Umrah dan Ziarah (2) - Tanyalah Ustaz 28.08.2012
Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
Bacaan surah An-Nahl, ayat 36 dan 37:
Alhamdulillah kita dapat berkongsi ilmu dan saling
ingat-memperingati. Semoga ada manfaat bersama.
Kita perlu ambil pengajaran daripada setiap tempat yang
dilawati ketika di Mekah dan Madinah. Contohnya – Gua Hira’ iaitu tempat di
mana Nabi SAW berkhalwat. Jabal Thur pula merupakan tempat Nabi SAW dan Abu
Bakar bersembunyi sebelum berhijrah. Jabal Thur sangat tinggi,
namun Asma’ cekal memanjat bukit itu setiap hari untuk memberi makanan kepada
Nabi SAW dan ayahnya. Gua Hira’ juga tinggi letaknya dan Khadijah juga mendaki
setiap hari untuk memberi Nabi SAW makan. Inilah kecekalan dan kekuatan yang perlu diteladani seluruh kaum wanita.
Senarai soalan dan jawapan
S: Perlukah mengikuti kursus haji atau umrah sebelum pergi
ke Mekah?
J: Bagi orang yang jahil (tidak pernah mengerjakan umrah
atau haji), wajib menghadiri kursus tersebut untuk mendapatkan ilmu mengerjakan
ibadah umrah/haji. Pergi Mekah dan Madinah tidak seperti pergi melancong, perlu
ada ilmu terlebih dahulu.
S: Apakah hukum menziarahi tempat-tempat bersejarah di
sekitar Mekah dan Madinah?
J: Hukumnya sunat, agar kita mendapat keinsafan dan
pengajaran daripada kisah yang berlaku di tempat itu. Terdapat banyak kisah
kepayahan dan kesusahan yang Nabi SAW dan para sahabat lalui sebelum Islam
sampai kepada kita.
S: Bolehkah ustaz kategorikan tempat-tempat yang perlu di
lawati di Mekah dan Madinah?
J: Jika kita buat umrah dan ziarah, pihak pengurusan akan
mengatur program untuk menziarahi kawasan dalaman dan luaran Madinah dan Mekah.
Di Madinah, untuk ziarah dalaman kita akan dibawa keliling masjid Nabi, makam
Nabi SAW, makam Abu Bakar dan Umar, dan juga kawasan Raudhah. Ziarah luar pula
merangkumi masjid Quba, masjid Qiblatain, perkuburan syuhada, masjid tujuh. Di
Mekah pula kita akan dibawa melihat sekitar Masjidil Haram. Ziarah luar pula
meliputi kawasan Miqaat contohnya Tanaim, padang Arafah, Mina dan sebagainya.
S: Apakah hukum jika kita duduk terlalu lama di dalam
raudhah dan menghalang orang lain memasukinya juga?
J: Kawasan raudhah itu terhad. Jika sengaja duduk lama-lama
sehingga mengambil hak orang lain, hukumnya makruh. Jika orang sudah terlalu
ramai dan boleh menyebabkan pergaduhan kerana berebut tempat di raudhah,
hukumnya boleh jatuh haram. Banyakkan berdoa agar dipermudahkan laluan ke
raudhah dan doakan juga agar Allah permudahkan jalan orang Islam yang lain
untuk ke raudah. InsyaAllah ada keberkatannya.
S: Betulkah ada orang beritahu jika kita menziarahi Masjid
Qiblatain dan solat pada dua arah kiblat akan mendapat fadhilat tertentu?
J: Masjid Qiblatain merupakan masjid di mana Nabi SAW
diarahkan menukar arah kiblat kepada Masjidil Haram ketika baginda solat. Oleh
sebab itu, dinamakan Masjid 2 Qiblat. Hukumnya berdosa kerana Nabi SAW tak buat
dan tak suruh buat.
S: Betulkah masjid Nabi bukan masjid pertama dalam Islam?
Jika betul, apakah masjid pertama dalam Islam?
J: Betul. Masjid pertama dalam Islam ialah masjid Quba.
Masjid ini disebut Allah dalam Al-Quran sebagai masjid yang dibina atas dasar
taqwa. Masjid ini dibina dalam perjalanan Nabi SAW berhijrah ke Madinah. Jaraknya
lebih kurang 5 km ke Madinah. Nabi SAW berhenti di perkampungan Quba selama 4
hari dan mengajak kaum Amru bin Auf bersama-sama membina masjid Quba. Nabi SAW
sendiri mengangkat batu bersama untuk membina masjid ini. Masjid ini ada
fadhilat yang tersendiri iaitu jika seseorang mengambil wudhuk di rumahnya,
pergi ke masjid Quba dan solat 2 rakaat, dia akan mendapat pahala seumpama
mengerjakan umrah. Riwayat Bukhari menyatakan Nabi SAW selalu menziarahi masjid
ini pada setiap hari Sabtu, manakala riawayat lain pula mengatakan Nabi SAW
menziarahi masjid ini pada hari Isnin atau Khamis.
S: Saya ada nenek yang sudah uzur tetapi teringin sangat
untuk mengerjakan umrah. Oleh itu, nak jaga kesihatan atau nak kejar umrah
ketika berada di Mekah?
J: Menjaga kesihatan itu wajib hukumnya agar dapat
memperbanyakkan ibadat. Ziarah ke tempat-tempat bersejarah adalah harus, jika
tidak menyusahkan orang lain. Jika syak akan sakit, hukumnya makruh. Jika yakin
akan sakit, hukumnya jadi haram. Saya pernah diajar untuk menjaga kesihatan
dengan meminum air zam-zam. Sebelum solat minum 5/3 cawan yang penuh. Mulakan
dengan Bismillah dan selawat kepada Nabi SAW. Selepas solat minum lagi. Ramai
yang tidak mahu minum kerana ingin menjaga wudhuk tetapi kesannya mereka
terkena batuk, demam dan sebagainya kerana kurang minum air. Oleh itu, amalkan
memperbanyakkan minum air zam-zam.
S: Ada orang bawa balik kelambu Kaabah dengan tujuan
menjadikannya sebagai pelaris. Apa komen ustaz?
J: Ada orang pergi Madinah dan Mekah untuk beribadat tetapi
sampai ke sana membuat perkara yang syirik pula. Inilah akibatnya jika tidak
berilmu. Hukumnya syirik dan haram. Nabi SAW berpesan jika kita ingin meminta
sesuatu, mintalah pada Allah, bukan pada makhluk.