Semarakkan Cinta (1) - Tanyalah Ustaz 24.08.2012
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 165:
Alhamdulillah, kita dapat bertemu dalam majlis ilmu. Orang yang menghadiri majlis ilmu, Allah janji akan beri rahmat, dan kedua Allah janjikan sakinah (ketenangan) yang
begitu mahal harganya. Ketiga, Allah janji bahawa orang yang berada dalam
majlis ilmu akan didoakan malaikat, dan keempat nama orang yang berada dalam
majlis ilmu juga akan disebut dalam majlis yang lebih hebat lagi di langit.
Majlis ilmu itu juga merupakan taman syurga. Syurga itu ada
segalanya yang tidak dapat kita bayangkan dengan pancaindera biasa. Walaupun begitu,
masih terdapat rasa kekurangan dalam hati Nabi Adam, lalu Allah ciptakan rasa
cinta dan Hawa sebagai peneman kepada Nabi Adam. Cinta itu berasal dan berputik
daripada syurga, bermula daripada diri yang baik iaitu Nabi Adam. Oleh itu,
kita perlu menjadi orang-orang yang baik juga untuk mewarisi perasaan cinta
yang penuh kebaikan ini.
Ada yang bertanya kenapa perlu bincangkan soal cinta? Bukankah ianya subjek remaja? Sebenarnya cinta perlu diuruskan terutamanya
dalam kalangan dewasa iaitu pasangan yang telah berkahwin. Daripada dapatan statistik,
setiap 15 minit ada satu pasangan Islam bercerai, dan setiap 18 minit seorang anak luar
nikah dilahirkan. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua golongan dewasa dan remaja tidak
dapat menguruskan perasaan cinta mereka dengan baik. Oleh itu, soal cinta ini
penting untuk dibincangkan oleh kita semua.
Allah SWT sangat mementingkan soal cinta. Di dalam Al-Quran,
Allah menyebut secara langsung atau tidak tentang cinta sebanyak 76 kali. Ini
membuktikan lagi bahawa cinta itu amat penting dalam kehidupan. Daripada ayat
yang saya bacakan tadi (surah Al-Baqarah ayat 165) menunjukkan Allah SWT amat
mementingkan cinta dan mendidik kita dengan perasaan cinta. Kedua: daripada
hadis Nabi SAW yang panjang yang ada disebut dalam kitab Ihya’ Ulumiddin.
Seorang lelaki Badawi datang bertanya Nabi SAW “Bila akan berlaku kiamat?”.
Nabi SAW bertanya semula, “Apakah yang telah engkau sediakan untuk
menghadapinya”. Lelaki itu menjawab dengan terus-terang, “Saya tidak
menyediakan ibadah yang banyak melainkan hati yang sangat cinta kepada Nabi
SAW”. Nabi SAW pun menjawab, “Seseorang itu akan bersama dengan orang yang
dikasihinya di akhirat nanti.” Oleh itu, kita perlu berhati-hati meletakkan
cinta kita ketika di dunia agar tidak bersama mereka yang mungkar di akhirat
nanti.
Cinta letaknya di hati. Hati itu pula raja kepada jasad,
sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi SAW - jika hati itu baik, maka baiklah seluruh jasad dan jika
sebaliknya, maka jahatlah seluruh jasad itu. Jadi, jika di hati bertakhta cinta
yang baik, maka baiklah seluruh perlakuan jasad seseorang itu. Sebaliknya, jika cinta jahat yang menguasai hati, maka buruklah perlakuan seseorang itu. Oleh
itu, kita sangat perlu berhati-hati menjaga hati, agar cinta yang diletakkan di
hati adalah cinta yang membawa kita kepada kebaikan.
Seseorang itu menjadi hamba kepada cintanya. Oleh itu, kita
perlu jatuh cinta pada Allah agar kita menjadi hamba yang taat kepada-Nya.
Malang sekali jika cinta itu jatuh kepada benda yang salah seperti harta,
manusia atau dunia. Cinta ini akan membawa kepada kemungkaran dan keburukan.
Cinta itu juga dikatakan buta. Demi cinta, seseorang akan
sanggup melakukan apa saja. Contohnya, seseorang itu akan sanggup mati di jalan
Allah demi untuk mempertahankan cinta kepada Allah. Sebaliknya, ada orang
sanggup mati kerana cinta kepada perkara yang batil. Inilah kepentingan
membincangkan soal cinta.
Cinta mempunyai dua wajah – indah dan hodoh. Cinta boleh
mendatangkan kuasa luar biasa yang tidak boleh ditandingi. Kerana Allah
mencintai kita, Allah mencipta kita dan memberi rahmat dalam kehidupan kita di dunia. Kerana cinta Nabi SAW, ajaran Islam disampaikan, kaum yang
bergaduh didamaikan dan seterusnya membentuk masyarakat yang penuh kebaikan.
Nabi SAW merupakan seorang yang mengajar kita untuk memberi
cinta tanpa syarat (unconditional love). Ramai antara kita yang menyintai
seseorang dengan harapan untuk mendapatkan kebaikan daripadanya. Salah satu
buktinya adalah apabila Nabi SAW tidak marah apabila dakwahnya kepada penduduk
Taif ditolak, bahkan baginda mendoakan agar zuriat penduduk di situ akan
beriman. Doa Nabi SAW ini dimakbulkan selepas 10 tahun selepas itu. Oleh itu,
cinta memerlukan kesabaran yang tinggi.
Cinta kepada Allah merupakan sumber cinta kepada semua
makhluk lain. Apabila kita mempunyai kemampuan untuk menyintai Allah, kita akan
diberi kekuatan untuk menyintai semua makhluk lain. Contohnya, kerana cinta
kepada Allah, Nabi SAW mampu menyintai keluarganya, sahabat dan umatnya. Dengan
menyintai Allah, kita akan mendapat sumber cinta seumpama telaga yang dalam
yang tidak pernah kering airnya.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Adakah isteri akan jadi bidadari suami juga di syurga?
J: Apabila membincangkan soal syurga, kita tidak boleh
menyamakannya dengan ‘mindset’ seperti di dunia. Contohnya, jika tidak semua
ahli keluarga masuk syurga, kita takkan terasa sedih kerana Allah telah buang
perasaan sedih daripada penghuni syurga. Jika ditakdirkan pula suami dan isteri
masuk syurga bersama, isteri tersebut tidak akan ada perasaan cemburu, kerana
perasaan itu juga telah Allah lenyapkan daripada syurga. Walaupun suami diberi
ramai bidadari, isteri tersebut akan menjadi yang paling istimewa di antara
semua bidadari.
S: Apakah batasan dalam bercinta, terutamanya kepada
pasangan muda?
J: Allah SWT mencipta cinta dan tidak melarang kita untuk
bercinta. Perasaan cinta itu fitrah dan pasti ada dalam setiap manusia. Oleh
kerana ianya fitrah, cinta itu penting demi kesinambungan dan kebahagiaan hidup
manusia. Di samping dorongan perasaan untuk bercinta, ianya perlu disertakan
dengan peraturan agar menjadi cinta yang diterima atau dibenarkan. Peraturan
disediakan untuk mengawal, bukan untuk menyekat. Sepertimana peraturan di jalan
raya yang bertujuan memberi keselamatan kepada penggunanya. Allah lebih tahu
apa yang baik dan buruk untuk kita, oleh itu, kita perlu patuh kepada peraturan
yang Allah telah tetapkan. Dalam bercinta, perlu mematuhi syariat dengan tidak
boleh berdua-duan, perlu menjaga aurat dengan sempurna. Daripada dapatan
kajian, sebanyak 90% ‘couple’ tidak berkahwin pun akhirnya. Jika ada yang
berkahwin pun, mereka tidak dapat menjaga kestabilan rumah tangga juga akhirnya.
Oleh itu, saya sarankan kepada remaja untuk “SAVE SEX” – memelihara diri
daripada zina dan menunggu sehingga berkahwin, dan bukannya mengamalkan “SAFE
SEX” yang bertentangan dengan peraturan Allah. Bagi yang sedang bercinta dan dalam perkahwinan, sila amalkan 2I - Ikhlas bercinta kerana Allah – anggap pasangan sebagai pembantu untuk bersama menjadi hamba Allah yang baik. Kedua - Iktibak (mengikut sunnah Nabi SAW dengan bersungguh-sungguh). Manfaat peraturan cinta yang Allah tetapkan ialah untuk:
- Menyelamatkan rasa cinta itu sendiri – perasaan yang suci ini tidak boleh dikotori dengan perkara yang Allah murkai
- Menyelamatkan orang yang bercinta – Jika berkawan perlu ada niat untuk berkahwin dan bukan untuk main-main atau ‘try an error’ sahaja. Perhatikan ungkapan bijaksana ini – ‘Dunia tidak hairan jika seorang lelaki membunuh diri kerana cinta, tetapi dunia akan hairan jika seorang lelaki membunuh diri kerana ibunya’. Kenapa? Kerana kekecewaan dalam bercinta itu adalah sesuatu yang telah dijangka sebenarnya.
S: Apakah maksud dalam hadis mencintai Nabi SAW dan
keluarganya lebih daripada mencintai keluarga sendiri agar sempurna iman?
J: Pertama, kita wajib cinta Allah. Untuk mencintai Allah,
perlu cinta kepada Rasulullah SAW. Firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 31:
Mencintai Nabi SAW merupakan jalan kepada mencintai Allah
SWT. Untuk mencintai Rasululllah perlu mengenal peribadi dan sejarah baginda.
Oleh itu, ditetapkan dalam Islam bahawa ibu bapa wajib mengajar anak tentang 3
perkara: diri Nabi SAW, keluarga baginda dan Al-Quran. Dalam setiap perbuatan
kita, kita perlu sentiasa ingat dan sebut Nabi SAW. Bila selalu sebut, akan
datang rasa rindu kepada Nabi SAW. Kita perlu sentiasa membaca sirahnya dan
mengambil pengajaran daripadanya.
S: Jika sudah bercerai, adakah boleh berjumpa di akhirat
nanti? Jika pasangan bertunang, dan meninggal, adakah boleh berjumpa di
akhirat?
J: Berjumpa dan bersama ada bezanya :). Jika kedua-duanya masuk
syurga, InsyaAllah boleh berjumpa. Jika pasangan sudah bercerai dan
masing-masing mempunyai pasangan yang baru, maka mereka akan bersama pasangan
yang baru. Jika pasangan bertunang, dan salah seorang meninggal, jangan pula
yang seorang lagi membujang. Pernikahan merupakan sunnah Nabi SAW agar kita
dapat menyambung zuriat dan mendidik mereka dengan baik agar dapat meramaikan
umat Islam dam menjadi saham akhirat. Seseorang itu akan bersama orang yang
dicintainya di akhirat nanti.