dikutuk.

S: Fenomena alam seperti gempa bumi dan tsunami banyak membawa kematian. Adakah ini tanda kemurkaan Allah SWT?
J: Allah SWT berfirman pada ayat 40, surah Al-Ankabut:

Allah tidak pernah zalim. Nabi SAW pernah berdoa agar kita tidak dibinasakan secara keseluruhan sekaligus. Oleh sebab itu, jika diperhatikan tsunami berlaku pada satu-satu tempat, dan tidak secara sekaligus. Doa ini Nabi SAW lafazkan di Masjid Ijaba. Rujuklah buku tulisan Dr. Abdul Basit Abdul Rahman yang bertajuk 'Mekah dan Madinah: Sejarah dan Kelebihan'. Buku ini sesuai dijadikan bahan rujukan sebelum mengerjakan haji atau umrah.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab