Meraikan Perayaan Dalam Islam (2) – Tanyalah Ustaz 19.08.2012

Ustaz Rujhan Mohamed Razali


Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Mulakan hari ini dengan takbir kepada Allah. Hari ini hari kita membesarkan Allah. Alhamdulilah, Allah beri peluang kita bertemu hari penuh kesyukuran ini dalam majlis ilmu. Kalimah Takbir, bermaksud ‘Allah Maha Besar’. Bila kita nyatakan Allah itu Maha Besar, bermakna kita ini sangat kerdil. Hidup kita dimulakan dengan kalimah takbir, dalam perjalanan hidup, kita juga dilaungkan dengan takbir 5 kali sehari semalam. Setelah meninggal, jenazah kita akan disolatkan dengan laungan takbir juga. Oleh itu, walau siapa sekalipun kita, kita perlu sedar bahawa Allah Maha Besar dan kita amat lemah.

Hari ini merupakan hari kemenangan bagi yang berjaya memperoleh taqwa dan menundukkan nafsu, hasil daripada didikan madrasah Ramadhan. Semoga ibadah kita kekal sama dengan amalan-amalan sunatnya walaupun Ramadhan telah berakhir. Setelah sebulan berpuasa, ada yang keluar dari pintu taqwa, namun ada juga yang keluar setelah cuma mendapat lapar dan dahaga sahaja. Taqwa akan membantu kita di saat kita nazak dan bertemu Allah di hari akhirat nanti.

Sebenarnya hanya orang yang bertaqwa layak merayakan hari ini. Orang yang bertaqwa berjaya menundukkan nafsunya. Ada perbezaan antara orang yang berjaya menundukkan nafsu dengan orang yang menahan nafsunya. Orang yang menahan nafsunya seumpama sebuah empangan yang ditahan airnya. Apabila dilepaskan, maka akan meledak nafsu itu dengan lebih dasyat untuk berbuat kemungkaran.

Bagaimana untuk kita menjadikan hari ini sebagai ibadah? Kita perlu teladani cara Nabi SAW merayakan hari ini, iaitu dengan:
  • Saling kunjung-mengunjungi, menurut adab dan syariat yang telah ditetapkan dalam agama.
  • Saling bermaafan. Kita tak mahu pulang bertemu Allah dalam keadaan berdosa kepada manusia lain.
  • Mengunjungi dan menggembirakan hati anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang susah melalui zakat dan sumbangan yag kita berikan.
  • Jangan tinggal solat, elak pembaziran, jangan langgar syariat dalam pergaulan dan lain-lain. 

Hari raya merupakan hari kembali kepada fitrah. Apa fitrah kita? Fitrah kita ialah menundukkan diri pada Allah. Semasa bulan Ramadhan, kita berusaha keras untuk mendapatkan keampunan dari Allah. Kita selalu bermunajat dan bertaubat pada Allah sepanjang bulan Ramadhan dan semoga semua dosa akan diampunkan Allah. Jika diampunkan, maka manusia itu akan kembali kepada fitrahnya yang suci yang cintakan ibadah. Inilah hakikat kemenangan yang sebenar.

Kita didendangkan lagu ‘Balik Kampung’ di musim raya ini. Namun, sedarkah kita bahawa kampung kita yang sebenar ialah apabila kita pulang menemui Allah nanti? Bagaimana dengan bekalan kita? Adakah telah cukup?

Islam sangat menitik-beratkan kasih-sayang dan persaudaraan. Dengan Islam, Nabi SAW berjaya mengubah membimbing kaum yang tunggul menjadi kaum yang unggul, berukhuwwah sesama manusia dan banyak lagi. Kejayaan utama Nabi SAW ialah mengembalikan manusia pada kedudukan asalnya (kembali kepda fitrah). Fitrah manusia ialah tunduk kepada Allah. Dengan nikmat kita bersyukur, dengan ujian, kita bersabar.

Mari simpulkan hati dan kefahaman kita bersama - Dalam Islam cuma ada 2 hari raya – Eidul Fitri dan Eidul Adha. Selain daripada itu, dinamakan ‘Memperingati’ sahaja. Setiap hari raya ada hikmah dan tujuannya. Hari Raya Aidil Fitri sebagai tanda kesyukuran dan menjana ketaqwan. Raikanlah hari ini dengan mengikut syariat yang Allah telah tetapkan, agar kita mendapat redha Allah SWT.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah amalan rumah terbuka disarankan Islam, kerana jika diperhatikan ada berlaku pembaziran dan pergaulan bebas. Mohon pandangan ustaz?
J: Sesunguhnya tiada sebarang lesen yang Allah beri untuk menghalalkan maksiat pada Hari Raya. Pada hari terbenamnya matahari pada akhir Ramadhan, syaitan pun dilepaskan dan mereka akan sentiasa berusaha untuk melalaikan manusia. Hukumnya harus untuk mengadakan rumah terbuka. Dalam Islam sebenarnya, setiap hari sepatutnya menjadi hari rumah terbuka. Namun, kerana gaya kehidupan hari ini yang agak terikat dengan kerjaya, ramai orang menetapkan satu hari tertentu untuk menjemput dan menjamu rakan-rakan. Namun begitu, jika dilakukan atas dasar ingin berlagak sombong atau menunjuk-nunjuk, itu boleh mengundang kemungkaran Allah. Jemputan pula janganlah dihadkan kepada golongan rakan sepejabat, tetapi jemputlah juga orang susah di sekitar rumah kita.

S: Apakah saranan Islam dalam merayakan Eidul Fitri dan Eidul Adha, agar perayaan itu tidak disalah ertikan?
H: Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir.” Jadi, setelah tenggelamnya matahari, mulakanlah takbir sehingga sepanjang malam. Seterusnya, bersihkan diri dengan memotong kuku, lakukan mandi sunat, berwangi-wangian bagi lelaki, memakai pakaian terbaik yang kita ada, pergi dan pulang dari masjid melalui jalan yang berbeza, mendengar khutbah raya, bermaaf-maafan. Inilah budaya baik yang telah kita amalkan, namun perlu ditambah penghayatannya. Dalam ziarah-menziarahi, jangan adab dan syariat yang telah ditetapkan Antara adab menziariahi adalah memberi salam, jangan duduk lama-lama sangat, beri salam di tepi muka pintu, bukan di depan muka pintu untuk mengelak ternampak aurat apabila pintu dibuka.

S: Apakah hukum merayakan hari raya agama lain seperti Deepavali, Tahun Baru Cina, Krismas?
J: Sekiranya ianya adalah perayaan agama, jelas tidak boleh dan tiada kompromi. Tetapi jika perayaan bangsa seperti Tahun Baru Cina, ianya dibolehkan. Bagi perayaan berkaitan agama, kita hormati perayaan mereka tetapi kita tidak boleh menyertai mereka kerana itu boleh menggadai akidah kita.

S: Bagaimana jika puasa saja tanpa melakukan ibadat wajib dan sunat? Adakah amalan puasa diterima tanpa melakukan amalan lain?
J: Inilah yang saya sebut sebagai, “Biasakan yang betul, betulkan yang biasa”. Kita perlu membetulkan sambutan hari raya kita, betulkan amalan rumah terbuka kita. Jika pusasa tanpa solat, seumpama seseorang itu meruntuhkan agama. Kunci syurga ada pada solat.

S: Budaya memberi duit raya ada kalanya membuatkan diri rasa tercabar dengan sikap anak-anak yang terang-terangan mengomel jika jumlah yang diberi sedikit? Oleh itu, bolehkah dihentikan amalan ini?
J: Asas hari raya ialah saling ziarah-menziarahi dan menggembirakan satu sama lain, terutamanya anak-anak kecil.  Sebagai satu cara menggembirakan anak-anak, bermulalah budaya memberi duit kepada anak kecil.  Oleh itu, ibu bapa perlu didik anak-anak untuk bersyukur, tak kita banyak mana yang diterima. Janganlah dihentikan amalan ini, kerana ianya mempunyai tujuan yang baik. Pada yang memberi, bersabar dan ikhlaslah. Ingatlah bahawa “erti hidup pada memberi’.

S: Islam mengalakkan kesederhanaan dalam berhari raya. Namun reliatinya, banyak berlaku pembaziran terutama ketika majlis rumah terbuka dan sebagainya.
J: Pertama kita kena tahu apakah asas kita buat majlis rumah terbuka? Adakah kerana ikut-ikutan? Atau sebagai tanda kesyukuran kepada Allah dan ingin mendapatkan rahmat Allah. Setelah itu, perlaksanaan majlis itu juga perlu kita ambil berat daripada segi syariat dan menunya. Sebagai tetamu, jika makan pula, biarlah berpada-pada. Jika dilanggar syariat, bimbang-bimbang kita akan mengundang kemurkaan Allah pula.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab