Membentuk Peribadi Anak (2) – Tanyalah Ustaz
Ustaz Hanafiah Abdul Malek
Bacaan surah Al-Fatihah:
Sebelum mulakan sesuatu pekerjaan – mendidik anak, memasak,
bermesyuarat mulakan dengan membaca Al-Fatihah. Para ulama telah banyak membuat
kajian dan InsyaAllah akan ada keberkatan kerana kita memohon bantuan Allah.
Cara terbaik adalah dengan membaca Al-Fatihah dan selepas ayat 6, berdoa, “Ya
Allah, lembutkanlah hati anakku sebagaimana Engkau melembutkan besi kepada Nabi
Daud”. Kemudian sambung baca sehingga habis surah. Inilah kaedah yang digunakan
oleh sahabat Nabi SAW yang pernah menggunakan Fatihah untuk mengubati ketua
kampung yang disengat binatang berbisa.
Hari ini, ramai orang berpendidikan tinggi melangit, namun
sayangnya sebesar biji sawi pun tiada keyakinan terhadap ayat-ayat Allah. Ibu
bapa cuba buat sekurang-kurangnya sekali - peluk anak, baca Fatihah dan usap
ubun-ubunnya. Banyakkan mengamalkan membaca surah ini walau apa yang dilakukan
dan bersama siapa sahaja. Mohonlah pertolongan Allah dalam usaha mendidik anak.
Penggunaan teknik-teknik lain, kesannya cuma sementara, namun pertolongan Allah
InsyaAllah lebih berkesan.
Dari sudut psikologi, peribadi baik permula daripada fikiran
yang baik selama 3 hari. Kemudian, fikiran ini akan membentuk tabiat atau
sikap. Selepas 4 bulan diamalkan barulah ianya akan menjadi peribadi. Anak-anak
umpama kain putih, ibu bapalah yang mewarnakannya.
Semoga kita dapat kongsi ilmu mendidik anak-anak bersama
rakan-rakan agar mendapat lebih keberkatan.
Kesimpulan:
Jika sayang anak, pelihara mereka daripada api neraka
seperti firman Allah SWT dalam Al-Quran. Jika ditakdirkan berlaku
kebakaran di rumah kita, ibu bapa akan sanggup merempuh dan menyelamatkan anak
tersebut. Oleh itu, jika api dunia pun kita tidak sanggup biarkan membakar anak kita, janganlah biarkan anak kita dibakar oleh api neraka yang jauh lebih dasyat.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Anak-anak mudah bercinta sejak mereka kecil lagi dan ini
mendorong kepada masalah ‘couple’ dan seterusnya zina dan sebagainya. Bagaimana
menghadapinya?
J: Betul, budaya ‘couple’ dalam kalangan anak-anak
bersekolah begitu menular hari ini. Saya ada terjumpa murid darjah 6 bercinta
dengan murih darjah 3 dan saling berbalas SMS dan membahasakan diri ‘papa’ dan
‘mama’. Ibu bapa perlu bijak dan tidak boleh marah-marah anak dalam soal ini.
Biar kita tahu daripada tidak tahu. Jika dimarahi, anak akan merahsiakan. Jika
tahu, kita boleh minta dibawa ke rumah dan ayah bolehlah beri amaran atau minta
mereka bertunang jika betul serius. Tanya anak-anak apa pendangan mereka
tentang pasangan berkahwin yang bercerai dan bandingkan dengan keadaan mereka
yang baru berkenalan. Peribadi anak adalah hasil didikan ibu bapa.
S: Ada suami yang membantah isteri yang cuba mendidik anak
dengan peribadi baik. Mohon penjelasan ustaz?
J: Betul, hari ini banyak berlaku
kes sebegini. Bapa perlu sedar tanggungjawabnya untuk mendidik isteri dan
anak-anak. Seorang bapa tidak akan dapat masuk syurga sekiranya anak atau
isterinya ditakdirkan ke neraka.
S: Bagaimana pula jika bapa pula
menunjukkan peribadi buruk kepada anak-anak?
J: Pepatah Melayu ada mengatakan ‘Jika
bapa kencing berdiri, anak kencing berlari’. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi
teladan yang baik. Jika bapa pun merokok, tidak salahlah jika anaknya pula
menghisap dadah.
S: Apakah cara terbaik memastikan anak-anak tidak
terpengaruh dengan peribadi buruk?
J: Mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Oleh itu,
ajar anak agar tidak ber’couple’. Jika anak buat salah, terus tegur, jangan
dibiarkan saja.
S: Bagaimana pula jika ayahnya ustaz, tetapi anaknya
bermasalah?
J: Ini mungkin kerana anak terpengaruh dengan sekeliling
ataupun sebagai ujian kepada ibu bapanya. Paling utama, masyarakat jangan cepat
menghukum dengan mengumpat dan menyebarkan cerita tidak baik. Paling ditakuti
jika Allah terbalikkan keadaan dan anak kita pula yang terpengaruh dengan
perkara tidak baik. Paling elok, kita doakan hidayah untuk anak tersebut.
Daripada mengata, lebih baik berdoa. Ibu bapa banyakkan membaca Al-Fatihah dan
mohon bantuan (jalan lurus) Allah dalam mendidik anak-anak.
S: Anak-anak ada dihantar ke kem-kem motivasi, namun masih
tidak berubah. Mohon pandangan ustaz.
J: Mengikut pandangan pakar, anak-anak perlu melalui
sehingga 70 kali motivasi barulah mereka akan berubah. Pada pengusaha kem
motivasi pula, jangan pentingkan kuatiti berbanding kualiti. Biarlah kumpulan
kecil, tetapi dapat menumpukan perhatian kepada setiap anak yang menghadirinya.
Ibu bapa pula jangan kedekut untuk mengeluarkan belanja. Jika untuk kereta,
boleh pula bapa keluarkan wang yang banyak. Untuk anak sepatutnya boleh belanja
lebih lagi kerana kebaikannya ingin diraih di dunia sehingga ke akhirat.
S: Bagaimana menghadapi anak yang gemar bersukan tetapi
lemah akademik dan tidak mahu solat?
J: Pihak masjid atau surah boleh buat program sukan dan
kemudian ajak anak-anak solat sekali. Pihak masjid, contohnya: boleh gelanggang
badminton dan beri anak-anak main percuma. Syaratnya kena solat sahaja. Lebih
elok jika ustaz main sekali dengan anak-anak. Anak-anak ada kelebihan yang
berbeza, dan tidak semestinya bagus dalam akademik sahaja.
S: Ketika kecil, kami mendidik peribadi anak dengan baik.
Namun, semakin membesar, anak semakin terpengaruh dengan peribadi tidak baik
daripada rakan-rakan. Mohon penjelasan ustaz.
J; Nabi SAW berpesan – jika kamu mahu melihat agama
seseorang, lihatlah dengan siapa dia berkawan. Oleh itu, ibu bapa perlu ambil
inisiatif untuk mengenalkan anak-anak dengan rakan-rakan yang baik. Kenalkan
anak-anak dengan masjid dan surau.
S: Faktor kemiskinan mungkin menghalang ibu bapa mendidik
anak-anak. Bagaimana untuk menghadapinya?
J: Pertama perlu beri didikan agama. Dengan agama seseorang
itu akan redha. Ada banyak kisah orang miskin yang berjaya dengan didikan
agama. Contohnya, ada seorang yang anaknya cacat, tetapi berjaya mendidik
sehingga akhirnya anak itu menjadi peguam. Contoh terbaru ialah Nik Nor Madihah
yang menjadi anak terpandai di Malaysia walaupun keluarganya miskin. Di rumah
pemulihan saya, ada ramai anak-anak orang kaya yang saya temui namun mereka
gagal dalam pelajaran atau terjebak dengan perkara-perkara tidak baik. Oleh
itu, kemiskinan atau kekayaan bukanlah faktor utama dalam mendidik anak.
S: Bagaimana mendidik anak angkat yang ada kemungkinan untuk
memberontak?
J: Mereka perlu diberitahu ketika masih kecil lagi bahawa
mereka adalah anak angkat. Kejujuran itu penting. Didiklah anak-anak dengan
agama, semoga mereka boleh menjadi tiket untuk kita ke syurga.