Hidup Sihat Tanpa Maksiat (1) – Tanyalah Ustaz 21 Ramadhan 1433H (10.08.2012)

Ustaz Roslan Mohamed

Bacaan surah As-Sajadah, ayat 12-14:

Kita perlu yakin yang kehidupan ini hak mutlak Allah Taala. Oleh itu, kita perlu berada dalam keadaan yang diredhai dan dirahmati-Nya. Tambahan pula kita sedang berada dalam bulan Ramadhan iaitu waktu yang sangat baik untuk kita merintih, berdoa dan bermunajat kepada Allah.

Dalam ayat yang dibacakan tadi, Allah merakamkan keadaan pengakhiran bagi orang yang tidak taat kepada Allah. Ketika itu Allah dedahkan kepincangan dan dosa yang dilakukan hambanya. Walaupun hamba kemudiannya merayu, namun, selal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Bisanya kita dengar pepatah kesihatan dikaitkan dengan makanan, namun hari ini kita ingin ubah untuk mengaitkan kesihatan dan maksiat. Saya sendiri banyak berdosa dan tidak layak bercakap tajuk ini, namun dengan semangat untuk saling ingat-mengingati, semoga Allah buka pintu hati agar yang berdosa akan tersedar dan kembali ke pangkal jalan, manakala yang baik akan terus menambah kebaikan yang dilakukannya.

Maksiat merupakan satu dosa yang paling besar. Imam Ibnu Qayyim mengatakan yang maksiat itu merupakan satu bebanan yang akan meranapkan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Oleh sebab itu, maksiat diterjemahkan sebagai sesuatu yang mencabul kehormatan dan hak-hak Allah Taala. Para alim ulama membincangkan dengan terperinci lagi dalam bab ini. Ibnu Abbas r.a. ada menukilkan, “Sesungguhnya perbuatan baik mendatangkan percerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kelapangan dalam rezeki, kekuatan pada badan dan kecintaan pada ibadat. Sebaliknya perbuatan buruk atau maksiat membawa ketidak-ceriaan ada wajah, kegelapan di alam kubur, kegelapan dalam hati, kelemahan tubuh-badan, susutnya rezeki dan kebencian kepada makhluk Allah SWT”. Kata-kata ini menyimpulkan kesan-kesan maksiat kepada seseorang – hilangnya seri wajah, hilangkan keinginan beribadat kepada Allah, hilangnya minat untuk mencari ilmu, hilangnya keberkatan rezeki. Maksiat turut memberi kesan kepada keluarga dan orang di sekeliling kita. Ada terlalu banyak ayat Al-Quran yang memberitahu kesan buruk maksiat.

Maksiat berasal daripada perkataan 'Asa yang bermaksud derhaka. Dalam kamus dewan pula, maksiat disebut sebagai melanggar perintah Allah dan apa-apa perbuatan keji dalam agama. Oleh itu, sebagai manusia, kita tidak boleh lari daripada melakukan dosa, namun setelah tersilap, kita perlu bertaubat.

Indahnya Ramadhan apabila kita dapat mendekatkan diri dan berdoa pada Allah. Allah mengingatkan agar kita memerhatikan apa yang kita telah lakukan. Saya berharap agar kita semua dapat amalkan doa yang Nabi SAW ajarkan: “Ya Allah Ya Tuhanku, bersihkan hatiku ini daripada sifat munafiq, kufur dan derhaka kepada Allah”. Abdulah bin Mas'ud r.a berkata, “Aku tidak akan menganggap seorang itu beruntung sehingga orang itu mendapat untung daripada Allah SWT”. Apa bentuk keuntungan yang kita boleh dapat daripada Allah? Bertaubat, pahala dan rahmat. Dengan itu, barulah kita sihat fizikal dan hati.

Imam Abu Hanifah pernah terlupa sesuatu perkara lalu dia berkata, “Demi Allah, kelupaan ini kerana aku berbuat dosa kepada Allah”. Kita hari ini terlalu banyak lupa kepada dosa yang dilakukan dan juga lupa mensyukuri nikmat yang Allah beri. Dalam penghujung surah Al-Kahfi, Allah SWT berfirman:

Semoga kehidupan kita dipandu Allah SWT agar mendapat keberkatan dalam segala urusan dunia dan akhirat. Dalam suatu kisah, sahabat yang bernama Muaz bin Jabal r.a. bertemu para sahabatnya yang lain. Dia tidak berkata apa-apa dan raut wajahnya nampak tidak ceria. Lalu ada sahabat bertanya apa yang berlaku kepadanya. Muaz menjawab yang dia teringat satu ayat Al-Quran iaitu ayat 14, surah An-Nisa':

Kemudian Muaz bertanya kepada rakannya, “Bagaimana kamu lihat keadaan aku sekarang ini? Aku bimbang langkah kanan aku ke syurga, langkah kiri aku ke neraka”. Mari bandingkan dengan diri kita sendiri pula. Mungkin kita telah menghabiskan masa tidak seperti yang Allah redha, mungkin makan minum kita juga Allah tidak redha. Hasan Al-Basri berkata, “Maksiat akan merendahkan martabat dan menghinakan manusia di hadapan Allah Taala”. Dalam keadaan kehidupan yang serba mewah dengan harta dan pangkat, tetapi mungkin kita sebenarnya hina di hadapan Allah.

Imam Sayuthi pernah berkata, “Dengan ilmu, akal akan hidup. Dengan iman, nafsu akan hidup. Tanpa ilmu, akal akan mati. Tanpa iman, nafsu akan kacau”. Dalam sedar tak sedar, kita sebenarnya berbuat maksiat zahir dan batin. Maksiat zahir jelas di mata seperti menipu, mengumpat, namun maksiat batin seperti perasaan sombong, takabbur, angkuh 'tersembunyi' dalam hati dan adalah lebih penting untuk menjauhinya. Imam Syafie pernah berada di hadapan Imam Malik dan Imam Malik berkata, “Wahai Syafie, aku lihat Allah telah memberikan cahaya dalam hati kamu. Wahai anakku, janganlah kamu padam cahaya ini dengan maksiat”. Jadi kita hari jika ada rasa berat untut buat kebaikan, malas untuk beribadah, itu sebenarnya tanda yang hati kita telahpun mati, sakit dan tiada cahaya lagi. Inilah yang paling ditakuti.

Senarai soalan & jawapan:
S: Kesihatan ada kaitan dengan hati – ada hati yang sihat dan yang sakit. Mohon pencerahan daripada ustaz.
J: Sihat bukan sekadar pada fizikal sahaja tetapi sihat hati juga penting agar ibadat kita menjadi amal yang Allah terima. Ada tiga jenis hati – hati yang mati, hati yang sakit, hati yang hidup. Hati yang hidup diresapi dengan ilmu, iman, taqwa, doa dan munajat kepada Allah. Untuk merawat hati, amalkan doa yang diajar Nabi SAW ini - “Ya Allah Ya Tuhanku, bersihkan hatiku ini daripada sifat munafiq, kufur dan derhaka kepada Allah”.

S: Ada berbagai jenis penyakit dan yang paling digeruni ialah penyakit maksiat contohnya pergaulan bebas antara orang muda. Adakah bila sudah tua, baru mereka akan insaf?
J: Masalah lupa kepada agama, lupa dosa-pahala, lupa surau dan masjid ini boleh berlaku kepada saja sebenarnya. Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak muda. Allah SWT sangat menyayangi kita dan memberi peluang untuk kembali bertaubat kepada-Nya. Manusia tidak akan berubah melainkan dengan dua perkara – berusaha mencari ilmu dan berusaha kembali kepada Allah Taala. Oleh itu, jika mudanya banyak buat maksiat dan bila sudah tua baru nak bertaubat tidak mengapalah. Teruskan usaha. Apa yang paling dirisaukan ialah jika sudah tua pun masih belum sedar untuk berubah. Saya juga bimbang. Kematian itu sangat dekat dengan kita. Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud, “Neraka dan syurga itu adalah lebih hampir berbanding tapak selipar yang kamu pakai”. Oleh itu, segerakanlah bertaubat agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

S: Allah memberi kita akal dan nafsu. Bagaimana untuk mengekang nafsu daripada membawa kita melakukan maksiat dan kemungkaran?
J: Kedua-dua akal dan nafsu melengkapkan kejadian kita sebagai manusia. Akal dan nafsu juga bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya kita me'warna'kannya dengan warna ilmu agama. Dengan ini, akal akan memimpin kita kepada jalan kebaikan. Allah jadikan alam ini agar kita berfikir menggunakan akal yang diberikan.

S: Jika ketua keluarga tidak mendidik ahli keluargnya mendirikan solat, adakah ini dianggap sebagai maksiat?
J: Kadang-kadang hari ini ibu bapa beriya-iya mengejutkan anak bersahur untuk mengajar mereka berpuasa. Namun, berapa ramai ibu bapa yang mengejutkan anak untuk bangun solat Subuh sedangkan meninggalkan solat merupakan satu dosa besar. Nabi SAW juga pernah bersabda yang menyatakan bahawa solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat nanti. Oleh itu, sesiapa saja yang meninggalakan solat telah melakukan kemungkaran yang besar. Jadi saya minta agar ibu bapa begini bertaubat dahulu sebelum meminta anak mereka juga bertaubat. Tanpa solat, keberkatan dalam rumah tangga, rezeki dan kehidupan akan hilang.

S: Dalam solat, kita membaca Fatihah sebanyak 17 sehari semalam. Kita meminta ditunjukkan jalan yang lurus – jalan orang yang diberi nikmat dan bukan jalan orang yang sesat. Bagaimana untuk mentransformasi agar kita dapat menjadikan orang yang diberi nikmat sebagai panduan dan orang yang sesat sebagai tauladan.
J: Allah SWT Maha Berkuasa. Semua ibadat yang disyariatkan mempunyai kepentingan kepada individu itu sendiri dan Allah tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam ibadat yang kita lakukan. Maknanya, kerajaan Allah tidak memerlukan sumbangan atau ibadat kita. Ibadah boleh memberi kesan perubahan 'total' kepada pengamalnya dan kebaikan itu akan meresap masuk ke dalam masyarakat juga. Kita mengulang dan meminta ungkapan yang sama sebanyak 17 kali sehari agar ditunjukkan jalan yang lurus, jalan taqwa dan ini akan menjana transformasi sifat dan peribadi untuk menjadi seorang yang lebih cemerlang, tak kira dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan.Oleh sebab itu penghayatan dalam solat amat penting dan Allah pasti tidak akan mengecewakan orang yang solat sebegini.

S: Apakah tanda hati yang mati dan bagaimana merawatnya?
J: Allah SWT ada berfirman dalam surah Al-Anfaal, ayat 24:

Ini menunjukkan yang Allah SWT sayangkan kita sebagai hambanya. Setiap sakit ada ubatnya, dan ubat hati itu ada dalam agama – Al-Quran, tasbih dan tahmid, istighfar, pahala kebajikan dan sedekah jariah. Ibnu Mulaqqi mengatakan untuk mengubati hati yang sakit, perlu disembuhkan 5 perkara:
  1. Baca Quran dan bertadabbur dengannya maknanya
  2. Kosongkan perut dengan berpuasa
  3. Hidupkan malam dengan Qiyyamullail
  4. Meratap di waktu sahur
  5. Duduk bersama-sama orang soleh dan berilmu.



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab