Makanan Shubhah (2) - Tanyalah Ustaz 20 Ramadhan 1433H (09.08.2012)

Ustaz Mohd Amri Abdullah



Bacaan ayat 172 surah Al-Baqarah:

Alhamdulillah kita telah masuk ke fasa ketiga bulan Ramadhan yang dijanjikan dengan pembebasan daripada neraka. Perbincangan kita hari ini juga berkait rapat dengan neraka seperti mana ynag disebut dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Setiap daging yang tumbuh daripada makanan (sumber) yang haram, maka api nerakalah yang paling layak baginya.”

Nabi SAW juga menyuruh agar kita meninggalkan perkara-perkara syubhah demi menjaga iman dan taqwa.

Senarai soalan & jawapan:
S: Apakah senarai ramuan kritikal dalam makanan yang perlu diketahui umat Islam?
J: Jika makanan itu jelas daging khinzir, mudah untuk kita bezakan dan jauhi. Namun, teknologi makanan hari boleh mengubah bentuk fizikal asal sesuatu sehingga kita tidak berupaya lagi mengenalinya. Antara bahan kritikal adalah penambah perisa atau emulsifier yang begitu meluas penggunaanya. Dalam hampir setiap label makanan, terkandung perkataan ini. Semua makanan berpunca daripada salah satu sumber ini iaitu:
  • Haiwan – haiwan haram atau halal? Jika haiwan halal, adakah disembelih atau tidak?
  • Tumbuhan – InsyaAllah halal selagi tak memudaratkan.
  • Bahan kimia – Perlu diawasi kerana ada kalanya boleh memberi mudarat dan boleh jatuh hukum haram memakannya.

Jika ada logo halal pada makanan tersebut, InsyaAllah JAKIM telah memeriksa sumber emulsifier tersebut. Jika tiada, tinggalkan dan jangan makan. Bahan kritikal lain ialah gelatin yang banyak terkandung dalam contohnya 'chewing gum'. 90% gelatin dalam dunia ini tidak halal. Seterusnya ada 'E'-kod, contohnya E471 dan banyak lagi. Nombor ini ada banyak dan tak perlu dihafal. Apa yang penting ialah cari logo halal pada makanan itu, jika tiada, tinggalkan saja.

Seterusnya alkohol – ada tiga jenis. Apa saja buah yang direndam dengan bahan-bahan tertentu boleh menghasilkan ethanol. Ethanol inilah yang diletak dalam 'liqour' yang bertujuan untuk memabukkan. Jika terus disimpan akan menghasilkan 'wine vinegar' dan ini hukumnya haram dalam mazhab Syafie. Namun, 'wine vinegar' ini banyak sekali digunakan di hotel-hotel oleh chef Barat dan chef Muslim sendiri. Mereka berpendapat ianya tidak memabukkan. Namun itu salah dan tidak mengubah hukum asal yang mengharamkan arak (rujuk surah Al-Maidah, ayat 90). Ada chef yang membantah dan mengatakan letak sedikit saja wain untuk menyedapkan makanan. Lalu saya tanya balik, jika letak sedikit air kencing dalam makanan, boleh tak? Pandai pula dia menjawab yang itu tidak boleh kerana air kencing itu najis. Samalah hukumnya dengan arak yang dianggap najis, tak kira sedikit atau banyak. Jenis ketiga ialah alkohol yang terjadi dengan sendirinya seperti yang terdapat dalam kicap, sos, budu, tapai dan ini hukumnya harus untuk memakannya kecualilah jika ia memabukkan.

Alkohol yang ada dalam minuman melebihi 1% dihukum haram. Oleh itu, minuman yang dilabelkan 'free alchohol' belum tentu lagi halal. Contohnya air minuman Malta yang dikeluarkan oleh sebuah kilang arak. Ada 10 golongan manusia yang dilaknat mengikut sabda Nabi SAW, Daripada Anas B. Malik RA, Rasulullah s.a.w telah melaknat 10 golongan manusia yang terlibat dengan pengurusan arak. Mereka adalah:

 Pembuatnya, Pengedarnya, Peminumnya, Pembawanya, Pengirimnya, Penuangnya
, Penjualnya, Pemakan wang hasilnya, Pembayarnya
dan Pemesannya.

Imam Yusuf Al-Qardhawi juga menyatakan bawawa termasuk haram adalah orang yang meraikan orang yang meminum arak atau dengan kata lain duduk bersama dengan orang yang minum arak. Alkohol ini boleh disulingkan kembali setelah dimasukkan ke dalam minuman. Saya pernah bertanya kepada pengeluar minuman ini – Kenapa dibotolkan dalam botol yang serupa dengan botok arak? Kenapa dibuat buihnya juga sama seperti buih arak? Kenapa rasanya juga sama? Jawab mereka adalah untuk memberi pilihan kepada umat Islam yang tidak boleh minum arak. Inilah yang dipesan Nabi SAW dalam satu hadis yang bermaksud:
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nashrani yang kau maksudkan?” Nabi saw. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka” (H.R. Muslim).

S: Bagaimana untuk membuat aduan jika didapati ada pengeluaran makanan oleh pengusaha kecil meragukan? Bagaimana pula dengan Yong Tau Fu yang begitu diminati sedangkan pengeluarnya adalah bukan Islam, cuma penjual dan pembelinya yang Islam?
J: Membuat aduan merupakan tanggungjawab seorang pengguna dan bolehlah menelefon JAKIM di talian 03-83150200 atau layari www.halal.gov.my. Sesiapa yang memberi maklumat sehingga pihak tersebut didakwa, mereka boleh mendapat sehingga separuh daripada wang denda. Sebagai contoh, jika seseorang menggunakan logo HALAL untuk bufet Ramadhan tetapi menggunakan kandungan yang haram, dendanya ialah 5 Juta. Jadi kalau separuh, jumlahnya sangat besar. Ini sebagai galakan agar semua pihak prihatin.

Di kawasan Lembah Kelang ini memang hampir 99% sijil halal yang dikeluarkan untuk Yong Tau Fu dan Keuw Tiaw adalah kepada orang bukan Islam. Orang ramai perlu tanya kepada pembeli di mana mereka beli Yong Tau Fu tersebut. Oleh itu, penjual perlu ambil berat isu ini agar rezeki yang diperolehi mendapat keberkatan. Bukan setakat sumber bahan, nama-nama produk juga tidak boleh menimbulkan kesangsian kepada Malaysia – contoh rempah 'bak kut teh' tidak dibenarkan kerana sinonim dengan khinzir walaupun ia sekadar rempah sup. Begitu juga dengan 'hotdog', 'bacon' dan sebagainya.

S: Bagaimana pula dengan restoran besar yang membuat iklan tetapi tidak menggunakan sijil halal? Adakah itu bersifat syubhah?
J: Pensijilan halal bukanlah wajib. Oleh itu, tiada sijil halal JAKIM tidak bermakna yang benda itu haram. Oleh itu, pengguna perlu bijak. Jika orang Islam yang menyediakan, InsyaAllah boleh diyakini dengan keislaman orang tersebut. Jika orang bukan Islam, perlulah diselidik terlebih dahulu,

S: Ada tak kaedah mudah menilai halal haram produk yang tiada logo halal JAKIM?
J: Kena ada ilmu berkaitan teknologi makanan. Jika makanan asas seperti air kelapa tiada masalah. Tetapi jika kek – ia banyak menggunakan bahan-bahan yang diimport. Bukan sekadar bahan, berus yang digunakan perlu diperiksa juga. Ini semua memerlukan ilmu. Banyak berus yang menggunakan bulu haiwan, terutamanya yang datang dari China, dibuat daripada bulu khinzir. Mudah saja untuk mengenalinya - hujungnya bercabang tiga.

S: Apa hukum jika penjual menggunakan telur yang tidak dibasuh dalam makanan seperti murtabak?
J: Konsep makanan dalam Islam perlu halal dan toyyiba (baik) seperti yang banyak kali dinyatakan dalam Al-Quran. Oleh itu, penjual perlu membasuh telur sebelum menggunakannya. Telur yang tidak dibasuh dicemari kuman E-Coli yang boleh membawa maut dan boleh jatuh hukum haram.

S: Jika pokok menggunakan baja daripada najis haiwan, adakah buahnya dikira najis juga atau tidak?
J: Untuk haiwan, jika menggunakan baja khinzir sekalipun, hukumnya harus kerana telah belaku proses penguraian di dalam tanah. Tetapi makruh untuk orang Islam kerana mungkin tangan perlu disamak dan sebagainya jika tersentuh.

S: Setelah mendapat sijil halal, bagaimana pemantauan dibuat?
J: Setiap premis yang mendapat sijil halal mesti mempunyai sekurang-kurangnya 2 orang pekerja Muslim. Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan silalah cari logo Jakim HALAL sebelum makan di sesuatu tempat.

S: Adakan perancangan untuk membezakan logo halal yang diberi kepada pengusaha Muslim dan bukan Muslim?
J: Jakim mengambil roh daripada ayat 168, surah Al-Baqarah di mana Allah menyatakan “Wahai sekalian manusia”. Oleh itu, Jakim tidak membezakan antara pengusaha kerana kesannya akan kelihatan jelas betapa sedikitnya pengusaha orang Islam. Ini sepatutnya menyedarkan kita agar bangkit untuk menjadi pengusaha dan mengisi keperluan Muslim di negara kita.

Mudah-mudahan ibadah kita diterima Allah SWT.  

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab